BAB 18
DAMIA
mengatur langkah pantas. Satu tabiatnya sejak dulu. Gemar bergerak pantas
namun masih dalam keadaan santun. Dia sebenarnya baru saja selesai bertemu
dengan Yusri beberapa minit lalu.
Kawan
baik kepada Khuzairi itu banyak membantunya mencari pelbagai maklumat berkaitan
dengan kes kemalangan yang meragut nyawa Kamilia lapan tahun lalu. Menyandang
jawatan sebagai salah seorang pegawai polis berpangkat inspektor memudahkan
Yusri memberi maklumat yang diperlukan Damia. Begitupun segalanya masih dilakukan
dalam prosedur yang sepatutnya.
Sebaik
sahaja terpandang keretanya di hujung jalan, Damia mempercepatkan langkah.
Apatah lagi bahang panas tengah hari makin terasa di ubun kepala. Namun
langkahnya menjadi perlahan sebelum terhenti dengan sendiri tatkala mata dia
terpandang seseorang berdiri tidak jauh dari tempat dia berada.
Lama
dia menatap wajah lembut itu. Mencari kepastian sebelum dia menapak semula.
Kali ini mendapatkan batang tubuh yang sejak tadi tertinjau-tinjau kepalanya.
Seakan mencari sesuatu di perhentian bas itu.
“Maafkan
saya. Kalau tak silap, awak ni Laila bukan?” Damia terus bertanya sebaik sahaja
berdiri di depan gadis itu.
Wafi
tersentak kecil. Dia yang sejak beberapa minit lalu menanti kedatangan teksi
segera berpaling. Dia sedikit tergamam tatkala terpandang seseorang yang tidak
dikenali tersenyum lebar padanya.
“Awak
Laila bukan?” Damia mengulangi soalan tadi. Matanya masih melekat di wajah
terkejut bercampur terpinga itu.
“Laila?”
Wafi sudah mengerut dahi.
Damia
pula tersenyum gembira.
“Kau
Lailatul Wafi kan?” soal Damia mula sebak. Terlalu gembira dengan pertemuan
tidak terduga itu.
Wafi
mengangguk pantas.
“Ya
saya. Awak ni siapa?” Dalam takut-takut dia bertanya. Bimbang gadis yang
kelihatan kasar sikapnya itu berniat serong padanya.
“Kau
tak ingat aku Ila? Aku Damia, Damia Karmila cucu Nenek Tijah, kawan baik kau
masa kita kat kampung dulu.”
Air
mata Damia sudah mengalir laju.
Sebaknya
bertambah-tambah ketika ini. Lama mata basahnya memandang Wafi yang tiba-tiba
saja turut bergenang air mata. Hanya menanti masa untuk menitik.
“Damia?
Kau Damia?”
Wafi
benar-benar terkejut bila Damia terus saja memeluk erat tubuhnya. Lalu dia
membalas kejap. Sama-sama mengalir air mata gembira tanpa peduli dengan
pandangan terpinga-pinga orang sekeliling melihatkan tingkah kedua-duanya.
“Ya
ALLAH Mia, lamanya aku tak jumpa kau. Aku betul-betul tak percaya yang kau ada
kat depan mata aku sekarang.” Dalam teresak Wafi bersuara hiba. Benar-benar
sebak dengan pertemuan itu.
Damia
mengangguk laju.
“Dah
lebih dari sepuluh tahun kita berpisah. Tak sangka aku, baru sekarang kita
berjumpa semula,” sahutnya terus mengesat mutiara jernihnya dari terus
mengalir.
“Kau
buat apa kat KL ni Ila?” tanya Damia.
“Aku
tinggal kat sini sekarang. Aku sebenarnya baru saja berpindah ke sini. Adalah
dalam sebulan dua begitu. Kau pula buat apa kat sini?” tanya Wafi kembali
tenang. Diikutnya langkah Damia yang mula menapak ke satu arah.
“Aku
kerja kat sini. Kat firma guaman ayah Karmila,” sahut Damia memeluk erat bahu
gadis itu.
“Firma
guaman? Maksudnya kau dah jadi peguam sekarang?” soal Wafi dengan mata
terbeliak. Seakan tidak percaya biarpun bibirnya sudah menguntum senyum
gembira.
Damia
mengangguk sambil tersenyum panjang.
“Alhamdulillah,
tercapai jugak hajat kau nak jadi peguam ya,” sambung Wafi tumpang gembira
dengan pencapaian gadis itu.
“Kau
pulak macam mana? Berjaya tak menjadi pereka hiasan dalaman impian kau tu?”
soal Damia pula terus mengembang senyuman bila Wafi pantas mengangguk.
“Alhamdulillah,
sama macam kau aku jugak dapat apa yang aku inginkan Mia tapi aku lakukan kerja
tu dari rumah saja. Aku tak berminat nak bekerja di mana-mana syarikat selepas
apa yang berlaku dalam hidup aku dulu,” tenang dia meluah isi hatinya.
“Aku
turut bersimpati dengan apa yang berlaku pada kau Ila. Apapun aku mintak maaf
sangat-sangat sebab waktu kau perlukan aku, aku tak ada di sisi kau. Aku dah
berada di luar negara waktu semua itu berlaku,” luah Damia penuh sebak seraya
meramas lembut jari-jemari Wafi. Rasa bersalah benar-benar menguasai hatinya
ketika ini.
Wafi
menggeleng laju.
“Jangan
cakap macam tu Mia. Jangan kau rasa bersalah pada aku. Semuanya dah menjadi
ketentuan ALLAH. Aku kena terima semuanya dengan redha.” Pantas saja dia
menyahut seraya membalas erat genggaman gadis itu. Begitu tenang biarpun
hatinya dibalut pilu tatkala menutur kata-kata itu.
“Oh
ya Mia, apa khabar Lia? Dia buat apa sekarang?
Dapat
tak dia capai impian dia nak jadi pereka fesyen yang terkenal tu?” Wafi terus
mengubah arah bicara mereka. Tidak mahu lagi kisah peritnya diungkit keluar.
Namun
pertanyaan itu berjaya mematahkan senyuman Damia serta-merta. Segera saja wajah
tenangnya bertukar keruh.
“Lia
dah tak ada dalam dunia ni Ila. Dia dah tinggalkan kita semua sejak beberapa
tahun lalu.” Lambat-lambat Damia bersuara sedikit sayu. Cuba mengawal sebak yang
kembali membungkus hati.
Wafi
terkaku sejenak.
“Maksud
kau Lia dah...” Kata-katanya terhenti di situ bila Damia pantas mengangguk.
“Dah
hampir lapan tahun dia tinggalkan kita Ila. Dia pergi setelah terlibat dalam
satu kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan ke bank dari butiknya. Dan
sekarang ni butiknya tu diuruskan oleh isteri abang kami, Kak Mimi,” ceritanya
ringkas. Membuatkan Wafi tertunduk pilu semula. Air mata yang kembali menitis,
disapu segera.
“Ila,
ke mana kau menghilang selama beberapa tahun ni?” Soalan Damia berjaya
memanggung kepalanya. Dia tersenyum hambar.
“Aku
merantau jauh Mia. Aku tinggal di Morocco sebelum mak dan ayah aku ambil
keputusan untuk balik menetap semula di Malaysia,” ujarnya sayu.
“Ooo...
begitu,” Damia mengangguk lagi.
“Ila,
kau ada masa tak hari ni? Jom kita keluar jalan-jalan. Sambil tu bolehlah kita
berborak panjang. Ada banyak cerita yang ingin aku kongsi dengan kau.” Damia
terus menyambung kata. Memandang Wafi sudah membentuk kerutan di dahinya.
“Kau
tak kerja ke hari ni?” soalnya.
“Tak.
Aku cuti hari ni. Ada kerja yang aku lakukan tadi dan sekarang aku dah free.
Jom, kita pergi minum kat mana-mana,” ajak Damia terus mendapatkan keretanya.
“Okeylah
kalau macam tu. Aku ikut kau aje.”
Tanpa
berfikir panjang, Wafi terus bersetuju. Dia turut melangkah mengikuti Damia.
Mendapatkan kereta gadis itu sebelum tak lama kedua-dua gadis itu telah berada
di atas jalan raya.
“SELAMAT
pagi Lily,” sapa Ainul mesra tatkala
dia melalui meja wanita berbangsa Kadazan itu suatu pagi.
“Selamat
pagi Encik Ainul,” jawab setiausahanya penuh hormat.
“Oh
ya Encik Ainul. Encik Azmi mintak Encik Ainul ke biliknya sekarang,” beritahu
Lily sebelum sempat Ainul menolak pintu bilik pejabatnya. Dikerut dahinya sekejap.
“Ada
apa dia nak jumpa dengan saya?” soal Ainul sedikit hairan.
Lily
menjongket bahu.
“Tak
tahulah pulak saya sebab apa Encik Ainul. Dia cuma tinggalkan pesan tu saja
masa dia call sebentar tadi,” sahut wanita itu.
Ainul
melepas nafas perlahan sebelum kembali membalik tubuh. Mendapatkan Lily yang
masih berada di mejanya.
“Hmm...
tak apalah Lily, awak tolong bawa masuk briefcase saya ni ke dalam bilik
saya ya. Saya pergi jumpa dia sekarang,” suruhnya terus berlalu ke lif
terdekat.
“Baik
Encik Ainul,” patuh Lily lalu segera melaksanakan arahan ketuanya. Tidak lama
kemudian, dia kembali meletak punggung di meja. Menyambung tugasan yang
terhenti tadi.
Ainul
menapak keluar dari lif sebaik sahaja tiba di tempat dituju. Dia sekadar
mengangguk seraya tersenyum tatkala ada beberapa pekerja di aras itu
menegurnya. Segera dia mengetuk daun pintu sebaik sahaja berdiri di depan bilik
pejabat ayahnya.
“Ayah
panggil orang?” soal Ainul terus menjengul kepala di balik pintu yang dibuka
suku.
Dia
terus menapak masuk bila terpandang gamitan jari-jemari Encik Azmi ke arahnya.
“Hah
Ainul. Mari ayah kenalkan kamu dengan wakil Syarikat Usaha Jaya Holdings
Berhad, Cik Ruzana Datuk Malik,” ujar Encik Azmi mengunjuk jari pada seorang
wanita yang sejak tadi ralit berbual dengannya.
Wanita
itu terus bangun. Ainul pula tergamam terus tatkala terpandang wajah itu.
Terpegun dengan kejelitaan yang dimilikinya. Terasa hatinya ditendang debaran
ketika ini. Sesuatu yang jarang berlaku padanya sejak beberapa lama dulu.
“Hai,
apa khabar? Saya Ruzana.” Penuh karisma dan yakin wanita itu menghulur salam
perkenalan. Menyua tangan pada Ainul yang segera menyambut.
“Saya
Ainul, Ainul Hayat,” sahutnya sedikit gugup.
Masih
terkaku melihatkan tingkah dan penampilan wanita jelita itu. Begitu bersahaja
dalam gayanya yang tersendiri. Segera dia meletak punggung di sofa sebaik saja
genggaman tangan mereka terlerai. Tidak jauh dari wanita itu dan ayahnya.
“Sebenarnya
Ainul, ada sesuatu yang ayah ingin bincangkan dengan kamu.” Encik Azmi terus
membuka bicara antara mereka semula. Sedikit serius.
“Begini
Ainul. Syarikat Datuk Malik telah menawarkan kita satu projek hartanah yang
bakal dijalankan secara kerjasama antara syarikat kita dan syarikat mereka.
Memandangkan ini projek pertama yang ditawarkan kepada kita dan membawa
keuntungan hampir jutaan ringgit, maka sayang rasanya untuk ayah lepaskan
peluang keemasan ni.
Malangnya
ayah tak dapat kendalikannya memandangkan ayah sibuk menguruskan projek-projek
lain dan kebetulan pulak Along kamu baru saja mengambil alih projek ayah dan
Ayah Zali maka dia pun tak dapat nak membantu ayah. Jadi ayah berpendapat elok
benarlah kalau kamu saja yang uruskan projek ni bersama Ruzana sebagai wakil
kepada syarikat kita,” terang Encik Azmi bersungguh-sungguh.
Menampakkan
harapannya untuk menjayakan projek yang julung kali diadakan dengan salah
sebuah syarikat hartanah terkemuka di Malaysia itu.
“Jadi
apa pendapat kamu Ainul?” Pertanyaan itu mengundang sentakan kecil Ainul. Agak
terkejut dia dengan terjahan soalan tiba-tiba itu.
Sejak
tadi dia hanya ralit menatap wajah Ruzana tanpa memberi sepenuh perhatian pada
kata-kata ayahnya. Wanita itu hanya mengulum senyuman padanya. Penuh gula.
“Orang
serah segalanya pada ayah. Apa yang baik pada ayah, baik jugaklah pada orang.”
Tergagap-gagap Ainul menyahut. Sedikit tergadah dengan pertanyaan itu.
Hakikatnya
dia masih terpegun dengan pertemuan dia dan Ruzana. Seumur hidupnya, ini kali
pertama dia bertemu dengan seorang wanita sejelita Ruzana. Malah begitu jelita
jika dibandingkan dengan semua wanita tercantik dunia di matanya. Dengan
penampilan sedikit seksi dan tingkahnya yang begitu menyenangkan, menjadikan
mata lelaki Ainul tidak mampu lari dari terus melekap di wajah menawan itu.
Encik
Azmi mengangguk penuh gembira.
“Kalau
macam tu ayah serahkan perkara ni kepada kamu mulai sekarang. Ayah mintak diri
dulu ya. Ada mesyuarat yang perlu ayah hadiri sekarang. Ruzana, silakan,” ujar
Encik Azmi sebelum bangun berlalu keluar dari situ. Meninggalkan mereka yang
sehingga kini masih saling bertukar pandangan dan senyuman.
“Kenapa
awak pandang saya begitu sekali? Ada apa-apa yang tak kena dengan muka saya ni
ke?” Ruzana terus bertanya sebaik sahaja kelibat Encik Azmi hilang dari
pandangan mereka. Terperasan dia dengan renungan tak berkelip lelaki itu
padanya. Bulat mata hitamnya memandang Ainul seraya menguntum senyuman. Penuh
manja. Menjadikan lelaki itu sedikit terkesima. Agak malu dengan teguran lembut
lagi kedengaran manja itu.
“Maaflah
Cik Ruzana, saya sebenarnya masih tergamam bila tengok Cik Ruzana. Tak pernah
saya jumpa perempuan secantik Cik Ruzana ni. Cantik sangat sampai saya rasa
semua Miss World yang ada dalam dunia ni pun boleh kalah di tangan Cik
Ruzana kalau Cik Ruzana yang masuk bertanding.” Dalam berseloroh Ainul
berterus-terang.
Dia
terpana semula bila wanita itu meluah tawa kecil. Agak ralit dengan tawa yang
kedengaran lunak di telinganya. Sedang hatinya sudah dihambat debaran buat kali
kedua. Lebih hebat dari yang pertama.
“Awak
ni Ainul, pandai betul bergurau. Saya ni biasa-biasa saja orangnya, bukannya
secantik mana pun. Serupa saja seperti orang lain,” ujar Ruzana tertawa lagi.
“By
the way, tak payahlah awak bercik-cik dengan saya. Panggil saja Ruzana.
Tapi saya lebih suka kalau awak panggil saja Zana. Itu lebih mesra,”
sambungnya.
Kali
ini dengan penuh menggoda bersama senyuman menawannya. Membuatkan hati Ainul
dipukul debaran lagi. Sedikit terkaku melihatkan tingkah pesona lagi bersahaja
wanita itu.
“So,
boleh kita mulakan perbincangan kita sekarang?” Pertanyaan lembut Ruzana hanya
dibalas dengan anggukan kecil Ainul.
Buat
seketika dia tidak mampu bersuara. Sekadar mengulum senyuman. Tanda senang
dengan tingkah wanita itu. Sedang hatinya terus-terus ditendang debaran ketika
ini.
WAFI
sedang melipat pakaiannya bila pintu
biliknya diketuk seseorang. Saat dia berpaling, Puan Ainun sudah berdiri di
muka pintu yang sejak tadi tidak ditutup rapat.
“Mak
ganggu Wafi ke?” tanya wanita itu lembut.
Wafi
tersenyum sedikit.
“Taklah.
Masuklah mak,” pelawa Wafi.
Puan
Ainun terus melangkah masuk. Langsung melabuhkan punggung di pinggir katil.
Bersebelahan dia.
“Wafi
tak melukis petang ni?” soal Puan Ainun sekadar berbasa-basi.
Gadis
itu menggeleng perlahan.
“Taklah
mak. Wafi nak rehat aje hari ni. Boring jugak rasanya kalau hari-hari melukis.
Sekali-sekala nak jugak Wafi buat aktiviti lain,” sahutnya dengan senyuman
kecil di bibir. Sedangkan tangan masih ligat menjalankan kerjanya.
“Boleh
mak tanya Wafi sesuatu?” tanya Puan Ainun setelah beberapa ketika hanya melihat
pergerakan tangan anak gadisnya.
“Mak
nak tanya apa?” Tanpa mengangkat kepala Wafi bertanya.
Puan
Ainun mengulum senyuman.
“Mak
perasan sehari dua ni Wafi nampak gembira sangat daripada biasa. Kenapa Wafi?
Tak ada apa-apa perkara yang Wafi ingin kongsikan dengan mak ke?” soal Puan
Ainun benar-benar ingin tahu makna perubahan keadaan anak gadisnya. Biarpun
perubahan itu secubit cuma namun cukup untuk menyenangkan hati dia dan Encik
Musaid.
Wafi
terus mencantum kedua-dua kening.
“Gembira
macam mana maksud mak?” soal Wafi kurang faham. Wajah tenang emaknya dipandang
semula.
Puan
Ainun tersenyum lagi.
“Gembira
Wafi tu macam Wafi dah dapat apa yang Wafi hajatkan selama ni,” ujar Puan
Ainun. Sekali gus memekarkan senyuman gadis itu.
Lalu
dengan penuh rasa kesyukuran dia membuka cerita. Bersyukur atas segala
kegembiraan yang diperolehinya lewat kebelakangan ini.
“Sebenarnya
mak, Wafi memang gembira sangat beberapa hari ni sebab Wafi bertemu dengan
seseorang yang begitu Wafi rindui sejak bertahun-tahun lalu. Kami bertemu masa
Wafi keluar beli barang-barang lukisan dua tiga hari lepas.
Wafi
nak beritahu mak tapi Wafi asyik lupa saja. Maklumlah, bila Wafi menghadap
lukisan aje, Wafi terus lupa pasal perkara lain. Ini mak dah tanya baru Wafi
teringat pasal ni.” Gadis itu terus melebarkan senyuman.
Hingga
terserlah lekuk lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Sesuatu yang jarang
dapat dilihat oleh sesiapa memandangkan bukan menjadi sikap Wafi untuk selalu
mengukir senyuman.
“Iya?
Wafi jumpa siapa?” Puan Ainun ikut teruja memasang telinga.
Hakikatnya
dia gembira dengan keadaan itu. Gembira melihatkan riak ceria di wajah lembut
itu. Tidak seperti selalunya. Riak muram dan duka menjadi penghias utama.
Wafi
terus membuka mulut. Tak sabar nak bersuara.
“Mak
ingat tak pada Damia, kawan baik Wafi sejak kecil lagi?”
“Damia?
Yang mana satu ya?” Puan Ainun terus meligatkan otak. Cuba mengorek semula
ingatan silam yang telah lama ditinggalkan.
“Alah,
anak arwah Pak Cik Daud dan Mak Cik Khairiah yang tinggal di sebelah rumah Wafi
tu. Dia tu cucu Nenek Tijah, bidan terkenal kat kampung tempat kami lahir
tulah,” beritahunya.
Agak
lama Puan Ainun mengerut dahi. Memerah ingatan sebelum dia mengangguk seraya
tersenyum selepas itu.
“Kalau
tak silap mak, Damia tu budak yang perangainya macam lelaki tu kan? Yang
rambutnya selalu pendek macam rambut budak lelaki tu kan? Bukan ke dia yang
selalu kena rotan dengan Nenek Tijah sebab suka memanjat pokok rambutan depan
rumah kamu tu?” tanya Puan Ainun meminta kepastian.
Wafi
terus mengangguk laju.
“Haah,
dia tulah mak.” Gadis itu sudah tertawa kecil.
“Tapikan
mak, Damia dah berubah tau. Dia dah cantik sangat sekarang. Rambutnya tu dah
panjang ke pinggang, lebat lagi. Penampilannya pun dah serupa macam perempuan
lain. Wafi masa kali pertama kami berjumpa sampai tak kenal. Perangai dia masih
jugak sama macam dulu. Keras macam lelaki tapi lembut sikitlah berbanding masa
kami kecil dulu.” Penuh ceria Wafi bercerita tentang perubahan sahabat baiknya.
Puan
Ainun sudah mengangguk-angguk tersenyum.
“Habis
tu apa budak Damia tu buat sekarang?” soal Puan Ainun.
“Sekarang
ni dia dah jadi peguam terkenal mak. Dia kerja kat firma ayah saudara dia tu.
Alah, ayah pada Kamilia, sepupu dia tulah,” ramah Wafi memberitahu.
Kepala
Puan Ainun mengangguk lagi. Turut menumpang gembira dengan khabar yang baru
berada dalam pengetahuannya itu.
“Sebut
pasal Kamilia, apa pulak yang budak tu buat sekarang? Dia pun sebaya kamu
berdua, kan?” soal Puan Ainun.
Terus
teringat pada sepupu Damia yang nyata berbeza sikapnya dengan Damia. Begitu
lemah-lembut dan gemar bergaya. Mudah menangis andai diusik dan manja orangnya.
Namun berhati baik dan sopan seperti Damia juga.
Pertanyaan
itu menjadikan awan mendung segera berarak ke wajah Wafi. Dia terkelu seketika
sebelum lambat-lambat dia bersuara. Agak sayu.
“Kamilia
dah lama tak ada mak. Dia meninggal dunia beberapa tahun lepas sewaktu terlibat
dalam kemalangan jalan raya. Masa tu dia mengandung tiga bulan,” jawab Wafi
pilu dengan pemergian wanita itu yang juga merupakan teman sepermainannya sejak
kecil selain Damia. Menjadikan mata Puan Ainun terbeliak serta-merta. Terkejut.
“Innalillah.
Maksud kamu Kamilia meninggal masa dia dah jadi isteri orang?” Soalan itu hanya
dibalas dengan anggukan lemah Wafi.
Puan
Ainun melepas nafas panjang.
“Siapa
sangka ya, umurnya tak panjang. Kamilia tu baik budaknya. Walaupun dia membesar
di bandar tapi dia tak pernah kekok tinggal di kampung. Rajin membantu orang
tak kira siapa pun. Mak rasa macam tak percaya aje yang dia dah pergi terlebih
dulu dari kita semua.”
Ternyata
wanita itu turut diruntun rasa pilu tatkala mendengar khabar tidak dijangka
itu.
Biarpun
dia tidak rapat dengan arwah Kamilia dan Damia memandangkan mereka jarang
bersua muka. Namun tingkah kedua-dua mereka begitu dikenalinya lantaran dia
sering kali berkunjung ke rumah Nenek Tijah untuk berurut badan di lapang
waktu.
“Wafi
tak ajak Damia datang ke rumah kita?” Puan Ainun terus melencong bicara tidak
lama selepas itu. Dia tak mahu riak ceria di wajah Wafi hilang dek berita duka
itu.
Wafi
menurap senyuman semula.
“Ada
jugak Wafi jemput dia, siap bagi alamat lagi tapi kata Damia nanti-nanti ajelah
dia datang. Dia sibuk dengan kerjanya sekarang.”
Wajah
tenang emaknya dipandang semula. Wanita itu mengangguk kecil.
“Mak,
boleh tak kalau suatu hari nanti Wafi ikut Mia balik kampung?” Tiba-tiba saja
Wafi mengeluarkan soalan itu.
Sekali
gus menyentak kuat jantung Puan Ainun. Dia tergamam lama. Benar-benar terkejut
dengan soalan tak terduga itu.
“Boleh
ya mak kalau Wafi ikut Mia balik kampung suatu hari nanti? Wafi rindu nak
tengok semuanya. Sungai tempat Wafi, Damia dan arwah Kamilia bermandi-manda,
hutan dara tempat Wafi ikut ayah jerat burung, sekolah tempat Wafi dan Damia
menimba ilmu. Wafi rindu nak tengok semua tu mak.” Suaranya seakan merayu.
Lembut lagi mendayu.
Mata
Wafi sudah lama melekap di wajah kaku si emak. Memohon pengertian dari Puan
Ainun yang masih membatu diri dek terlalu terkejut dengan permintaan itu.
“Mak...”
Wafi mengulangi pertanyaan seraya meramas lembut jari-jemari Puan Ainun.
Menjadikan wanita itu tersentak keluar dari keadaannya.
Perlahan
nafas panjangnya dilepas berat. Wajah penuh mengharap gadis itu dipandang penuh
sayang. Lama.
“Wafi,
tentang niat Wafi nak ikut Damia balik ke kampung tu, nanti mak tanya pada ayah
dulu ya? Kalau ayah izinkan, mak jugak takkan halang. Mak tahu, kami tak ada
hak nak melarang kamu dari balik melihat tempat kelahiran kamu.
Tapi
terus-terang mak cakap. Mak sebenarnya takut nak izinkan Wafi balik ke sana
semula. Cukuplah dengan apa yang berlaku pada Wafi selama ini. Mak dan ayah tak
mahu Wafi ingat lagi semua tu,” ujar Puan Ainun sudah berbalut sayu.
Dipeluk
erat tubuh Wafi yang sudah terkaku dengan kata-katanya. Baru ketika ini gadis
itu tersedar tentang keadaan yang pernah dilaluinya suatu masa lalu.
Kegembiraan yang baru dirasai dek pertemuannya dengan Damia beberapa hari lalu
membuatkan dia terlupa sebentar tentang keadaan itu.
Keadaan
yang telah menghilangkan segala kegembiraan dan kebahagiaan hidupnya sehingga
ke hari ini. Lama dia terkelu lidah sebelum perlahan-lahan dia merungkai lembut
pelukan Puan Ainun seraya menatap wajah sendu itu.
“Mak,
tentang tu janganlah mak bimbang ya. Insya-ALLAH Wafi takkan apa-apa. Wafi dah
dapat terima semua itu walaupun tak sepenuhnya. Apa yang Wafi perlukan hanyalah
restu dan doa dari mak dan ayah dalam apa saja perkara yang Wafi lakukan. Itu
saja,” luah Wafi sudah menangis di bahu Puan Ainun.
“Restu
dan doa mak ayah sentiasa bersama kamu sayang, sentiasa.”
Puan
Ainun turut mengalirkan air mata. Membalas erat pelukan Wafi yang terlebih dulu
berbuat begitu. Langsung tidak menyedari Encik Musaid yang sejak tadi melihat
tingkah kedua-duanya dari balik pintu melepas nafas panjang. Turut terkesan
dengan keadaan hiba itu.
No comments:
Post a Comment