BAB
18
Khalidah meletak kotak yang
dipegang di tepi kaki. Dia tunduk membuka kotak. Dikeluarkan beberapa buah buku
sebelum disusun di atas rak tinggi yang tegak berdiri di depannya. Sambil itu,
otaknya ligat mengira jumlah bilangan buku yang ada di depannya.
“Tumpang tanya, kedai ni masih
ada stok buku Health and Recreation
tak?” Suara seseorang yang menegur dari arah belakang menghentikan gerakannya.
Khalidah berpusing. Dia
tergamam. Begitu juga dengan lelaki itu. Ada riak terkejut di kedua-dua wajah.
Untuk seketika mereka hanya saling berpandangan tanpa sebarang kata. Perlahan-lahan
Khalidah kembali menegakkan tubuh. Berdiri bertentangan dengan tubuh tinggi
itu. Dia mengukir senyuman mesra.
“Ya, ada apa encik?” lembut dia
menyoal. Kepalanya ditundukkan sedikit.
“Hmm, kedai ni masih ada stok
buku Health and Recreation tak?” Agak
tergagap Airil mengulang pertanyannya. Dia membalas mesra senyuman gadis itu.
“Rasanya ada. Nanti saya
carikan,” ujar Khalidah, sedikit gugup.
Khalidah segera berlalu. Diayun
langkahnya menuju ke rak buku di bahagian kesihatan. Airil mengikut dari
belakang.
Khalidah membongkokkan badannya
sedikit. Pantas tangannya membelek satu per satu buku yang tersusun kemas di
rak yang rendah itu.
“Awak kerja kat sini ke?” soal Airil
cuba mengawal getaran suara.
Hati Airil sebenarnya bergelombang
hebat. Tajam matanya memandang gerak tangan gadis itu. Walaupun kelihatan lemah
lembut namun pergerakan Khalidah yang pantas dan cekap sekaligus menimbulkan
kekaguman pada Airil yang sedari tadi tidak mengalih pandangan matanya dari
terus meratah wajah bersih itu.
Khalidah hanya mengangguk. Tangannya
masih ligat mencari buku yang diminta Airil. Sesekali matanya mengerling ke
arah lelaki itu. Ditunduk wajahnya setiap kali pandangan mereka bertembung.
Hatinya bergetar kencang.
“Dah lama ke awak kerja kat
sini?”soal Airil lagi. Dia selalu berkunjung ke kedai itu namun inilah kali
pertama di bertemu dengan gadis itu.
“Baru beberapa minggu. Sebelum
ni saya kerja kat tempat lain,” ujar Khalidah malu-malu. Cuba menutup getaran
di hati.
“Seronok kerja kat sini?” soal
Airil lagi.
“Seronok tak seronok pun saya
tetap kena kerja jugak, kalau tak siapa nak jaga kedai ni.”
Airil mengerutkan dahi. Tidak
mengerti dengan kata-kata gadis itu.
“Maksud awak?” soalnya ingin
kepastian.
“Kedai buku ni kepunyaan ayah
saya. Sebab dah tak ada siapa yang dapat
uruskan kedai buku ayah saya ni, terpaksalah saya berhenti kerja, bantunya menguruskan
kedai ini.”
Airil mengangguk faham. Dia
tersenyum kecil.
“Ini dia buku yang encik nak tu,”
hulur Khalidah setelah beberapa ketika mencari. Dia kembali menegakkan tubuh.
“Just call me Airil atau Ril,” Airil menyahut pantas. “Boleh saya
tahu nama awak?”
Khalidah tersipu-sipu. Ditunduk
sedikit wajahnya.
“Saya Khalidah. Panggil saja
Idah,” balasnya lembut.
Dia kembali menundukkan muka
apabila bola matanya bertembung dengan bola mata lelaki itu. Airil tersenyum
lebar.
“So, boleh saya jumpa dengan awak lagi nanti?” Sejak tadi mata
lelaki itu melekat di wajah yang masih menunduk itu. Sekadar mencuba nasib.
Khalidah tersenyum lagi. Dia
akhirnya mengangguk.
Airil bersorak dalam hati. Terasa
harapan untuk mendekati gadis yang telah mencuri hatinya itu semakin bersinar.
“Hah, dah siap pun semuanya,” ujar
Nina mengelap peluh yang merenik di dahi.
Dihela pendek nafasnya. Dia
bangun dari duduk. Matanya meneliti belakang kereta yang baru dibaikinya.
Memastikan hasil kerja tidak mengecewakan pelanggan. Tangannya mengusap
perlahan manik-manik peluh yang bertaburan di wajahnya.
Tengku Anuar yang sedari tadi
duduk di tepi bengkel itu segera bangun. Masa yang agak lama yang diambil Nina
untuk membaiki keretanya memaksa Tengku Anuar mendudukkan diri di bangku
walaupun dia tidak ingin berbuat demikian. Dihampiri Nina yang kembali mengutip
segala perkakasnya.
“Hah Encik Anuar, dah siap pun
semuanya. Cuma nombor plat kereta aje saya tak boleh buat hari ni. Saya nak
kena tempah dulu nombor tu. Maybe
dalam minggu ni siaplah,” ujar Nina sebaik saja Tengku Anuar berdiri di
sebelahnya.
“So, berapa jumlah yang perlu saya bayar?”
Wajah comot Nina di renung
lama. Ada kecantikan asli di sebalik wajah yang basah dengan peluh itu.
“Eh, tak payah Encik Anuar.
Anggap aje ini sebagai ganti saya sebab melanggar kereta Encik hari tu,” ujar
Nina pantas.
Memang itulah niatnya. Menebus
semula kecuaian yang dilakukannya terhadap lelaki itu tempoh hari.
Tengku Anuar mendengus halus.
“Mana boleh begitu, awakkan
berniaga. Nanti rugi pulak. Lagipun bukannya sikit awak baiki tu,” ujar Tengku
Anuar.
Tidak pernah terlintas di
hatinya untuk meminta gadis itu membayar ganti rugi padanya.
“Alah Encik, rugi pun bukannya
boleh buat saya bangkrap pun. Setakat bengkel begini, apalah sangat. Lagi pun
memang itu niat saya tadi,” tingkah Nina bersahaja.
Tengku Anuar mengukir senyuman.
Hati lelakinya berbunga setiap kali mendengar gadis itu bersuara. Bagaikan ada
satu perasaan indah yang menyelinap di ruang hatinya kala ini. Perasaan yang
dia sendiri tidak mampu tafsirkannya.
“Okey kalau macam tu, apa kata
kalau saya belanja awak makan sebagai tanda terima kasih?” ujar Tengku Anuar.
Wajah Nina yang berkerut seribu
ditatap tepat.
“Please jangan tolak,” sambungnya bila di lihat Nina memandangnya
dengan pandangan yang kurang menyenangkan. Seakan gadis itu tidak sudi memenuhi
pelawaannya.
“Tak apalah Encik Anuar. Saya
ikhlas buat semua ni. Tak perlulah nak belanja makan pulak.”
Ternyata jangkaan Tengku Anuar
tepat. Nina menolak sopan.
Tengku Anuar mengeluh perlahan.
“Kalau saya tahu saya tak payah
bayar sesen pun, saya tak datang ke bengkel ni,” ujar Tengku Anuar seakan jauh
hati.
Dia berasa sedikit kecewa
pelawaannya di tolak mentah-mentah gadis itu. Nina tergelak kecil.
“Eh, janganlah macam tu.
Okeylah, lain kali kalau Encik Anuar datang ke bengkel ni, saya kenakan
bayaran. Saya janji,” ujarnya sedikit memujuk.
Di angkat lurus tangan kanan
separas kepalanya seakan membuat ikrar. Giliran Tengku Anuar tergelak kecil.
Mati akalnya seketika dengan tingkah gadis itu.
“Hmm… kalau begitu, saya minta
diri dulu. Terima kasih kerana sudi baiki kereta saya dengan percuma. Untung jugak kalau setiap kali baiki tak payah
bayar,” selorohnya.
Nina berdehem-dehem kecil.
”Untuk kali ni saja Encik
Anuar, lain kali tak adanya percuma,” balas Nina dalam nada bergurau.
Tercetus tawa lelaki itu. Nina
yang memandang turut tergelak.
“Saya minta diri dulu ya, thanks again,” ujar Tengku Anuar setelah
tawanya reda.
Nina hanya mengangguk kecil.
Dia memandang lelaki itu melangkah masuk ke kereta sebelum bergerak keluar dari
kawasan bengkel itu. Diangkat tangannya tatkala Tengku Anuar membunyikan hon
sebelum berlalu.
“Amboi, special benar orang tu ya Cik Nina, sampai tak payah bayar sesen pun.
Patutlah Cik Nina nak baiki sendiri kereta tu, ada makna rupanya,” Indra yang
baru setengah jam tadi berada semula di bengkel bersuara. Dikenyit mata
kanannya pada Rafiq dan Jimmy yang berada tidak jauh dari tempatnya duduk.
Mereka bertiga tersengih nakal.
Nina menjeling anak muda itu
sekilas dengan ekor matanya.
“Special apanya, saya yang langgar kereta dia, mestilah saya tak kenakan
bayaran,” balasnya sedikit tinggi.
Nina pura-pura marah. Diangkat semula
segala perkakas yang digunakannya tadi ke dalam bengkel. Indra turut
membantunya.
“Oo, jadi kereta dialah yang Cik
Nina langgar tempoh hari sampai besi depan kereta Cik Nina bengkok tu?” tanya
Rafiq yang sedang sibuk mencuci sebuah kereta.
“Handsome ya lelaki tu Cik Nina. Sesuai dengan Cik Nina,” sambung
Rafiq lagi sambil tersenyum.
“Bukan saja handsome, kaya lagi tu,” sampuk Jimmy
turut tersengih.
“Mana kau tahu dia kaya Jim?”
soal Indra sedikit kuat.
“Alah, kalau tak kaya takkan
dia nak pakai pakaian kemas macam tu. Kau fikirlah, ada ke orang yang nak
datang ke bengkel pakai pakaian macam tu. Siap bertali leher dan bersarung kot
lagi,” selorohnya.
“Iya tak ya jugak kan,” ujar
Indra mengaru-garu dagunya yang tidak gatal.
“Sepadanlah dengan Cik Nina
kita ni. Tak gitu Cik Nina?” ujar Rafiq tertawa kecil.
Mereka yang lain turut melempar
senyuman masing-masing. Nina yang mendengar kata anak muda itu mencekak pinggang.
“Amboi, bukan main lagi kau
orang ni ya, semua lelaki yang datang baiki kereta kat sini semuanya nak
dipadankan dengan saya,” ujar Nina walaupun dia tahu anak-anak muda itu sekadar
mengusiknya.
“Bukan begitu Cik Nina, memang
betul pun kata Rafiq tu. Cik Nina pun bukannya dari sehari ke sehari makin
muda. Dah dua puluh tujuh tahun pun. Eloklah Cik Nina berkahwin. Lainlah kami
bertiga ni, muda belia lagi,” Jimmy tersengih kecil seraya menepuk-nepuk
dadanya.
“Betul kata Jim tu Cik Nina,”
sampuk Indra. “Kalau Cik Nina kahwin, kami bertiga ni jugak yang untung.
Bolehlah kami merasa nasi minyak Cik Nina tu.”
“Betul, betul, aku sokong
pendapat kau tu,” ujar Rafiq sambil mengangguk beberapa kali.
“Lepas Cik Nina kahwin,
bolehlah kita dapat anak angkat nanti,” ujarnya lagi.
“Anak angkat?” soal Jimmy tidak
memahami kata-kata anak muda itu.
“Yalah anak angkat. Kalau Cik
Nina kahwin, mestilah dia dapat anak. Anak tu lah akan jadi anak angkat kita
nanti,” jelas Rafiq tersenyum.
“Wah, mesti bestkan kalau anak angkat. Bolehlah aku
ajar dia macam mana nak baiki motor dan
kereta nanti,” ujar Jimmy mula berangan.
Nina membesarkan mata. Sengaja
mempamerkan riak serius di raut wajahnya.
“Ewah, makin menjadi-jadi pulak
kau orang ni ya. Dah, dah, buat kerja masing-masing. Tak pasal-pasal saya
potong gaji kamu bertiga nanti. Baru kamu tahu,” ujar Nina menjegilkan
kedua-dua matanya.
Tanpa berlengah lagi, dia mengayun
langkahnya kembali ke pejabat. Meninggalkan mereka bertiga yang hanya tersengih-sengih
memandangnya.
No comments:
Post a Comment