Friday, August 02, 2013

KEJORA KU BERSATU : BAB 11


BAB 11

“Sedap juga makanan kat gerai tadi tu ya. Lain kali kita pergi kat situ ajelah,” ujar Asyikin sebaik saja punggungnya mencecah kusyen kereta Kembara. Di tutup pintu kereta itu kejap.
“Tengoklah siapa tukang masaknya. Orang Melayu. Nama pun gerai masakan tradisi orang Melayu. Mestilah sedap,” ucap Nina tersenyum kecil.
Nina turut menutup pintu kereta. Sambil menghidupkan enjin, dia memasang tali pinggang keledar. Tak lama, kereta Kembara berwarna hitam metalik itu mula bergerak meninggalkan kawasan medan selera.
“Ikin, kau nak aku hantar kau kat mana ni? Kat rumah kau ke atau ke kedai perabot suami kau tu?” Nina menyoal tenang. Matanya memandang lurus ke depan.
“Kau ni, hantar aku kat kedailah. Kat rumah tu aku nak buat apa.”
“Iyalah, selalunya lepas tengah hari aje kau dah ada kat rumah.”
“Hari ni tak sebab anak-anak aku kat rumah mentua aku sekarang. Semalam dia orang datang ambil. Faham-faham ajelah. Cuti sekolah saja, di angkutnya kedua-dua anak aku tu ke rumah dia orang.”
So kau dengan Imran sekarang berhoneymoonlah seminggu dua ni,” usik Nina, mengukir senyum.
“Boleh dikatakan begitulah,” ujar Asyikin turut tersenyum.
“Untungkan kau Ikin, dapat suami sebaik Imran. Dia langsung tak kisah dengan apa yang kau nak buat,” sampuk Khalidah yang bersandar di tempat duduk belakang.
Dari tadi gadis itu begitu ralit menyelak majalah pemotoran kepunyaan Nina yang ada di dalam kereta itu. Walau pun dia tidak berminat dengan bidang permotoran namun sikapnya yang gemar membaca membuatkannya tidak memilih bahan bacaan bagi menambah ilmu pengetahuan.
“Tak kisah kata kau? Tak jugalah Idah. Imran tu cemburunya boleh tahan juga tahu. Pantang nampak aku berbual lama sikit dengan mana-mana pelanggan lelaki, mulalah dia tarik muka masam dia tu,” ujar Asyikin.
“Tapi cemburu tu kan tandanya sayang. Maknanya, dia sayang sangatlah pada kau,” celah Khalidah.
Di letak semula majalah di tangan ke sisi. Matanya memandang sekilas Asyikin yang mencebik bibir.
“Sayang tu sayanglah tapi janganlah melampau sangat. Sampai naik rimas aku dibuatnya,” terang Asyikin lagi.
“Ala Ikin, kalau aku di tempat husband kau tu pun aku buat perkara yang sama. Bukan aku tak tahu dengan perangai kau tu. Pantang ada saja lelaki yang tegur, huh, bukan main lagi kau layan,” bidas Nina.
Teringat Nina pada sikap Asyikin yang gemar menukar teman lelaki ketika mereka di menuntut di universiti suatu masa dulu. Hampir setiap bulan ada sahaja lelaki yang diperkenalkan sebagai teman lelakinya pada Nina dan Khalidah. Sikapnya itu berubah selepas dia bertemu dengan Imran, teman sekuliahnya yang kini bergelar suami pada Asyikin.
Imran jugalah lelaki yang berjaya mengubah penampilan seksi Asyikin menjadi seorang wanita muslimah sejati selepas mereka mendirikan rumah tangga.
“Mana ada Nina, aku tak buat macam tu pun. Waktu kita di universiti tu adalah. Sekarang mana ada,” jelas Asyikin membela diri.
“Iyalah tu. Kau kena ingat Ikin, kau tu isteri orang. Jangan sampai husband kau tu mengamuk. Kalau tak nahas kau,” ujar Khalidah.
“Yalah, yalah, aku takkan buat macam tu pada Imran. Percayalah,” balas Asyikin seakan menyerah. Malas untuk bertekak dengan kedua gadis itu lagi.
“Eh Nina, hubungan kau dengan Datuk Rashdan tu macam mana sekarang?” Asyikin menukar topik perbualan. Bulat matanya memandang teman yang tenang memandu itu.
“Macam mana? Macam tu jugalah,” ujar Nina selamba.
Sesekali matanya melirik ke arah Asyikin yang memandangnya.
“Bagi akulah Nina, lebih baiklah kalau kau lupakan saja Datuk Rashdan tu. Lelaki macam dia tu tak sepadan langsung dengan kau,” Khalidah bersuara lembut. Tidak mahu menyinggung perasaan sepupunya itu.
“Lagi pun, kalau tahu pada mak ayah kau, mati kau dikerjakan mereka,” sambungnya lagi.
“Apa aku nak buat Idah, hati aku dah terpaut padanya,” balas Nina selamba.
“Kau cakap macamlah dalam dunia ni dah tak ada lelaki lain lagi,” potong Asyikin. “Kau tu saja yang tak nak bukakan pintu hati kau untuk dia orang. Kau sedar tak Nina, Datuk Rashdan tu dah sebaya ayah kau? Anak dia yang sulung pun rasanya dah sebaya abang Shahrul kau tu.”
“Cinta tu buta Ikin dan aku sendiri tak pandang pada umur. Yang penting, dia sayangkan aku dan dapat menerima diri aku seadanya.”
“Iyalah tu. Hei Nina, cinta tu tak buta tapi kau tu yang buta. Buta mata, buta hati. Aku tak fikir dia sayang kau. Kalau iya pun dia sayangkan kau, aku rasa dia sayangkan kau seperti dia sayangkan anak dia sendiri,” jelas Asyikin.
“Betul kata Ikin tu. Lagi pun, dia bukannya tahu yang kau admire dia. Kau tu aje yang terhegeh-hegeh nakkan dia,” celah Khalidah.
“Ikut suka kau oranglah nak kata apa pun. Aku tak peduli pun semua tu. Yang penting, aku tahu yang aku sayangkannya dan aku nak kahwin dengannya,” ujar Nina, tersenyum.
Mereka yang memandang gelagatnya hanya mencebik bibir. Meluat dengan kata-kata gadis itu. Nina membelok keretanya ke Jalan Kasturi. Dia memperlahankan kereta apabila dari jauh matanya terpandang lampu isyarat yang berwarna merah.
“Eh kau orang, itu bukan Datuk Rashdan ke?” ujar Asyikin.
Pertanyaan Asyikin membuat Nina berpaling ke arahnya. Memandang sekilas arah yang ditunjukkan.
“Mana, aku tak nampak pun,” Khalidah turut menjengukkan kepala.
Cermin kereta diturunkan dengan lebih luas. Mencari kelibat manusia yang diperkatakan Asyikin.  
“Itu hah, kat sana tu. Kat sebelah restoran Rose tu,” Asyikin masih menunjuk ke satu arah.
Nina turut menjengukkan kepala tanpa menyedari keretanya masih bergerak perlahan. Dan tiba-tiba…
Bumm!!! Tanpa sedar hadapan kereta Kembara Nina telah menyodok sebuah kereta Perdana hitam metalik yang ada di depannya.
Kelam kabut Nina menekan brek. Untuk seketika dia tergamam. Beberapa kali dia menelan liur. Berusaha menenangkan hati yang tiba-tiba berkocak kuat. Dia cuba mempamerkan riak wajah tenang. Cuba berlagak selamba.
Asyikin dan Khalidah yang turut terperanjat memandangnya cemas.
“Aduh Na, kau buat apa ni sampai langgar bontot kereta orang?” Asyikin bersuara setelah terdiam sejenak.
Suara Asyikin kedengaran mengeletar. Pucat lesi wajahnya memandang kereta yang berada di depan mereka. Khalidah yang duduk di tempat duduk bahagian belakang turut memanjangkan leher. Ingin melihat keadaan kereta yang dilanggar Nina.
Tengku Anuar mematikan enjin kereta. Dia pantas menapak keluar. Airil dan William yang turut berada dalam kereta itu turut melangkah keluar.
“Ya Allah! kereta kau Anuar,” Airil bersuara sedikit lantang.
Dahinya ditepuk-tepuk beberapa kali. Dia merengus kuat seraya mencekak pinggang. William yang berdiri di belakangnya hanya memandang kelakuan lelaki itu. Wajahnya turut tegang.
Tengku Anuar menarik nafas panjang. Dia mendengus kecil.
Dengan lagak tenang Nina melangkah keluar dari kereta. Di hampiri Tengku Anuar yang pantas berpaling ke arahnya. Lelaki itu melemparkan pandangan tajam ke arahnya. Namun tiada riak tegang mahupun marah di wajah itu.
“Awak ni tak reti bawa kereta ke hah? Sampai menyodok kereta orang tak tentu pasal?” Lantang Airil bersuara sebaik saja ternampak kelibat gadis itu menghampiri mereka.
“Maaf ya encik, saya tak sengaja nak langgar kereta encik. Nanti saya bayar ganti ruginya,” sopan Nina bersuara.
Sedar, semuanya berlaku atas kelalaiannya sendiri. Dia menelan liur beberapa kali. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia melanggar kereta orang. Matanya dikerling sekilas ke arah Tengku Anuar yang sedari tadi hanya merenungnya tanpa sepatah kata.
Raut wajah lelaki itu masih seperti tadi. Tenang dan bersahaja. Namun renungannya mengundang rasa kurang senang pada Nina.
“Ewah, senangnya cakap. Ni lah perempuan. Kalau bawa kereta tu tak reti nak bawa elok-elok. Mata tu letak kat mana? Kat lutut?” sembur Airil lagi.
“Hei saudara, cakap tu baik-baik sikit ya. Jangan ikut sedap mulut aje nak cakap apa pun,” ujar Asyikin yang turut melangkah keluar dari kereta.
Asyikin mencekak pinggang. Geram mendengar kata-kata lelaki yang dianggapnya tidak beradab itu.
Airil ingin membalas namun suara William mematikan bicaranya.
“Dahlah tu, janganlah nak bertekak kat sini pula. Kau ni pun satu Airil, nak marah buat apa. Benda dah jadi pun,” tingkah William.
William memandang Asyikin yang masih memandang marah pada Airil.
“Ni, kereta siapa?” soal William tegas.
Bersilih ganti dia memandang Nina dan Asyikin yang berdiri tidak jauh darinya. Pandangannya jatuh pada Nina yang perlahan-lahan mengukir senyuman kelat.
“Kereta saya cik,” sahutnya.
Terdetik rasa hairan dalam hatinya mendengar kefasihan lelaki berbangsa Inggeris itu menutur bahasa Melayu.
“Macam mana boleh langgar kereta orang ni? Awak baru dapat lesen ke?” soal William sedikit tegas namun masih bernada sopan.
“Minta maaflah encik. Saya betul-betul tak sengaja tadi. Brek kereta rosak sikit,” Nina terpaksa berbohong.
Dia tak bermaksud untuk berkata demikian namun dia juga tak sanggup untuk berkata benar. Masakan dia akan memberitahu mereka yang dia terlanggar kereta itu hanya kerana ingin memandang seorang lelaki yang telah mencuri hatinya. Jatuhlah maruahnya nanti!
“Kalau dah tahu rosak apasal tak hantar ke workshop? Menyusahkan orang lain aje,” suara Airil membalas kata Nina.
Mata Airil masih melekat pada Asyikin yang mendengus marah. Dijeling sekilas ke arah wanita itu. Tajam.
Asyikin ingin menjawab namun Khalidah yang baru melangkah turun dari kereta segera menarik tangannya.
“Dahlah tu Ikin. Memang salah kita pun langgar kereta dia orang,” lembut Khalidah bersuara sebelum sempat Asyikin membuka mulut.
Airil tersenyum sinis. Dia ingin menghadiahkan satu lagi jelingan pada Asyikin namun sebaik matanya terpandang Khalidah yang berdiri di belakang Asyikin, senyumannya mati.
Untuk seketika Airil terpana. Tidak berkelip matanya memandang wajah lembut penuh keibuan itu. Ada suatu rasa yang menyelinap di hati lelakinya secara tiba-tiba. Sesuatu yang dirasakan berlainan dari perasaan yang sedia ada. Dia terpaku sejenak.
Khalidah yang menyedari pandangan itu segera menoleh wajah ke arah lain. Rasa segan menerpa dirinya. Malu dirinya dipandang sebegitu rupa. Tangannya yang masih mengenggam kemas tangan Asyikin mengeletar tiba-tiba. Jantungnya berdegup pantas. Ditunduk kepalanya sedikit.
Batukan kecil Tengku Anuar menyentak pandangan Airil. Melirik sekilas wajah Tengku Anuar sebelum kembali memandang Khalidah yang masih menundukkan muka. Airil sedikit tersipu. “Begini sajalah. Encik tak payah risau. Saya akan tanggung segala kerugian encik tu,” Nina bersuara setelah keadaan menjadi sunyi seketika.
Dihampiri keretanya. Tangannya mencapai sesuatu di tempat duduk belakang kereta. Tak lama dia kembali mendapatkan Tengku Anuar yang sedari tadi tidak mengalih matanya dari wajah gadis itu.
“Ini nombor handphone saya. Kalau ada apa-apa hal nanti, encik call saja saya bila-bila masa,” di hulur sekeping kad kecil berwarna biru.
Tengku Anuar menyambut tenang.
“Tak apalah. Rosak kereta saya tu bukannya teruk sangat pun. Sikit saja. Saya boleh baikinya sendiri. Apa pun terima kasih,” Tengku Anuar menutur kata buat kali pertama.
Dia yang sedari tadi hanya mengunci mulut kembali memandang wajah gadis itu sejenak sebelum memalingkan muka ke arah William dan Airil.
“Jom Wie, Ril.”
Dia kembali melangkah menuju ke kereta sebelum tubuhnya dihumban ke dalam kereta itu. William menarik lembut tangan Airil yang masih tidak mengalih matanya dari Khalidah.
“Dahlah tu Ril. Jomlah balik. Nanti lambat pula kau masuk pejabat,” ujar William sedikit berbisik.
Airil tersentak.
“Haah.” Sedikit kelam kabut lelaki itu menjawab.
Tanpa sepatah kata, dia turut menapak masuk. Tak lama, kereta Perdana itu memecut laju meninggalkan tempat itu. Nina menepuk dahinya perlahan. Dibuka cap yang berada di kepalanya. Di garu kepalanya yang tidak gatal. Mengeluh seketika. Kesal dengan kelalaian diri sendiri.
“Lain kali, hati-hati bawa kereta tu. Tengok, tak pasal-pasal dah menyodok kereta orang,” Asyikin bersuara sedikit geram setelah agak lama mereka mendiamkan diri.
“Alah, aku bukannya sengaja nak langgar kereta dia,” ujar Nina selamba.
Nina kembali melangkah masuk ke dalam kereta. Asyikin dan Khalidah turut serta. Tak lama, kereta Kembara turut meninggalkan tempat itu. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012