Monday, August 05, 2013

SETIAKU DI SINI : BAB 13


BAB  13

Al–Quran yang terbuka di depan mata di tutup rapat. Dikucup permukaannya sekali sebelum diletak semula ke atas rak di tepi katil. Telekung yang sedari tadi membalut tubuh ditarik keluar. Menyidainya di ampaian kayu di sudut bilik. Dihempas tubuhnya ke birai katil. Dia termenung sejenak.
Tanpa sedar Mahfuzah mengeluh perlahan. Fikirannya kembali terasa padat. Penuh dengan pelbagai perkara. Dan salah satunya berkaitan dengan dirinya sendiri.
Perbualannya bersama Puan Raudah dan Encik Hazwan beberapa hari lalu kembali bercambah di kotak fikirannya.
“Kamu nak tunggu apa lagi Fuzah? Kamu tu bukannya dari sehari ke sehari makin muda. Sekarang ni pun dah 27 tahun. Masih tak nak berkahwin,” suara Puan Raudah sedikit keras.
Geram dengan kedegilan anak tunggalnya yang enggan melangkah kaki ke alam perkahwinan.
“Betul kata Umi tu Fuzah. Sampai bila Walid dengan Umi nak tunggu tengok kamu berkahwin? Kamu tulah satu–satunya anak yang kami ada. Teringin juga Walid dengan Umi nak timang cucu sendiri sebelum mata kami tertutup rapat,” celah Encik Hazwan.
Ada rasa kesal yang menyalut nada suaranya. Melepas pandang pada Mahfuzah yang bermain dengan jari–jemarinya sendiri.
“Fuzah tak sedia lagi Walid, Umi,” suara Mahfuzah perlahan.
Tidak mahu menyinggung perasaan kedua orang tuanya. Kepalanya ditundukkan sedikit. Sementara matanya terarah pada permaidani tempatnya melabuh diri kini.
“Kalau nak tunggu kamu bersedia tu rasa–rasanya tak sempatlah kami nak tengok kamu tu berkahwin,” keluhan Puan Raudah bercampur gaul dengan rasa terkilan. Terkilan dengan sikap anaknya yang ternyata tidak mahu menunaikan keinginan yang menjadi harapan dirinya dan suami untuk meraihnya dalam masa terhampir ini.
“Fuzah tak kesian ke pada Umi dan Walid? Kami ni berharap sangat Fuzah dapat tunaikan permintaan kami ni. Apa payah sangat ke Fuzah nak lakukannya?”
Puan Raudah kembali membuang suara. Penuh kelembutan. Lembut yang diharap dapat mencairkan hati sang anak yang membeku keras.
“Kalau tentang calon tu tak usahlah kamu risau. Ramai yang menanya tentang kamu. Cuma tunggu persetujuan dari kamu saja,” sambungnya lagi.
“Ke kamu dah ada pilihan sendiri?”
Pertanyaan Encik Hazwan membuatkan Mahfuzah terkedu seketika. Digeleng kepalanya perlahan.
“Habis tu, apa masalahnya Fuzah?” tekan Encik Hazwan.
Ingin tahu sebab musabab yang membuatkan gadis itu tidak mempunyai rasa untuk membina keluarga sendiri.
Mahfuzah kembali mengangkat muka sebelum perlahan bersuara, “Nantilah Umi, Walid, bila Fuzah dah bersedia untuk berkahwin, Fuzah akan beritahu.”

Mahfuzah mengeluh panjang. Masih tergiang di telinganya perbualan mereka sekeluarga malam itu. Sedikit sebanyak kata–kata kedua orang tuanya menjentik rasa sedih di hatinya. Sedih mengenangkan diri yang menjadi anak derhaka kerana tidak mendengar kata orang tua. Mengecewakan dua perasaan yang begitu menyayanginya.
Telah banyak pinangan yang melayang tiba. Dari sanak saudara hinggalah kenalan rapat. Semuanya ditolak secara baik. Semuanya kerana satu sebab. Dia tidak dapat menerima kehadiran orang lain di hatinya. Hatinya telah penuh dengan cinta. Cinta untuk seseorang yang telah lama mencuri hati wanitanya.
Sejak kali pertama dia mengenali lelaki itu hatinya telah terpaut. Sikapnya yang ringan tulang dan beradab sopan itu begitu disenanginya biar pun dia tidak pernah melihat senyuman di wajah tampan itu. Walau pun lelaki itu tidak dapat memahami rasa hatinya namun dia tidak kisah dengan semua itu. Baginya, setiap manusia mempunyai kelemahan dan kelebihannya dan lelaki itu juga tidak terkecuali dari semua itu.
Farhan. Dalam diam dia memendam perasaan terhadap jejaka bertubuh sederhana itu. Dia suka berbual dengan Farhan walau hubungan mereka dengan tidak serapat hubungannya dengan Fadlan dan Fakhira. Dia senang dengan setiap tingkah yang ditonjolkan lelaki itu.
Di mata Mahfuzah, Farhan memenuhi segala impiannya. Baik, bersopan santun, berbudi bahasa dan yang paling utama, lelaki itu kaya dengan amalan agama. Walau perkara itu jarang dipamerkan namun dia dapat membacanya dari perlakuan dan tingkah yang ditunjukkan. Segalanya terserlah tanpa perlu diluahkan.
Begitu pun dia sedar, dia tidak boleh selamanya berkeadaan begitu. Memendam perasaan tanpa meluahkannya. Masa akan terus berputar tanpa menunggu sesiapa. Sekaligus menjarakkan hubungannya dengan Farhan sekiranya dia tidak berusaha untuk mempertahankannya. Akan tiba masanya dia mahupun Farhan membina keluarga sendiri dan kini masa itu telah tiba.
Namun tiada tanda dia dan Farhan akan bersatu sementelah dia sendiri tidak pernah meluahkan rasa hati pada lelaki itu. Jauh sekali Farhan yang sememangnya tidak pernah mengetahui apa yang bersarang di hati wanitanya.
Malah kemungkinan dirinya menjadi milik orang lain yang tidak dikenali jauh sekali dicintainya begitu besar disebabkan keengganan dia meluah rasa hati sendiri. Mengingatkan semua itu membuatkan airmatanya menitis hiba. Mahfuzah menangis sendiri.

Komputer riba yang sedari tadi terbuka luas di depan mata dikatup perlahan. Ditolak sedikit hingga merapati dinding bilik. Memandang sekilas meja tulis yang tersusun rapi serta kemas. Memperlihatkan sikap pemilik bilik itu yang mementingkan kebersihan dan kekemasan dalam setiap perkara.  
Farhan menggeliatkan tubuhnya ke kiri dan kanan. Menghilangkan rasa lenguh yang mencengkam tubuh. Tak lama dia bangun. Melangkah menuju ke katil.
Di rebah tubuhnya di situ. Ditarik buku yang sedia ada di tepi katil. Dia mula membaca. Amalan baik yang dilakukan sedari kecil itu membuatkan Farhan tidak lokek berbelanja setiap bulan untuk membeli pelbagai jenis bahan bacaan. Hingga timbunan buku dan majalah yang di susun penuh teratur dan kemas memenuhi setiap sudut bilik tidurnya.
Namun tumpuannya pada dada buku hanya seketika. Tangannya meletak semula bahan ilmiah ke tempatnya. Perbualannya bersama Nek Zaitun petang tadi menyebabkan dirinya didatangi rasa resah malam itu. Resah yang menjadikan minatnya untuk menjelajah bahan bacaan yang sedia ada hilang begitu saja. Sehingga kini benaknya masih lagi memutarkan setiap patah kata wanita itu.
Seingat dirinya, bukan dia tidak pernah memikirkan tentang alam rumahtangga. Pernah timbul perkara itu di dalam dirinya sekali dua suatu masa dulu. Namun melihatkan keluarga dan diri sendiri yang hidup dalam keadaan yang tidak sepatutnya membuatkan hatinya menjadi goyah dan akhirnya perkara itu berlalu begitu sahaja sebelum luput terus dari peti ingatannya. Dan kini, setelah sekian lama perkara itu terkubur di fikirannya, Nek Zaitun membangkitkannya semula.
Farhan menghela nafas panjang. Memikirkan tentang perkara itu membuatkan fikirannya menjadi sebu. Padat dengan pelbagai persoalan yang entah dari mana tibanya. Buntu fikirannya dek tujahan persoalan-persoalan itu.
Dalam diam Farhan sedar. Setiap alasan yang diberikannya hanyalah sekadar menjadi pendinding buat dirinya. Pendinding agar dirinya tidak lagi diasak dengan perihal perkara itu. Pendinding yang membolehkan dirinya bebas dari di terjah sebarang persoalan yang baginya hanya menyesakkan ruang benaknya.
Sedangkan jauh di dasar hati, Farhan mempunyai sebab musababnya yang tersendiri untuk menjauhkan diri dari memikirkan perkara itu. Sebab musabab yang tercipta dengan sendirinya.
Hakikatnya Farhan takut. Takut untuk membina keluarga sendiri. Takut tidak dapat menjadi ketua keluarga yang baik. Takut kesedihan dan penderitaan yang menjadi intipati utama bahtera perkahwinannya. Dan yang paling menakutkannya, bahtera perkahwinannya turut teroleng–oleng dalam lautan penderitaan seperti mana yang sedang dia alami sekarang.
Tiada bahagia yang berani mendekati. Tiada kegembiraan yang sanggup menyinggah. Yang ada hanyalah kesedihan, kedukaan, kesakitan, kelukaan dan keperitan. Itu saja yang sering menjadi mainan kehidupannya sekeluarga.
Kerana itu Farhan bagai mengharamkan cinta dari melekat walau sebesar zarah dalam dirinya. Baginya cinta itu lambang kedukaan. Lambang keperitan. Keadaan hidup keluarganya jelas mempamerkan segalanya.
Dia pernah merasa cinta. Cinta pada keluarga. Cinta pada hidup. Namun semuanya memberi pulangan yang menyakitkan walau tidak sepenuhnya. Dia tidak mahu merasai kesakitan untuk kesekian kalinya. Cukuplah dengan kesakitan yang sedia ada.
Dengan tidak semena–mena fikiran Farhan melayang mengingati arwah emaknya yang telah lama pergi. Sehingga kini dia tidak tahu sebab musabab wanita itu pergi meninggalkannya. Yang dia tahu emak pergi setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Waktu itu dia baru berusia dua puluh dua tahun. Baru menginjak diri ke dalam alam kedewasaan. Baru mengenal erti kehidupan yang sebenar. Baru mempelajari selok belok cabaran dan dugaan yang mendatang dalam hidup.
Dan kini setelah hampir sepuluh tahun berlalu dia masih tidak mengetahui sebab musabab sebenar. Sebab musabab yang menyebabkan emak kesayangan pergi tanpa kembali. Sebab musabab corak kehidupannya beralih sedikit demi sedikit sejak dari itu. Beralih dari bahagia kepada derita yang hingga kini tidak pernah lagi berganjak keluar dari hidupnya. Mengambil alih sepenuhnya kebahagiaan yang hanya sempat dirasainya beberapa ketika bersama emak tersayang. Itu pun tidak lama sementelah masanya banyak dihabiskan di asrama sekolah dan kampus universiti sedari kecil. 
Kedukaan menjadi mainan hidupnya selepas pemergian emak sepenuhnya. Walau pun setelah mereka berpindah keluar dari Kuala Lumpur menuju ke Pantai Timur namun kedukaan itu terus mengekori mereka sekeluarga. Apatah lagi selepas itu Encik Fatih mendirikan rumahtangga dengan Puan Wardah dan mengambil Fakhira dan Fadlan sebagai anak angkat, tiada lagi tawa ceria yang menghiasi suasana rumah mereka. Malah sehingga ke hari ini kehidupan mereka sekeluarga diselubungi kedukaan walau telah bertahun-tahun masa berlalu.
Begitu pun, Farhan tidak pernah menganggap kehadiran Puan Wardah menjadi penyebab kepada kedukaan yang dirasai mereka sekeluarga selama ini. Bahkan kehadiran wanita itu telah banyak mengubah corak hidupnya dari terus diselimuti kesedihan kepada kegembiraan walau secubit cuma.
Farhan tidak pernah menganggap kedatangan sahabat baik kepada emaknya itu seperti orang asing malah layanannya terhadap wanita itu sama sepertimana yang diberikan pada arwah emak kandungnya. Kasih sayang yang banyak dicurahkan Puan Wardah terhadapnya membuatkan Farhan tidak pernah membezakan kedudukan wanita itu di hatinya. Serupa sebagaimana kedudukan emak di hatinya.
Malah dalam diam Farhan mengucap ribuan syukur atas kehadiran Puan Wardah dalam kehidupan mereka sekeluarga. Wanita itu terlalu baik. Menjaga segala keperluan mereka sekeluarga sepenuhnya. Membesar dan mendidik adik-adiknya dengan limpahan kasih sayang yang tidak terhitung. Tidak pernah meninggikan suara apatah lagi menghayun tangan ke tubuh anak-anak.
Senantiasa berada di sisi saat mereka memerlukan tempat bagi berpaut dari sebarang masalah. Sememangnya wanita itu telah banyak melakukan pergorbanan buat mereka sekeluarga. Pergorbanan yang pada Farhan tidak mungkin mampu dibalasnya hingga ke akhir hayat.
Begitu juga dengan kehadiran kedua adik kembarnya.
Keduanya bagaikan permata yang menyinari kehidupan Farhan yang selama ini disirami kedukaan. Hadirnya mereka menjadikan kehidupan Farhan begitu bercahaya. Dia rela melepaskan peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara yang pernah ditawarkan kepadanya demi memastikan dia tidak berjauhan dari keduanya. Rasa sayang yang menimbun di hatinya buat kedua kembar itu membuatkan dia tidak rela berpisah dengan mereka walau sejenak.
Dan ternyata pergorbanan yang dilakukan tidak sia-sia. Kedua kembar seiras itu begitu menyayanginya. Sentiasa di sisinya dalam semua keadaan. Sama-sama merasai kedukaan yang ditanggungnya walau tidak sepenuhnya. Menjadi ubat kepada hatinya yang kesepian setelah kehilangan emak tersayang. Merekalah tempat untuknya menumpang kasih selain dari Puan Wardah.
Namun entah mengapa malam ini hati Farhan begitu merindui emaknya. Dia rindu dengan belaian wanita itu. Dia rindu untuk mendengar suara dan kata-kata nasihat yang selalu diucapkan wanita itu terhadapnya.
“Mak, kalaulah mak ada di sini, di sisi Han saat ini, pasti Han takkan terasa keseorangan mak. Mak lebih tahu apa yang patut Han lakukan sekarang,” suaranya perlahan. Menghela keluhan melepasi celahan bibirnya.
Kepalanya diletak perlahan ke bantal. Membayangkan dia membaringkan diri di pangkuan emak seperti mana yang dia selalu lakukan suatu masa dulu ketika bersama emak saat berkelapangan.
Berbanding dengan Encik Fatih, Farhan lebih rapat dengan arwah Fadzillah. Emak yang bersikap lemah lembut itu menjadi tempatnya bermanja dan menghambur segala masalah. Dia jugalah tempat untuk Farhan berkongsi segalanya. Walau mereka jarang dapat bersua muka namun hubungan kedua beranak itu begitu rapat dan mesra. Berbanding dengan Encik Fatih yang bersikap tegas dan sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai seorang ketua jurutera ketika itu.
Namun itu tidak bermakna lelaki itu tidak memberi perhatian padanya. Malah Encik Fatih turut meluangkan masa untuk Farhan. Hampir setiap hujung minggu lelaki itu datang menemui dia di asrama mahupun di kampus semata-mata kerana ingin mengetahui keadaan diri dan sebarang masalah yang dihadapinya.
Dan sehingga kini lelaki itu masih bersikap begitu dengannya. Sentiasa mengambil berat tentang keadaan dirinya walau Farhan jarang membuka mulut tentang itu. Dia lebih gemar menyimpan dan melaluinya seorang diri dari menyusahkan orang tuanya yang dia sendiri pasti sedia mempunyai masalah sendiri.
Agak lama Farhan berkeadaan begitu sebelum dia kembali tersedar. Dia beristighfar panjang. Meraup wajah dengan kedua tapak tangannya. Membuang sejenak segala kenangan manis yang terlipat kemas dalam kotak kehidupannya. Kenangan yang takkan dapat dilupakannya hingga akhir hayat.
Perlahan, dia bangun dari pembaringannya. Mengheret kaki menuju ke bilik air.
Tak lama, dia kembali keluar. Membentang sejadah sebelum melakukan solat sunat. Menghamburkan segala rasa yang berkeliaran di jiwa. Menghalau kegalauan yang makin menyengat hati. Mengadap Dia Yang Maha Esa. Memohon penawar yang ternyata hanya mampu diberikan oleh Allah yang Maha Berkuasa. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012