Monday, August 05, 2013

BERSATU DALAM CINTA : BAB 15


BAB 15

“KAMU dah Solat Isyak Wafi?” Encik Musaid bertanya sebaik sahaja ternampak kelibat anak perempuannya turun dari tingkat atas rumah malam itu.
Wafi mengangguk kecil.
“Dah ayah,” sambutnya terus ke ruang tamu. Perlahan-lahan dia merebah tubuh di sisi Puan Ainun.
“Kamu pergi mana petang tadi Wafi? Lewat jugak kamu sampai ke rumah.” Lembut wanita itu bertanya seraya menatap wajah tenang itu.
“Wafi keluar beli barang-barang lukisan kat tengah bandar tadi,” jawabnya sopan.
Dia terus mengalih mata pada ayahnya bila lelaki itu pula melontar soalan.
“Kenapa tak bagitahu ayah Wafi nak keluar? Boleh ayah tolong hantarkan.” Nada suara Encik Musaid kedengaran sedikit risau. Sama seperti isterinya.
“Betul kata ayah kamu tu Wafi. Terkejut jugak mak pagi tadi bila Wafi bagitahu Wafi nak keluar ke bandar. Kata sekejap saja tapi dah petang baru nampak muka. Dahlah Wafi terlupa nak bawa telefon bimbit Wafi tadi. Mana tak risau kami dibuatnya.”
Wajah Puan Ainun sudah memperlihatkan riak bimbang yang sejak tadi tidak dapat disembunyikannya. Wafi tersenyum sikit.
“Wafi mintak maaf sebab buatkan mak dan ayah susah hati. Tapi Wafi sebenarnya tak nak susahkan ayah. Wafi tahu jugak jalan-jalan kat area bandar ni walaupun Wafi tak pernah ke sini sebelum ni. Kalau Wafi sesat sekalipun Wafi boleh tanya pada orang ramai.
Bukankah rakyat Malaysia terkenal dengan keramahan mereka? Jadi mak dan ayah tak payahlah bimbang ya. Tahulah Wafi jaga diri Wafi sendiri. Apapun Wafi mintak maaf sekali lagi sebab terlupa bawa telefon tadi. Wafi tak sengaja tinggalkannya kat rumah. Wafi janji lain kali Wafi tak buat begitu lagi,” pujuk Wafi turut menyelit ucapan maaf atas kecuaiannya siang tadi.
“Kami bukannya apa Wafi. Kami bimbang kalau-kalau terjadi apa-apa yang tak elok pada kamu. Lainlah kalau kamu keluar dengan kawan-kawan ke, ada teman ke, taklah kami bimbang sangat.” Puan Ainun meluah lagi rasa hatinya.
Wajah tenang gadis itu masih menjadi habuan matanya. Skrin televisyen di depan mereka tidak lagi mendapat perhatian dia suami isteri. Begitu juga Wafi.
“Wafi mintak maaf sekali lagi mak, ayah kerana Wafi telah susahkan hati mak dan ayah. Wafi janji Wafi takkan buat mak dan ayah risau pasal Wafi lagi nanti.” Buat kali kedua Wafi mengikat janji dengan mengulangi semula kata-katanya.
Kedua-dua orang tuanya perlahan-lahan mengangguk seraya tersenyum panjang. Senang dengan tingkah Wafi yang sejak dulu begitu mudah mengaku kesilapannya biarpun atas perkara-perkara kecil.
“Tak apalah mak, ayah, Wafi masuk tidur dulu ya. Penat rasanya badan Wafi ni setelah seharian berjalan-jalan kat bandar tu.”
Dia meminta diri lalu menyalami kedua-dua orang tuanya.
Mereka kembali mengangguk sedangkan bibir kedua-duanya terus memintal senyuman.
“Abang dah pergi tengok rumah arwah Wahid?” soal Puan Ainun sebaik sahaja Wafi hilang dari pandangan mereka. Terus saja matanya menebak wajah lelaki itu.
Perlahan-lahan suaminya mengangguk kecil.
“Ada abang pergi beberapa hari lepas tapi abang tengok dari jauh sajalah. Alhamdulillah, nampaknya Ghaffar menjaga rumah tu dengan baik.” Perlahan saja dia menyahut.
Bimbang juga andai isi perbualan mereka ketika ini didengari sesiapa terutamanya anak gadis mereka. Sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan yang mana tidak mungkin akan dijawab oleh suami isteri itu buat masa ini. Apatah lagi mereka sendiri belum bersedia untuk membincangkannya dalam keadaan terbuka.
Buat seketika Puan Ainun mengeluh kecil.
“Teringin benar saya nak pergi tengok rumah tu bang tapi itulah, apa pulak kata Wafi kalau kita sama-sama balik ke sana nanti. Saya tak mahu tengok dia bersedih lagi. Sekarang ni pun dia masih tak dapat lupakan semuanya walaupun dah bertahun-tahun masa berlalu. Saya takut kalau terjadi apa-apa yang buruk kat dia nanti.” Suara Puan Ainun sudah bersalut risau bercampur sebak.
Dia benar-benar bimbang dengan diri Wafi yang telah cukup difahami keadaannya sejak dulu. Jalan kehidupan gadis itu terlalu jauh berbeza jika dibandingkan dengan orang lain. Kehidupan yang ternyata meninggalkan kesan yang begitu mendalam bukan saja buat Wafi tetapi juga pada mereka sekeluarga. Kesan luka yang begitu memeritkan.
“Awak jangan risau Ain. Insya-ALLAH, abang yakin semuanya akan kembali seperti dulu. Cuma kita tak tahu bila semua tu akan berlaku.” Penuh yakin Encik Musaid membalas kata. Wajah suram si isteri dipandang lama.
“Itu kata abang tapi dah sepuluh tahun semua tu berlaku. Wafi tetap macam tu jugak. Langsung tiada perubahan. Bezanya dulu dia banyak berkurung dan tak mahu bercakap dengan orang luar. Sekarang ni dia dah mahu berkawan dengan orang walaupun tak seramah mana.”
Wajah suram Puan Ainun sudah dilalui titisan air matanya. Hiba hatinya setiap kali teringatkan keadaan anak gadis kesayangannya itu.
“Ain, sekurang-kurangnya dia berubah jugak bukan daripada dulu? Itu tandanya dia memerlukan masa untuk melupakan semua yang telah berlaku. Kita sebagai orang tuanya tak boleh mudah berputus asa. Kita kena sentiasa berusaha dan berdoa pada ALLAH agar segala harapan yang kita sandarkan padanya akan tercapai jugak suatu hari nanti.” Lembut Encik Musaid menasihati isterinya.
“Dahlah tu Ain, jangan awak menangis lagi. Kalau ternampak dek Wafi entah apa pulak yang difikirkannya nanti,” pujuknya.
“Oh ya bang, apa yang abang nak buat dengan rumah arwah Wahid tu?” soal Puan Ainun semula tidak lama kemudian setelah diri kembali tenang.
“Abang rasa, biar sajalah rumah tu berkeadaan begitu sampai bila-bila. Lagipun rumah tu bukannya hak kita tapi hak Wafi. Kita hanya tolong menjaganya sebelum kita serahkan semula pada dia di waktu yang sesuai nanti. Apapun buat masa sekarang abang rasa biarlah Ghaffar yang mengendalikannya sebagaimana biasa,” balas Encik Musaid terus mengalih mata pada skrin televisyen. Menandakan dia tidak berminat lagi bercakap tentang perkara itu.
Menjadikan mulut Puan Ainun turut sama terkunci rapat. Mengerti dengan tindak-tanduk yang ditunjukkan suaminya di waktu ini. Perlahan saki-baki air matanya dibuang dengan hujung baju tidurnya. Lalu sepasang matanya turut dilekap ke skrin televisyen. Sama-sama menonton.

“ALLAH, aku dah tak tahu nak buat apa lagi sekarang ni Zali. Pening kepala aku bila fikirkan pasal anak-anak kita tu. Makin kita nak baikkan dia orang, makin teruk pulak perangai kedua-duanya. Lebih teruk dari apa yang kita fikir pulak tu. Buat malu keluarga aje.” Encik Azmi mengeluh panjang. Diusap sama dahinya beberapa kali. Jelas benar rasa kesal dan kecewa di wajah yang makin dimamah usia itu.
Encik Ghazali di sisinya turut beriak serupa.
“Entahlah Mi, aku sendiri pun tak tahu nak kata apa. Dah masuk lapan tahun dia orang bercerai. Jangan kata nak berkawan, nak bertegur sapa pun tak boleh. Apa nak jadi dengan budak berdua tu pun tak tahulah. Dulu masa bercinta bukan main rapat sampai nak berenggang seminit pun tak boleh. Bila dah bercerai nak tengok muka pun dah tak mahu. Punyalah meluat sesama sendiri.”
Dia sendiri turut bingung dengan sikap Ainul dan Alia.
“Saya rasalah bang, lebih baik kalau kita biarkan saja budak berdua tu macam tu saja sampai bila-bila. Lantak dia oranglah nak jadi apapun lepas ni,” sampuk Puan Almas.
Dia turut berada di laman rumah Encik Azmi petang itu bersama ahli keluarga mereka yang lain. Jelas kedengaran rasa marah dan geram dalam nada suaranya.
“Ikutkan hati aku ni Mas, aku pun nak buat macam kau kata tu, tapi tak boleh jugak kalau kita biarkan saja budak berdua tu. Yalah, karang kalau jadi apa-apa pada dia orang di masa depan, kita semua jugak yang menyesal nanti.” Puan Hayati mencelah kata. Lebih kepada memujuk meskipun hatinya turut dibalut rasa serupa sebagaimana mereka yang lain rasakan ketika ini.
“Kita nak menyesal apanya lagi Yati. Sebagai orang tua dia orang, kita dah pun jalankan tanggungjawab dan kewajipan kita tapi kalau dia orang sendiri yang tak mahu terima semua tu, mahu atau tidak terpaksalah kita biarkan aje dia orang buat keputusan sendiri lepas ni,” sanggah Puan Almas sedikit tinggi. Benar-benar berang dengan sikap kedua-dua anak mereka.
“Mak tak perlulah risau sangat tentang perkara ni. Along yakin pasti akan ada jalan penyelesaiannya nanti.”
Tiba-tiba saja Ammar yang sejak tadi ralit berbual bersama Rusydi di meja sama menyampuk kata. Membuatkan empat pasang mata milik mereka berempat beralih segera ke arahnya.
“Betul kata Am tu mak, ayah. Pasti suatu hari nanti Ainul dan Alia akan sedar dengan kesilapan yang mereka telah buat tu. Cuma kita tak tahu macam mana dan bila semua tu akan berlaku.” Anis turut menyelit suara.
Wardina di sisinya mengangguk laju. Bersetuju benar dengan kata-kata sahabat baiknya. Puan Almas mengeluh panjang.
“Macam mana kami tak risau Am, Anis. Adik-adik kamu tu, hidup hanya tahu menyusahkan orang tua aje pun. Langsung tak terfikir perasaan kita semua selama ni. Dari dulu sampai sekarang, tak pernahnya nak bagi kami senang hati tengok hidup dia orang. Ada saja perkara yang dibuat dia orang tu mengecewakan kami. Salah satunya inilah dia. Dah bercerai satu bablah, nak berbaik pun tak mahu langsung.
Tak payah kata nak berbaik, nak bertegur sapa pun dah tak boleh. Punyalah keras kepala masing-masing. Langsung tak nak mengaku silap sendiri. Jadi kamu berempat fikirlah, macam mana kami semua ni nak senang hati kalau begini gayanya perangai adik-adik kamu tu?” Panjang wanita itu meluah rasa hatinya.
Jelas terpancar rasa kecewa di wajahnya sama seperti mereka yang lain.
“Dia orang berdua tu sebenarnya masih lagi saling menyayangi tapi itulah, ego sangat kedua-duanya pun. Langsung tak mahu nak beralah. Ikutkan hati mak ni, nak saja mak tampar muka kedua-dua adik kamu tu sekuat hati. Biar berakal sikit otak kedua-duanya. Taklah menyusahkan kita macam sekarang ni.” Giliran Puan Hayati pula membuang rasa geramnya.
“Macam ni sajalah mak, ayah. Saya rasa ada caranya untuk kita sedarkan Ainul dan Alia tu. Cara yang mana akan membuatkan kedua-duanya sedar tentang sikap dan perasaan masing-masing. Saya yakin, mereka akan berbaik semula selepas ini sepertimana yang kita semua harapkan selama ni,” celah Rusydi tiba-tiba. Sekali gus berjaya melekapkan semua mata ke wajahnya pula.
“Cara macam mana maksud kamu tu?” tanya Encik Azmi cepat. Ingin tahu dengan lebih jelas kata-kata menantu sulung kepada Encik Ghazali dan Puan Almas itu.
Lelaki itu tersenyum lebar.
“Saya rasa elok kalau mak dan ayah serahkan saja perkara ni pada kami berempat. Biar kami saja yang satukan semula Ainul dan Alia. Insya-ALLAH, saya yakin kami akan berjaya lakukan mengikut cara kami sendiri,” jawab Rusydi.
Ammar terus mengangguk laju. Begitu juga Wardina dan Anis. Ada senyuman lebar di wajah mereka. Penuh makna.
“Apa yang kamu berempat nak buat pada budak berdua tu?” Ternyata Puan Hayati sudah tidak sabar untuk mendengar rancangan yang bakal dilakukan oleh anak-anak dan menantu mereka sebagaimana mereka yang lain. Mereka terus berpaling pada Ammar yang kini telah sedia membuka mulut.
“Begini mak, ayah...”

“ADUH, kenapa dengan aku ni? Dah gila bayang agaknya. Tapi takkanlah begitu pulak jadinya? Baru sekali pandang dah jadi begini. Kira dah parahlah keadaan aku ni ya?” Faris bersuara sedang tubuhnya berubah posisi lagi.
Sudah puas dia menggolek tubuh sejak tadi. Dari kiri ke kanan. Dari kepala katil hingga hujung katil. Dari atas katil melarat ke atas permaidani bilik. Tapi matanya masih tidak mahu pejam rapat. Dia akhirnya bosan dengan keadaan itu. Segera dinyalakan lampu tidurnya. Menerangi bilik yang telah lama kelam disimbah suasana malam. Dilepas panjang nafasnya.
Wajah gadis itu terbayang semula di matanya. Menjadikan Faris tanpa sedar membentuk senyuman sendiri. Khayal sebentar dengan kehadiran bayangan Wafi di matanya. Sedangkan dia sendiri tidak pernah sedar sejak bila wajah gadis itu mula menempel di layar retinanya. Mengasyikkan dia yang kali pertama menatap wajah lembut itu. Terasa hati bagai dicuri biarpun tidak sepenuhnya.
“Apa yang dah jadi pada aku sebenarnya ni hah? Adakah aku dah jatuh cinta pandang pertama pada dia?” Dalam kegelapan malam Faris bersuara lagi.
Dibiar matanya menatap siling bilik. Tiada apa yang dapat ditangkap matanya melainkan wajah Wafi semata-mata. Lalu senyuman Faris terlukis semula. Dia kembali khayal dengan keadaan itu sebelum perlahan-lahan dia melepas keluhan panjang.
“Menyesal pulak rasanya aku tak kenal dia dengan lebih awal. Kenapalah aku buat bodoh aje masa mak dan adik cakap pasal dia dulu? Tapi mana aku tahu dia macam tu punya cantik sampai aku yang kali pertama tengok pun dah tak boleh tidur malam dibuatnya. Angau semacam aje kat dia.
Apa dia pakai minyak pengasih ke sampaikan aku tak boleh lupakan dia begini sekali? Tapi, mustahillah pulak dia pakai benda-benda khurafat macam tu. Tadi tu pun beberapa saat aje dia pandang aku. Itupun dengan muka tegang semacam aje. Macam tak suka aku tengok dia aje. Jadi mustahil sangatlah dia pakai benda-benda mengarut macam tu.” Faris bersuara lagi. Dilentang tubuhnya. Menghadap siling.
“Dah berpunya ke dia atau masih lagi mencari? Tengok dari gaya, macam belum ada tapi betul ke dia belum ada siapa-siapa yang punya? Cantik macam tu takkanlah tak ada yang berkenan kot? Tapi macam mana orang nak berkenan kalau susah sangat dia nak senyum? Aku yang begini handsome pun tak dipandangnya, inikan pulak lelaki lain.” Sambil memeluk bantal Faris bersuara lagi. Sempat pula dia memuji diri sendiri. Dia tersenyum semula tatkala teringat sesuatu.
“Cantik betullah mata dia tu. Tambah-tambah bila dia menjeling begitu. Buat aku tergoda aje. Alahai mak, nampaknya anak terunamu ni dah jatuh cinta.” Senyuman Faris terukir lagi. Lebih lebar dari tadi.
“Tak apa, esok masih ada. Nantilah, aku akan cari jugak jalan nak berkenalan dengan dia. Kalau dia dah ada yang punya, awal-awal lagi aku angkat kaki. Tapi kalau belum, mimpilah kau nak lepas dari aku wahai bidadari. Ini Faris Firdauslah, pantang berundur sebelum berusaha tau.” Diam-diam Faris menanam tekad sendiri.
Senyumannya makin mekar sebelum lama-kelamaan dia mulai terlena dengan wajah Wafi masih melata di minda. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012