BAB
19
“Ayah mana mak? Dari pagi tadi
tak nampak pun,” soal Tengku Anuar sebaik saja memijak lantai dapur rumah.
Kot yang di sangkut pada lengan
di letak ke kerusi. Melabuh punggungnya bersebelahan Puan Fazlina. Tangannya
mencapai sekeping biskut coklat yang berada di dalam balang kaca di depannya. Di
hala ke mulut sebelum digigit sedikit.
Puan Fazlina yang hanya memerhati
tingkah Tengku Anuar tersenyum kecil.
“Ayah kamu ke Tasik Kenyir dua
tiga hari ni, nak memancing katanya,” ujar Puan Fazlina sambil tangannya ligat
mengupas kulit bawang besar.
Tengku Anuar mengangkat sedikit kedua-dua
keningnya. Hairan.
“Ayah pergi Tasik Kenyir? Pergi
dengan siapa ma?” soal Tengku Anuar.
Biskut di tangan di gigit lagi.
Memandang wajah Puan Fazlina yang tenang membalas pandangannya.
“Dengan siapa lagi kalau tak
dengan pakcik Nasir kamu tulah. Shahrul pun ikut sekali,” beritahu Puan Fazlina.
Di pandang seketika wajah
Tengku Anuar yang lahap mengunyah biskut.
“Yang kamu ni dari mana? Kemas
saja mama tengok. Baru balik dari dating
ya?” usik Puan Fazlina tersenyum kecil.
Tersedak Tengku Anuar mendengar
usikan emaknya. Pantas tangannya mencapai air sirap sejuk yang sedia terhidang
di meja. Diteguknya rakus.
“Hisy, mak ni. Tak adalah,”
sangkal Tengku Anuar sebaik saja air di dalam mulut di tolak masuk ke tekak.
“Saya ke pejabat pagi tadi.
Siap aje kerja terus pergi baiki kereta. Agak teruk jugak keadaan kereta tu,”
ujarnya membalas kata.
Puan Fazlina mendengus lembut.
“Mak ingatkan kamu pergi jumpa
dengan bakal menantu mama tadi,” ujarnya perlahan, sedikit kecewa telahannya
salah.
Tengku Anuar mengukir senyuman.
“Mak ni, tak ada perkara lain
yang difikirkannya, asyik fikir nak menantu aje. Bukankah mak dah ada dua orang
menantu perempuan, tak cukup lagi ke mak?” soalnya lembut.
“Itu lain, dia orang tu isteri
abang-abang kamu. Yang mama nak sekarang ni, isteri kamu,” tingkah Puan Fazlina.
Tengku Anuar tidak menyahut. Dia
kembali meneguk air.
Melihat si anak berdiam diri,
Puan Fazlina kembali menyambung kata.
“Mak bukannya apa Nuar, mama
harap sangat yang kamu akan berkahwin. Tak kisahlah siapa pun dia, kaya ke
tidak, cantik ke hodoh, yang penting dia benar-benar menyayangi kamu dan dapat
menjaga makan minum, sakit pening kamu nanti,” ujar Puan Fazlina lembut.
Sememangnya dari dulu lagi dia tidak
gemar untuk mencampuri urusan setiap anak dalam bab mencari pasangan hidup. Dia
lebih suka membiarkan kesemua anaknya menentukan jodoh mereka sendiri. Namun
baginya, menjadi tanggungjawabnya sebagi seorang emak untuk memastikan
anak-anaknya mendapat pasangan yang terbaik yang mampu membahagiakan mereka.
Tengku Anuar tersenyum lagi. Gelas
di tangan diletak semula ke meja. Disandar tubuhnya ke kerusi kayu itu. Matanya
memandang tingkah emaknya yang kini sibuk memotong sayur di depannya.
“Lagi pun bila kamu dah kahwin
nanti, mama takkan risau lagi tentang kamu. Tak adalah kamu nak balik ke
Amerika tu lagi,” ujar Puan Fazlina bersungguh-sungguh.
“Oh, jadi mama nak suruh saya
kahwin ni sebab risau saya balik ke sana semula lah ya?” ujar Tengku Anuar
menyeringai.
Melihat wajah Puan Fazlina yang
lambat-lambat menganggukkan kepalanya membuatkan senyuman lelaki itu semakin
melebar.
“Mak janganlah bimbang tentang
hal tu. Memang saya berniat untuk menetap terus di Malaysia. Saya akan terus
tinggal kat sini. Cuma bab kahwin ni, tunggulah dulu. Masih banyak lagi perkara
yang perlu saya lakukan buat masa sekarang,” ujar Tengku Anuar lembut.
“Itu mak tahu Nuar, tapi tak
salahkan kalau kamu buat dua perkara dalam satu masa. Bak kata pepatah, sambil
menyelam kita minum air,” ujar Puan Fazlina berkias kata.
Tengku Anuar kembali melebarkan
senyuman.
“Salah tu memanglah tidak mak,
tapi mama kena ingat jugak. Salah-salah menyelam, kita tenggelam terus tak
timbul,” ujarnya dalam nada bergurau.
Puan Fazlina mendengus kecil.
Sedikit geram mendengar jawapan anaknya itu.
“Pandai-pandailah kamu menyelam,
jangan menyelam tempat yang dalam sangat. Cari kat tempat-tempat yang cetek
sudahlah,” tingkahnya.
“Mak, kalau nak cari yang
terbaik, kenalah cari kat tempat yang dalam. Kalau setakat kat tempat cetek tu,
tak payah selam, sauk aje mak. Iya tak Mak Limah?”
Tengku Anuar tergelak dengan
kata-katanya sendiri. Di kenyit sekali mata kanannya pada pembantu rumah yang
sedari tadi hanya mengulum senyum mendengar perbualan kedua beranak itu. Tawanya
semakin kuat apabila si emak mencubit kecil lengan sasanya.
“Hisy kamu ni. Malaslah mak nak
cakap dengan kamu lagi. Mama cakap betul-betul dia main-main pula. Daripada
melayan kamu bercakap lebih baik mama memasak. Ada juga faedahnya,” omel Puan
Fazlina sedikit geram.
Puan Fazlina bingkas bangun dan
dibawa bersama sayur yang telah dipotong tadi. Mak Limah yang duduk di hujung
meja turut bangun membantunya.
Tengku Anuar yang hanya memandang
kelakuan emaknya tersenyum geli hati. Dia tahu, Puan Fazlina benar-benar berharap
dia akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Bilangan umurnya yang telah
mencecah awal tiga puluhan itu juga menambahkan lagi harapan Puan Fazlina. Namun
dia sedar, dia tidak mampu untuk menunaikan hasrat si ibu buat masa ini. Masih
ada banyak perkara yang perlu dilakukannya sebelum dia berumah tangga.
Dan salah satu perkara yang
harus dilakukannya adalah mencari calon isteri untuk dirinya sendiri. Satu
perkara yang tidak pernah dilakukannya sedari dulu. Kesibukan menimba ilmu dan
mencari pengalaman bekerja di negara orang menyebabkan dia tidak terfikir untuk
melakukan perkara nan satu itu.
Kerana itu bila Puan Fazlina
memintanya berumah tangga di waktu ini dia bingung sendiri. Mustahil dia mampu
membuat perkara itu dalam masa yang singkat. Dari mana dia boleh perolehinya?
Tiba-tiba bayangan Nina yang
ditemuinya pagi tadi menjelma di ruangan mata. Tengku Anuar terleka seketika.
Terbayang semula perbualannya bersama gadis yang berperwatakan seperti lelaki
itu. Hatinya menyenangi kesederhanaan yang terdapat pada gadis itu.
Setiap patah dan tutur kata yang diluah gadis
itu bagaikan satu irama indah yang bergema di ruang telinganya. Beralun lembut
dan begitu mengasyikkan. Dia benar-benar terpesona dengan sikap yang
ditonjolkan gadis itu.
Tanpa sedar Tengku Anuar tersenyum
sendiri. Tepukan lembut di bahu mematikan lamuannnya.
“Dah, tak payah nak di fikirkan
sangat tentang kerja kamu tu. Pergi naik atas, tukar baju. Kejap lagi kita
makan sama-sama,” arah Puan Fazlina tanpa mengetahui apa yang berkeliaran di
fikiran si anak.
Tengku Anuar yang sedikit
tersentak dengan teguran lembut si ibu hanya tersenyum mengangguk sebelum
bangun melangkah menuju ke tingkat atas.
“Hah anak bertuah, dah malam-malam
begini baru nampak muka kamu,” sergah Datin Salbiah sebaik terlihat batang
tubuh Nina di ruang tamu kondominium itu.
Nina yang tunduk membuka kasut
sedikit tergamam mendengar sergahan itu. Dia memaling wajah. Mengadap Datin
Salbiah yang duduk memeluk tubuh di sofa. Ada riak terkejut yang terpamer di
wajah lesunya. Perlahan dia menghampiri Datin Salbiah yang merenungnya tajam.
Dicapai tangan mamanya sebelum dikucup lembut.
“Dah lama mama sampai?” soal
Nina penuh hormat. Direbah tubuhnya ke atas sofa. Tidak jauh dari Datin Salbiah.
“Kamu dari mana ni Nina? Dah
malam-malam begini baru sampai rumah? Tak tahu nak duduk kat rumah langsung.”
Soalan anaknya tidak dijawab
sebaliknya Datin Salbiah pula menyembur kata. Wajah anak perempuannya dipandang
lagi. Geram.
Nina mendengus lembut.
“Saya dari bengkel ma. Ramai
pelanggan yang datang hari ni, sebab tu lewat saya balik,” ujar Nina seraya
menghembus nafas kecil.
“Iyalah tu. Ada saja alasan
kamu. Dah tengah malam begini pun takkan ada pelanggan lagi. Siapa yang sanggup
nak tunggu kat bengkel buruk kamu tu lama-lama,” leter Datin Salbiah lagi.
Nina bingkas bangun. Melangkah
ke arah dapur rumah yang terletak bersebelahan ruang tamu rumah. Datin Salbiah turut
bangun membuntutinya.
“Orang lain pun kerja jugak Na
tapi tak macam kamu sampai langsung tak ada masa untuk diri sendiri. Cuba tengok
pakaian kamu, ni!” ujar Datin Salbiah sambil memegang seluar jeans Nina yang
sedikit koyak.
Nina hanya dia. Malas untuk
berkata.
“Ya Rabbi, mana seluar kamu
kutip ni Nina?”
Nina tidak sedikit pun
menghiraukan kata-kata mamanya. Dibuka pintu peti sejuk yang tertutup rapat.
Ditarik keluar sebotol air limau yang terdapat di adalam peti itu. Di tuang ke
dalam gelas sebelum diteguknya rakus.
Datin Salbiah mengeleng perlahan-lahan.
“Apalah nak jadi dengan kamu ni
Na, pening mama tengok sikap kamu ni. Bila agaknya kamu nak berubah,” keluhnya.
“Cuba kamu tengok si Idah tu,” ujar
Datin Salbiah menuding jarinya ke arah Khalidah yang kebetulan keluar dari
biliknya.
“Kan elok kamu berpakaian macam
dia. Sopan, kemas, sejuk mata orang yang memandang,” ujar Datin Salbiah lagi.
Nina memandang wajah Datin
Salbiah sebelum melontar mata ke arah Khalidah sekilas. Dia mengeluh perlahan.
“Mama, saya tak nak jadi
hipokrit mama. Hanya kerana nak jaga hati orang lain, saya terpaksa berpakaian
macam perempuan lain. Ini adalah diri saya dan beginilah saya ma,” ujarnya
lembut.
“Ayah mana ma? Mama datang
seorang aje ke?” soal Nina menukar topik perbualan. Malas menyambung
pertengkaran mereka.
“Ayah kamu ke Tasik Kenyir
dengan Tengku Adnan. Along kamu pun ikut sama,” balas Datin Salbiah sedikit
kasar. Rasa geram masih berbuku di hati.
“Habis tu, Kak Mariya mana?”
Nina menyoal lagi.
“Dia balik ke rumah maknya
dengan anak-anaknya sekali. Ada hal katanya.”
Nina mengangguk perlahan.
“Berapa lama ayah kat sana?”
“Adalah dua tiga hari,” acuh
tak acuh Datin Salbiah menjawab.
Hatinya masih sakit dengan
sikap si anak yang tidak mahu mendengar katanya.
“Dua tiga hari?”
“Haah,” jawab Datin Salbiah
kasar. “Yang kamu tersengih macam kerang busuk tu kenapa?” jerkah Datin Salbiah
bila terpandang Nina menyeringai ke arahnya.
“Tak ada apalah ma,” balas Nina
lemah.
Memandang sekilas wajah mamanya
sebelum menunduk kepala perlahan. Datin Salbiah merengus kasar. Seakan
mengetahui apa yang tersirat di fikiran si anak dia kembali bersuara.
“Tak payahlah kamu buat muka
seposen kamu tu. Malam ni aje mama tidur sini. Esok pagi Kak Mariya kamu datang
ambil mama. Nak harapkan kamu balik rumah, huh, agaknya runtuh langit pun belum
tentu nak nampak batang hidung kamu tu.”
Nina yang mendengar kata-kata
Datin Salbiah hanya tersenyum kelat. Rasa bersalah menyerang hatinya. Bukannya
dia tidak suka dengan kehadiran Datin Salbiah di rumahnya namun telinganya bagaikan
ingin koyak setiap kali bersua muka dengan mamanya. Tidak tahan dengan leteran
wanita itu.
“Mama bukannya apa Nina, mama
tak suka tengok kamu berpakaian macam ni. Dahlah tak senonoh, kusut masai pula
tu. Bawa-bawalah berpakaian sopan sikit,” ujar Datin Salbiah kembali kepada
bicara asalnya.
“Ni pun dah kira bersopan lah
mama. Saya bukannya pakai baju yang nampak pusat pun, dedah lengan pun tidak.
Cuma tak bertudung macam si Idah dan Ikin tu aje.” Nina membalas perlahan. “Mama
bukan kira bertudung ke tidak. Yang pentingnya pakaian kamu kelihatan senonoh
macam anak dara lain. Ini tidak, siang malam dengan t-shirt dan seluar jeans
buruk kamu tu. Pakaian macam ni kamu kata sopan? Apa dah buta ke mata kamu tu?”
suara Datin Salbiah meninggi lagi.
“Dah nama pun kerja kat bengkel
ma, takkan nak pakai baju kurung pula masa buat kerja,” seloroh Nina. Bosan
dengan leteran Datin Salbiah.
“Hah, itulah ajelah jawapan
kamu. Bukannya siang malam kamu kerja kat bengkel tu. Sekali sekala pakailah
baju lain. Ini tidak, hari cuti pun kamu pakai baju yang sama, hari bekerja tak
payah katalah,” sahut Datin Salbiah geram.
Nina tidak menyahut. Sisa-sisa
air limau yang masih berbaki di dalam gelas di tuang ke ruang tekak.
“Ikut suka, kamulah Na, malas
mama nak tegur lagi, lagi banyak mama tegur, lagi sakit hati mama dibuatnya,”
tingkah Datin Salbiah bila di lihat Nina hanya mendiamkan diri.
“Tu, mama dah sediakan nasi kat
atas meja tu. Jangan kamu tak makan pulak.”
Dijeling sekilas wajah si anak
sebelum berlalu ke bilik tamu yang ada di rumah itu. Membawa bersama gumpalan
marah di hati.
Khalidah yang sedari tadi
berdiri di sudut dapur memasang telinga mendengar perbualan kedua-dua beranak
tu hanya tersenyum kecil saat Datin Salbiah melintasinya. Dia kembali berpaling
mengadap Nina yang turut memandangnya. Mereka berpandangan seketika.
“Dah lama ke mama aku sampai?” soal
Nina sedikit lemah. Memandang sekilas gelas kosong di tangannya.
“Dari petang tadi,” ujar
Khalidah lembut.
Nina mengeluh perlahan.
“Apasal kau tak call beritahu aku?”
“Aku dah call tapi tak dapat. Sand cakap kau sibuk sangat,” ujar Khalidah
seraya tersengih. Rasa bersalah menjentik hatinya.
Kedengaran Nina mengeluh lagi.
No comments:
Post a Comment