Monday, August 05, 2013

SETIAKU DI SINI: BAB 11


BAB 11

“Hai Fuzah, baru balik kerja ke?” Dhia melontar pertanyaan sebaik sahaja terpandang kelibat Mahfuzah di laman rumah tengah hari itu.
Mahfuzah yang baru saja mengunci keretanya segera menoleh. Dia tersenyum lebar. Mengalih pandangan pada Dhia yang entah bila terpacak di balik pagar rumahnya. Gadis itu turut meleretkan senyuman manis buatnya.
“Oh, Dhia rupanya. Haah. Saya baru saja sampai. Dhia dari mana ni?” ramah dia bertanya.
Meleret pandangan ke tubuh Dhia. Tubuh gadis itu masih berbalut dengan sepasang tee shirt berlengan panjang berwarna putih yang dipadankan dengan seluar jeans berwarna biru pekat. Rambut panjangnya dibiar lepas bebas. Ditampar lembut angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Begitu ringkas penampilannya namun kelihatan menawan di mata Mahfuzah yang melihat.  
“Saya baru saja balik dari bertemu dengan seorang kawan,” balas Dhia tersenyum lebar.
“Lewat awak balik mengajar. Selalunya cikgu sekolah balik awal,” sambungnya.
Mahfuzah tersenyum panjang.
“Tak juga Dhia. Kadang–kadang saja saya balik awal. Banyak kerja yang perlu di selesaikan di sekolah tu. Mana nak menanda buku, nak selesaikan masalah yang berlaku di kalangan pelajar, nak hadiri mesyuarat para guru lagi. Pendek kata memang ada sajalah kerja yang perlu dilakukan setiap hari,” ringan mulutnya bercerita.
 Dhia menjungkit kening sedikit. Digaru kepalanya yang tidak gatal.
“Oh, iya ke? Saya ingatkan senang saja jadi cikgu ni. Yalah, tugas cikgu kan hanya mengajar saja. Tak tahu pula ada kerja lain yang cikgu perlu lakukan selain mengajar pelajaran pada anak-anak murid,” suara Dhia jujur. Dia memandang wajah Mahfuzah yang masih menyimpul senyum.
“Kalau dari istilah umum, memang itulah tugas cikgu Dhia. Mengajar anak murid agar pandai membaca, mengira dan menulis. Tetapi sebenarnya, tugas cikgu adalah hampir sama berat dengan tugas ibubapa. Mendidik, membimbing dan memberi contoh tauladan pada anak-anak murid adalah antara perkara utama yang perlu setiap cikgu tekankan setiap masa.
Yalah, ibubapa kan contoh buat anak-anak ketika mereka di rumah. Di sekolah pula, cikgulah tempat rujukan mereka sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah. Pendek kata, macam mana tanggung jawab ibubapa di rumah, macam itulah juga tanggungjawab yang perlu cikgu lakukan ketika di sekolah.
Bezanya, cikgu tak memberi nafkah pada anak-anak murid sebagaimana yang wajib diberikan oleh ibubapa pada setiap anak-anak mereka,” jelasnya panjang lebar.
Merenung Dhia yang mengangguk faham. Entah mengapa hati Mahfuzah berasa tenang tiap kali terpandang wajah ceria milik anak saudara jirannya itu.
“Mmm, tak apalah ya Dhia. Lain kali kita berbual lagi ya. Saya minta diri ke dalam dulu. Saya belum solat Zuhur lagi. Ada masa datanglah rumah. Bolehlah kita berbual panjang lagi,” pelawa Mahfuzah seikhlas hati. Mula menapak ke dalam rumah.
“Insya Allah.” hanya itu yang dibalas Dhia seraya tersenyum kecil.
Memandang sekilas Mahfuzah sebelum dia sendiri melangkah masuk ke dalam rumahnya. Sedar, dia juga belum menunaikan kewajipannya sebagai seorang hamba Allah yang Maha Berkuasa.

“Hai Encik Harith Azfar, sibuk nampaknya,”
Azfar yang hilang dalam longgokan kerjanya segera mengangkat kepala. Memandang kelibat orang yang bersuara di balik pintu bilik pejabatnya. Sebaik terpandang wajah itu dia merengus kasar.  Ditekan interkom yang ada di depannya.
“Kamelia, siapa yang benarkan dia masuk?” keras suaranya bertanya.
Aida yang memerhati gerak lelaki itu segera meletakkan telapak tangan ke bibir merahnya seraya tersenyum penuh lebar.
“Ops, awak tak patut cakap begitu Encik Azfar. Kamelia tak ada kat luar. Dia dah keluar. Bukankah sekarang ni waktu untuk lunch?” balasnya tersenyum sinis. Melirik mata pada Azfar yang mendengus kesat.
Tidak mempedulikan pandangan tidak senang lelaki itu, Aida melangkah masuk ke ruang pejabat. Penuh bergaya. Dihenyak tubuhnya ke sofa. Menolak anak rambut yang berjuraian jatuh. Mengenai wajahnya yang bertampalan dengan solekan tebal. Menghasilkan raut muka yang mampu mencairkan hati sesiapa yang memandang.   
Azfar merengus keras. Ditolak kerusi yang didudukinya. Kasar. Lekas-lekas tubuhnya bangun. Mendapatkan Aida yang hanya tersenyum memandang kelakuannya. Mengadap wanita bertubuh tinggi itu seraya mencekak pinggang.
“Ada apa awak datang sini? Rasanya dah tak ada apa–apa urusan antara kita bukan?” keras lelaki itu melontar pertanyaan. Menerjah tajam kedua bola mata ke wajah Aida yang masih seperti tadi. Mengorak senyuman panjang.
Gadis itu segera bangun dari duduknya. Meliukkan tubuh ke kiri dan kanan. Mengatur langkah satu-persatu. Penuh menggoda. Merapati Azfar yang menjeling tajam. Tidak senang dengan kehadiran gadis itu. Apatah lagi dengan tingkahnya yang dirasakan dibuat-buat itu menambahkan lagi rasa meluat di hati lelakinya.
Well, kalau dari segi business, memang kita dah tak ada apa–apa yang perlu dibincangkan but secara peribadinya, ada banyak perkara yang boleh kita bincangkan.” lunak dia bersuara. Penuh manja. Cuba melarikan jari-jemarinya ke tubuh sasa Azfar yang mengelak pantas.
Azfar mencebik meluat. Kening lebatnya terangkat sedikit.
“Peribadi? Hei, tolonglah. Sejak bila kita ada hubungan peribadi ni? Sejak bila hah? Awak ni memang jenis tak tahu malu, kan Aida. Dah ditolak mentah–mentah pun masih tak tahu malu menyua muka pada orang. Kalau orang dah kata tak nak, maksudnya tak naklah kan. Takkan maksudnya nak pula!” kasar Azfar bersuara.
Dia kembali melangkah ke mejanya. Menyambung semula segala kerjanya yang terbengkalai sebentar tadi. Menyampah dengan tingkah yang ditunjukkan gadis itu. Tidak peduli pada Aida yang segera melemparkan renungan tajam ke arahnya. Hati gadis itu membengkak mendengar kata-kata selamba Azfar yang berupa satu penghinaan bagi dirinya. 
Gadis itu turut mengatur langkah. Mendapatkan Azfar yang telah menghempas punggung ke kerusi empuknya. Berdiri tegak di depan meja lelaki itu.
“Encik Harith Azfar, awak ni sememangnya lelaki yang tak tahu mengenang budi orang lain. Sepatutnya awak mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sanggup datang ke sini semata–mata untuk membuang jauh–jauh kesedihan yang sedang awak alami sekarang,” ujarnya sedikit tinggi. Mencerlung mata penuh tajam pada lelaki itu.
Azfar kembali mengangkat kepala. Memandang sejenak wajah marah itu. Pen di tangan turut dijatuhkan. Dia memahat senyuman. Cukup sinis.
Excuse me, siapa cakap saya sedang bersedih sekarang? Mana awak tahu semua ni? Lagi pun untuk apa saya nak bersedih? Hey come onlah, saya tak ada masa lah nak bersedih–sedih ni. By the way, kalau betul pun saya tengah bersedih, awak tak perlu bersusah payah nak tolong ubatkan. You are not the right person to do all that.
Lagipun Cik Aida, kedatangan awak sememangnya tidak pernah dialu-alukan. Jauh sekali dipinta. Oleh tu, jangan sesekali kata saya seorang yang tak tahu mengenang budi. I hope you understand what I mean,” ujar Azfar sedikit keras.
Fail di depan mata kembali diselak. Mengepit semula pen ke celah jari kasarnya sebelum kembali bersuara setenangnya.
“Sudahlah Aida, lebih baik awak keluar sebelum saya panggil pengawal keselamatan. Saya tak berminat untuk menjalin apa–apa hubungan pun dengan awak. Apapun, terima kasih atas keperihatinan awak tu walaupun saya tak perlukannya,” ujarnya selamba tanpa sempat gadis itu menyahut kata-katanya. Dia kembali menunduk wajah. Mengadap kerja.
You!
Hanya itu yang mampu keluar dari celah bibir Aida. Sakit hatinya melihatkan layanan sinis Azfar terhadapnya. Tanpa sepatah kata dia bergegas keluar. Meninggalkan Azfar yang kembali tenggelam dalam kesibukannya.

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012