Monday, August 05, 2013

BERSATU DALAM CINTA: BAB 17


BAB 17

“RIS, kamu tak nak bersarapan dulu ke?” tanya Puan Fatimah sebaik sahaja terlihat Faris menapak turun dari tingkat atas. Langsung lelaki itu ke ruang tamu. Anak itu menggeleng laju.
“Tak naklah mak. Ris nak bersarapan kat luar aje hari ni. Ris ada perjumpaan dengan klien kejap lagi. Alang-alang nak keluar tu, bolehlah Ris sarapan dengan dia orang sekali. Lagipun Ris dah lambat ni.”
Dia terus berlalu ke luar seraya mendapatkan kereta yang diparkir di depan rumah. Tidak peduli pada Puan Fatimah yang perlahan-lahan mengikut langkahnya dari belakang. Ingin menghantar si anak biarpun sekadar di muka pintu. Dijengul kepalanya di situ.
Faris baru saja ingin membuka pintu kereta tatkala matanya terpandang seseorang di laman rumah sebelah. Menjadi tabiatnya lewat kebelakangan ini melepas pandang ke situ. Dan ternyata hari ini sepasang matanya bertuah.
Sebaik sahaja menoleh, dia terus dapat menangkap kelibat seseorang yang entah bila telah berjaya mencuri hatinya. Menerbangkan dia ke dunia khayalan yang telah lama ditinggalkan. Membawa bersama rasa cinta ke dalam hatinya yang kini bergendang hebat. Tidak jadi memasuki kereta, lambat-lambat Faris menyandar tubuh ke pintu kereta kesayangannya. Sambil memeluk tubuh, dia merenung gadis itu.
Wafi begitu ralit menyiram tanaman, Puan Ainun di halaman rumahnya. Tidak sedar dirinya menjadi bahan tatapan seorang lelaki yang kini dalam diam menilai tingkahnya.
Sopan dan lemah lembut. Itu tanggapan pertama Faris terhadap diri Wafi sebelum mata beralih pula pada penampilan gadis itu. Berpakaian jubah hitam dan berkerudung rona serupa lengkap dari kepala hingga ke hujung kaki. Jauh berbeza penampilannya dari gadis-gadis yang sedia ada. Namun empunya diri tetap kelihatan cantik biarpun tiada senyuman di wajah manis itu.
Satu keadaan yang meninggalkan tanda tanya pada Faris yang masih asyik merenung gadis itu. Tanda tanya tentang dunia sebenar yang didiami gadis itu selama ini. Dunia yang mana memaksa si gadis membaluti tubuh dengan gaya dan potongan pakaian serupa saban waktu. Seakan warna lain tidak berupaya mengambil tempat merona diri gadis itu biarpun hanya sekejap.
Langsung Faris tidak perasan kelakuannya ketika ini sedang diperhatikan pula oleh emaknya dari pintu rumah. Wanita itu hanya tersenyum lebar sebaik sahaja terpandang gerangan manusia yang menjadikan anaknya terkaku di sisi keretanya ketika ini.
Agak lama mereka berkeadaan begitu sebelum Wafi mula menyedari sesuatu. Gerak hatinya mengatakan seseorang sedang memerhati tingkahnya sedari tadi. Begitupun dia mengagak semua itu hanya mainan perasaannya sendiri. Lalu dia berpura-pura tidak merasainya. Namun rasa pelik dan ingin tahu yang makin membuak-buak memaksa dia mencari kepastian. Perlahan-lahan dia melilau mata ke sekeliling sebelum berkeputusan memaling tubuh ke belakang.
Wafi agak terkaku tatkala terpandang mata tajam Faris sudah tertusuk lama di wajahnya. Begitu selamba lelaki itu merenung dia tanpa sebarang rasa bersalah. Jauh sekali rasa segan mahupun malu.
Langsung tidak senang dengan keadaan itu, Wafi dengan pantasnya menutup kepala paip sebelum segera berlalu ke dalam rumah. Tidak peduli pada gulungan getah paip yang masih melingkari halaman.
Sempat matanya menjeling tajam pada Faris yang tersentak dengan tindak balas spontan gadis itu. Buat seketika dia terpinga-pinga melihat Wafi menghilang diri dari pandangannya. Lehernya telah lama memanjang. Memandang setiap langkah ligat gadis itu sebelum digaru kepala tak gatalnya. Bingung dengan tingkah tidak diduga Wafi.
“Apa yang kamu tengok tu?” Pertanyaan itu menyentak pandangan Faris.
Kelam-kabut dia mengalih mata. Tepat mengenai wajah Puan Fatimah yang entah bila sudah terpacak di anjung rumah. Bulat mata wanita itu memandangnya.
“Kamu kata kamu dah terlambat nak ke tempat kerja. Ni kenapa masih ada kat depan rumah lagi?” tanya Puan Fatimah lagi dengan nada dan riak wajah serius. Sekadar ingin melihat tingkah si anak yang ternyata tergadah dengan pertanyaan itu.
“Ris nak pergilah ni mak,” gugup Faris menyahut.
Tergesa-gesa dia membuka pintu kereta. Sempat matanya mengerling ke halaman rumah sebelah sebelum melolos masuk ke dalam. Dia hanya tersenyum kelat pada si emak bila terperasan mata wanita itu masih bergayut di wajahnya.
Cepat-cepat dia berlalu dari situ setelah membunyikan hon. Meninggalkan Puan Fatimah yang terus membuang tawa sebaik saja kereta anak lelakinya menghilang dari laman rumah mereka. Geli hati melihat tingkah anaknya. Ada rasa bahagia berlagu dalam hatinya ketika ini. Bahagia dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi.

“ALHAMDULILLAH, lega benar rasanya hati saya sekarang ni Lily. Tak perlulah saya berjumpa dengan perempuan perasan bagus tu lagi lepas ni.” Nada Ainul kedengaran tenang tatkala melantun suara di bilik pejabatnya pagi itu.
Lily tersenyum manis.
“Kenapa pulak Encik Ainul kata begitu?” Soalannya berjaya melebarkan senyuman lelaki itu. Disandar tubuhnya ke kerusi empuknya.
“Yalah, mahu tak lega hati saya sekarang ni Lily. Lepas ni tak ada lagilah saya perlu tengok muka perempuan perasan bagus tu. Menyusahkan hidup orang aje,” ujar Ainul tanpa menyedari Ammar yang baru tiba di luar pintu bilik ketika ini terdengar kata-katanya. Terus saja lelaki itu memasang telinga di balik pintu yang tidak tertutup rapat itu.
“Hisy Encik Ainul ni, tak baik tau kata Puan Alia macam tu. Pada sayalah, Puan Alia tu baik orangnya. Dia tu nampak saja garang tapi hatinya baik. Manja pulak tu,” sangkal Lily.
Memuji ikhlas bekas isteri ketuanya yang cukup dikenali sikapnya sejak dulu. Hubungan rapatnya dengan Rina menjadikan dia mengenali tingkah Alia walaupun tidak sepenuhnya. Ainul merengus cepat.
“Huh, banyaklah awak punya manja. Dia tu bukan manja, tapi mengada-ngada orangnya! Serba-serbi nak orang dengar cakap dia aje. Macamlah kepala batu dia tu betul sangat,” sanggah Ainul ternyata tidak puas hati dengan kata-kata setiausahanya.
“Saya cakap perkara yang betul Encik Ainul. Sepanjang lapan tahun saya kenal Puan Alia, memang begitulah perangainya. Walaupun dia keras kepala macam Encik Ainul tapi hatinya memang betul-betul baik.”
Dalam memuji Alia, Lily sempat mengata Ainul. Serta-merta lelaki itu membuntang mata.
“Apa Lily? Awak kata saya keras kepala macam perempuan 220 BERSATU DALAM CINTA
tu? Mana ada!” marahnya terus melotot mata pada Lily.
Wanita itu hanya membalas selamba pandangan marah lelaki itu.
“Apa pulak tak adanya Encik Ainul? Memang pun perangai Encik Ainul dengan Puan Alia tu sama saja tapi dari segi keras kepala tu ajelah. Dari segi lain masih ada lagilah yang berbezanya.” Lily terus tersengih bila Ainul makin menjegil mata padanya.
“Ewah, ewah. Makin menjadi-jadi pulak mulut laser awak tu ya Lily. Apa awak dah tak sayang mulut tu ke hah? Sesedap rasa aje nak kutuk saya. Dah, dah, pergi sambung buat kerja awak kat luar tu,” arah Ainul sengaja mengeras suara.
Lily pula terus-terus tersengih. Mengerti benar dengan sikap Ainul yang jarang mengambil hati dengan teguran mahupun kutukannya biarpun adakalanya wanita itu terlepas kata dalam bergurau senda.
“Baik bos,” sahutnya dalam nada gurau seraya menapak ke pintu.
Namun belum sempat dia melangkah keluar, Ammar terlebih dulu menolak daun pintu seraya melangkah masuk. Membuatkan gerak langkah Lily terhenti sekejap. Terkejut dengan kemunculan tiba-tiba lelaki itu di situ. Bulat saja matanya memandang Ammar dengan gaya selamba meluah salam.
“Along mengganggu kau orang berdua ke?” soal Ammar tenang.
Seolah-olah perbualan kedua-duanya sebentar tadi tidak sampai ke dalam lubang telinganya. Dia tersenyum manis. Pantas saja Ainul menggeleng.
“Eh, tak adalah Along. Kita orang pun hanya borak-borak kosong saja,” ujar Ainul bersuara sambil mengerling Lily yang kembali meminta diri ke luar. Cukup mengerti dengan makna kerlingan tajam lelaki itu.
“Ada apa Along datang jumpa orang ni?” tanya Ainul telah bangun dari duduknya. Kemudian menapak sebelum duduk di sofa. Menghadap Ammar yang terlebih dulu berbuat demikian. Lelaki itu menguntum senyuman panjang.
“Along sebenarnya nak bincang dengan kamu pasal projek yang bakal kamu ambil alih dari Along di Setiawangsa tu. Kamu sendiri pun tahukan yang Along tak ada masa untuk kendalikan projek tu. Sebab tulah ayah beri projek tu pada kamu. So, sebelum kamu ambil alih sepenuhnya, elok rasanya Along beri sedikit penerangan pada kamu berhubung projek tu. At least tak adalah kamu terkial-kial nak menyiapkannya nanti.” Ammar terus ke tajuk yang ingin dibincangkan.
Sekali-sekala Ainul menyampuk. Turut sama meluah pendapat dan cadangan. Tidak tahu minda abangnya masih ligat memikirkan tentang diri dia dan Alia ketika ini.

“SAYA mengganggu abang ke?” Pertanyaan itu mengangkat kepala Khuzairi yang sejak tadi ralit membuat kerja di mejanya.
Dia tersenyum lebar tatkala terpandang Isma sudah berdiri di depan pintu bilik yang sejak tadi dibuka luas. Dia segera bangun dari duduknya.
“Hah Is, bilanya kamu sampai? Tak perasan pun abang.” Suaranya gembira dengan kedatangan lelaki yang telah lama dianggap seperti adik kandung sendiri itu.
“Jemputlah duduk,” pelawanya terus menghala tangan ke sofa.
Isma mengangguk seraya mengheret kaki ke sofa. Meletak punggung di sisi Khuzairi yang telah berbuat begitu terlebih dulu.
“Kamu dari mana ni?” Khuzairi membuka bicara antara mereka. Wajah tampan bekas adik iparnya dipandang lama.
“Dari mana lagi bang kalau bukan dari pejabat. Kebetulan masa keluar minum petang dengan klien tadi saya lalu kat pejabat abang ni. Jadi saya singgahlah sekejap nak jumpa dengan abang.”
Khuzairi mengangguk faham.
“Sebenarnya bang, saya datang ni sebab saya nak bagitahu yang saya dah pun tengok tanah ayah tu. Saya rasa cadangan ayah dan abang untuk membina penempatan chalet di situ sangat sesuai memandangkan kawasannya memang strategik.
Selain berdekatan dengan sungai, tanah tu juga dikelilingi dengan hutan-hutan yang masih terpelihara keadaannya. Jadi saya rasa kita boleh bangunkan kawasan tu sebagai salah sebuah kawasan pelancongan yang maju di masa depan.” Isma terus meluah tujuan kedatangannya petang itu. Serius saja wajahnya memandang Khuzairi yang mula melakar kerutan.
“Maksud kamu?” Ternyata Khuzairi berminat dengan usul itu.
“Begini bang...”
Isma sudah membetulkan cara duduknya. Lebih rapat dengan lelaki itu yang terus tekun menadah telinga.
“Dari pemerhatian yang saya buat, saya rasa kita boleh majukan lagi kawasan tanah ayah tu lebih dari apa yang kita rancangkan. Berbagai projek besar boleh kita lakukan di situ tapi dalam masa yang sama kita perlu kekalkan keindahan alam sekelilingnya. Senang cakap, kita buat pembangunan di situ sambil memelihara dan memulihara alam sekelilingnya.
Sebabnya bang, alam semula jadi tu merupakan aset yang paling bernilai untuk kita kaut keuntungan dalam pelbagai segi terutamanya dari segi ekonomi. Caranya, senang saja.
Kita bangunkan kawasan tu sebagai salah sebuah tempat pelancongan yang menarik di negara kita. Kita boleh jadikan air terjun dan sungai yang sedia ada di situ sebagai kawasan perkelahan. Chalet yang bakal kita bina tu boleh dijadikan penginapan buat para pengunjung yang datang dari jauh dan ingin bermalam di sana. Manakala hutan-hutan dara yang di sekeliling kawasan tu juga boleh kita bangunkannya sebagai kawasan rekreasi.
Pelbagai aktiviti riadah boleh kita lakukan seperti menjelajah hutan, berkhemah dan lain-lain tapi semua tu kita hanya boleh lakukan dengan bantuan anak-anak kampung tu sendiri sebab hanya mereka saja yang tahu selok-belok hutan-hutan yang ada di sekeliling kawasan tu,” jelas Isma panjang lebar.
Khuzairi sudah mengangguk beberapa kali.
“Lagi satu bang, saya cadangkan kita jadikan kampung tu sebagai perkampungan homestay sebab saya tengok keadaan dan kemudahannya hampir serba lengkap. Selain dekat dengan kawasan bandar, kampung itu masih lagi kekal dengan ciri-ciri tradisionalnya. Masih ada penduduk yang mengamalkan cara hidup seperti orang-orang dulu.
Masuk hutan, memikat burung, menjala ikan di sungai dan sebagainya. Selain dari menambah pendapatan penduduk kampung, kita jugak boleh kekalkan keaslian kampung tu untuk jangka masa yang panjang. Anak-anak mudanya pun tak perlulah keluar berhijrah ke bandar lagi sebab kampung itu sendiri sudah mampu memberi mereka pendapatan walaupun tak sebanyak pendapatan penduduk bandar,” sambung Isma begitu yakin dengan cadangannya.
“Apapun bang, semua ni hanya boleh dilaksanakan kalau mendapat persetujuan dari semua pihak yang terlibat. Apa pendapat abang? Abang rasa okey tak cadangan saya tu?” Isma menamatkan penerangan panjang lebarnya dengan soalan. Matanya masih tidak berganjak dari wajah Khuzairi.
“Pada abang, cadangan kamu tu memang baik sangat dan abang rasa tak ada bantahan dari mana-mana pihak kalau kamu benar-benar ingin laksanakannya. Elok jugalah kalau kamu bangunkan kawasan itu pun. Daripada terbiar macam tu saja, elok sangatlah kalau kita lakukan sesuatu yang boleh mendatangkan faedah pada semua.
Apapun, abang ikut saja segala cadangan kamu. Yalah, abang pun bukannya tahu sangat bab nak membina atau merancang perkara-perkara macam ni. Apa yang baik pada kamu, baik jugaklah pada abang dan ayah,” ucap Khuzairi berterus-terang.
Isma mengangguk laju.
“Kalau macam tu, nanti saya jumpa ayah. Saya nak tanya sendiri sama ada dia setuju atau tidak dengan cadangan saya ni,” sahutnya.
“Eloklah kalau begitu Is. Kalau ayah setuju, kamu jalankan saja projek tu bila-bila masa yang kamu suka pun. Kalau kamu perlukan apa-apa pertolongan, bagitahu sajalah pada abang. Insya-ALLAH, abang akan tolong setakat mana yang abang mampu,” sambut Khuzairi ikhlas.
“Oh ya Is. Lupa abang nak tanya. Sepanjang kamu berada kat kampung tu, kamu tak bersua dengan Damia ke?” soal Khuzairi baru teringat tentang perkara yang ingin ditanyakannya sedari tadi.
“Damia?” Isma mengerutkan kening. Berfikir sekejap.
“Oh, maksud abang sepupu Kamilia tu ya?”
Anggukan Khuzairi dibalas dengan gelengan Isma.
“Tak pun bang. Kata nenek, dia dah balik masa saya sampai petang tu. Tak tahulah kalau-kalau kami ada berselisih di tengah jalan tapi lama tak pernah tengok muka, jadi tak bolehlah saya cam dia yang mana satu,” sahut Isma.
Bayangan yang dilihatnya di tebing sungai beberapa hari lalu kembali menerpa masuk dalam mindanya. Mengingatkannya pada beberapa persoalan yang masih tidak terjawab sehingga ke hari ni. Persoalan yang berkaitan dengan keadaan misteri itu. Menjadikan Isma termenung sejenak ketika ini. Sedikit ralit memikirkan tentang perkara itu.
Tidak sedar ada riak kecewa di wajah Khuzairi tatkala mendengar jawapannya. Kecewa kerana hajat hati untuk mempertemukan kedua-dua insan itu tidak tercapai hingga ke hari ini. Begitupun tidak terlalu ketara kelihatan riak itu memandangkan Khuzairi bijak menyelitkannya di celah riak tenang.
So, apa yang kita nak buat sekarang?” Pertanyaan Khuzairi menyentak lamunan pendek Isma. Pantas wajah tenang lelaki itu menjadi tempat matanya membuang pandangan.
Isma tersenyum sedikit.
“Rasanya tak ada apa-apa yang perlu kita buat sekarang bang. Lepas saya bagitahu perkara ni pada ayah, barulah saya fikir apa yang patut dilakukan seterusnya. Apapun saya akan cuba berjumpa dengan ayah dalam masa terdekat ni,” sambut Isma. Sekali gus menghalau bayangan kenangan itu dari terus melingkari mindanya buat seketika.
Apatah lagi perbualannya dengan Khuzairi semakin rancak selepas itu. Bertukar dari satu kisah ke satu kisah tanpa jemu. Menjadikan bayangan misteri di kepala Isma semakin hilang dibawa waktu.

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012