Monday, August 05, 2013

BERSATU DALAM CINTA : BAB 16


BAB 16

“MAK tengah buat apa tu?” Sapaan seseorang mengalih perhatian Puan Khadijah yang ralit mengait benang di ruang tamu rumahnya pagi itu. Dia sedikit tersentak.
Namun segera saja bibirnya menurap senyuman tatkala terpandang kelibat gadis itu. Dia yang telah melangkah masuk ke dalam terus mendapatkan Puan Khadijah.
“Kamu ni Mia, cuba-cubalah bagi salam. Terkejut mak tadi,” marahnya bernada lembut. Begitupun huluran tangan gadis itu tetap disambut mesra.
Damia hanya tersengih. Dia melabuh punggung di depan emaknya.
“Kamu tak pergi firma pagi ni Mia?” soal Puan Khadijah menatap wajah anak daranya.
“Tak mak. Mia masih lagi cuti hari ni. Esok baru Mia masuk kerja semula. Mia datang ni pun sebab Mia nak bagi ni pada mak sekeluarga. Oh ya mak, sebelum Mia lupa baik Mia bagitahu awal-awal. Nenek kirim salam pada semua,” beritahu Damia sambil menghulur seplastik besar buah-buahan pada wanita itu.
Pantas saja Puan Khadijah menyambut dengan matanya telah terbelalak luas.
“Waalaikumussalam. Amboi, banyaknya buah yang nenek kamu bagi. Apa kamu tak ambil sikit untuk kamu dan Alia ke?” soalnya lagi. Tangan Puan Khadijah sudah membelek-belek isi plastik.
Damia mengangguk kecil.
“Mia dah ambil sikit untuk Mia dan Alia malam tadi.” Dia merayau mata ke sekeliling.
“Ayah mana mak? Dah pergi firma ya?”
Puan Khadijah mengangguk laju.
“Awal-awal lagi dia dah keluar. Hari ni ayah kamu kata dia kena ke mahkamah. Ada perbicaraan kat sana katanya. Mungkin lewat jugaklah dia balik nanti tu pun,” beritahunya.
“Mak, kalau Mia mintak sesuatu mak bagi tak?” soal Damia lambat-lambat. Menyata tujuan lain kedatangannya ke rumah orang tuanya pagi itu.
“Kamu nak mintak apa?” Mata Puan Khadijah kembali terpacak di muka gadis itu.
“Mak, boleh tak kalau Mia masuk sekejap ke bilik tidur arwah Kamilia?” Lambat-lambat dia meminta izin.
Puan Khadijah sudah melakar kerutan di dahi.
“Kenapa pulak tiba-tiba saja kamu nak masuk ke bilik dia?” Terdetik rasa pelik di hatinya dek permintaan tiba-tiba gadis itu.
Seingat Puan Khadijah, Damia tidak pernah meminta berbuat demikian sebelum ini. Selalunya gadis itu terus menerjah masuk ke bilik sepupunya itu tanpa perlu meminta izin dari sesiapa termasuklah dari arwah Kamilia sendiri. Malah keadaan itu tidak pernah dipedulikan semua lantaran gadis itu turut dianggap seperti ahli keluarga itu selama ini. Damia tersenyum kelat.
“Saja mak. Dah lama Mia tak masuk bilik dia. Dulu waktu Mia dan arwah masih kecil, kami selalu lepak dalam bilik tidur dia walaupun Mia ada bilik Mia sendiri kat dalam rumah ni. Makan, main, mandi, semuanya kami buat kat situ. Bila aje Mia dah ke luar negara, Mia tak pernah lagi masuk ke bilik dia sampailah sekarang.
Kena pulak dia dah kahwin dan berkongsi bilik dengan suaminya. Jadi seganlah Mia nak terjah masuk bilik dia macam tu aje. Lagipun bolehlah Mia tengok gambar suami arwah. Mia kan tak pernah tengok gambar suami dia lagi,” ujarnya satu per satu.
“Betul jugak tu. Kamu pun tak pernah tengok gambar Isma selama ini. Salah sepupu kamu tulah tak nak kirim gambar kahwin dia pada kamu. Konon nak buat surprise bila kamu balik sini. Siapa sangka, lain pulak yang jadinya.” Keluhan Puan Khadijah sudah bercampur dengan rasa sayunya.
Sayu mengenangkan anak perempuannya yang telah pergi meninggalkan semua buat selamanya. Buat seketika, bayangan wajah Kamilia datang menerpa. Membuatkan wanita itu termenung seketika.
“Jadi boleh tak Mia masuk bilik dia mak?” Pertanyaan kali kedua Damia menghambat Puan Khadijah keluar dari lamunannya. Terus saja dia mengangguk bersama bayangan Kamilia hilang serta-merta dari kepalanya.
“Masuk ajelah Mia, tak adanya mak nak larang,” sahut Puan Khadijah langsung tak kisah. Jauh sekali mengesyaki apa-apa.
“Tak pernah orang masuk dalam bilik dia ke sebelum ni mak?” Damia sudah bangun dari duduknya. Ingin menapak ke tingkat atas.
“Apa pulak tak adanya. Isma, si suami Kamilia tu selalu ke bilik tulah setiap kali balik ke sini. Kadang-kadang dia tidur kat situ,” ujar Puan Khadijah turut bangun dari duduknya. Beg plastik berisi buah-buahan turut diangkat sama. Ingin dibawa ke dapur.
“Kamu makan tengah hari di sini ya Mia.”
Gadis itu hanya mengangguk. Langsung dia terus ke tingkat atas. Mendapatkan bilik Kamilia yang terletak hanya berselang dua bilik dari bilik tidurnya. Bilik yang telah jarang dijenguknya setelah dia ke luar negara dan kini apatah lagi memandangkan dia telah menyewa rumah di luar.
Ditolak perlahan daun pintu setelah tombolnya dipulas. Lambat-lambat dia menapak masuk. Melangkah ke dalam sebelum meliar mata ke sekeliling. Matanya tertancap pada gambar perkahwinan Isma dan Kamilia yang tergantung elok di kepala katil. Lama matanya melekap di wajah Kamilia sebelum beralih ke wajah Isma di sisi wanita bergaya itu.
“Hmm... boleh tahan jugak muka laki kau ya Lia. Handsome orangnya. Nampak gaya macam tinggi dari kau aje. Pandai kau pilih,” puji Damia seolah-olah orang yang diajak berbicara wujud di situ. Dibuang mata ke sekeliling ruang.
Segalanya kelihatan kemas dan teratur. Sama sepertimana arwah masih ada, getus hati Damia. Perlahan nafas pendeknya dibuang.
Segumpal rasa sayu menggigit hatinya ketika ini. Sayu mengenangkan segala kenangan yang pernah dia dan arwah Kamilia cipta di bilik ini.
Sejak mereka kecil, kedua-dua mereka begitu rapat dan intim. Walaupun Damia dibesarkan dan bersekolah di kampung, namun itu tak membuatkan hubungan mereka renggang. Surat dan telefon sering kali menjadi perantara mereka saban hari. Malah hubungan itu senantiasa rapat dan mesra bila mana Kamilia akan pulang ke kampung setiap kali cuti sekolah menjelma.
Mereka tidak pernah terputus hubungan biarpun Damia melanjutkan pelajaran ke luar negara selepas itu. E-mel dan poskad pula menjadi pengganti diri. Dan sekarang, semua itu telah menjadi memori terindah buat Damia yang sehingga saat ini tidak pernah mahu melupakannya.
Lama Damia memerhati sekeliling sebelum berkira-kira ingin melangkah keluar dari situ. Namun terbantut niatnya seketika tatkala mata tajamnya terpandang sesuatu di sudut bilik. Mencerlung tepat pada rak buku kecil di tepi sebuah sofa.
Tempat kegemaran arwah Kamilia mengisi masa. Menelaah buku-buku berkaitan fesyen dan peragaan. Satu bidang kegemaran wanita itu sejak dulu. Jauh berbeza dari Damia yang lebih meminati bidang yang penuh lasak dan mencabar keupayaan fizikal dan mental diri. Membuatkan ingatannya terhadap arwah Kamilia kembali bertandang ketika ini.
Dihayun kakinya ke situ sebelum menarik keluar buku dan majalah yang kelihatan sedikit berhabuk. Tanda tidak pernah diusik sesiapa selepas pemergian Kamilia.
Tangan Damia baru menyimpan sebuah majalah tatkala matanya terlihat sesuatu di celah segala majalah. Ditariknya pantas. Sebuah buku kecil berwarna hitam berpindah ke tangannya. Diselak buku berkulit tebal itu beberapa kali. Dia sedikit terkejut tatkala membaca sepintas lalu isi kandungannya.
Tak berfikir panjang, Damia segera menyusun atur segalanya di tempat asal sebagaimana biasa. Seakan tempat itu tidak pernah diusik sesiapa. Hingga dia puas hati dengan keadaan itu, dia segera melangkah keluar.
Buku kecil hitam itu dibawa bersama. Ada sesuatu yang bermain di mindanya ketika ini.

JAUH khayalannya pergi. Menerbang jauh dari dunia realiti. Membawa dirinya yang kelihatan senang dengan keadaan baru itu. Hingga dia terlupa pada sekeliling buat seketika.Segalanya hancur tatkala perlahan bahunya ditepuk seseorang.
Faris sedikit terpisat. Segera ditegak tubuhnya yang sejak tadi menyandar di kerusi rotan di anjung rumah. Dia tersenyum kelat pada Puan Fatimah. Wanita itu sudah mencekak pinggangnya.
“Jauhnya kamu berangan. Dah sampai ke benua mana? Eropah? Afrika?” Selamba wanita itu bertanya lalu terus melabuh punggung di depan anak bujangnya.
Faris merengus halus dalam malunya.
“Mak ni, mana ada Ris berangan. Ris cuma tengah fikir pasal syarikat Ris tulah.” Sedikit tergagap dia menjawab. Malu sebenarnya dek kata-kata wanita itu. Sedang Puan Fatimah sudah tersenyum sinis dalam cebikannya.
“Huh, iyalah tu kamu. Tengah fikir pasal syarikat kamu tu konon. Tengok air muka kamu tu pun mak dah tahu yang kamu menipu. Tak baik tau cakap bohong dengan orang tua tambah-tambah pula dengan mak sendiri.” Sempat lagi Puan Fatimah menasihati si anak dalam kata-katanya.
Faris hanya tersengih kelat.
“Mak perasan sehari dua ni perangai kamu berlainan benar. Tak macam dulu gayanya.” Puan Fatimah bersuara semula tidak lama kemudian.
Faris mencantum kedua-dua keningnya menjadi satu. Berkerut-kerut dahinya.
“Berlainan macam mana pulak mak? Biasa aje Ris rasa diri Ris ni,” soalnya sedikit hairan.
Emaknya tersenyum-senyum suka.
“Biasa apanya? Selalunya kamu tak macam ni. Nak kata kamu sakit, nampak sihat aje. Nak kata sihat pun tak juga. Termenung aje tak kira tempat. Tapi mak rasa kamu bukan termenung tapi nampak macam lebih banyak berkhayal aje. Apa kamu dah jatuh cinta pada sesiapa ke Ris?” Terus saja Puan Fatimah menebak.
Menjadikan mata Faris membulat serta-merta.
“Hisy mak ni, merepek ajelah. Mana ada Ris jatuh cinta kat sesiapa,” sangkalnya pantas biarpun terkejut amat sangat dengan tembakan itu. Tepat mengena sasaran.
Lantas Puan Fatimah menaikkan kening.
“Iya ke tak ada? Tapi kenapa mak rasa macam betul aje kamu dah jatuh cinta? Kamu jangan Ris. Jangan sesekali kamu cuba nak menipu mak kamu ni. Naluri seorang emak ni selalunya sangat tepat tau. Jarang benar nak salah apatah lagi kalau perkara tu melibatkan anak-anak sendiri,” ujar Puan Fatimah.
“Mak ni, betullah cakap Ris. Mana ada Ris jatuh cinta kat sesiapa.” Faris menyangkal buat kali kedua. Sedangkan hati sudah disergah debar. Bimbang andai rahsia hati terbuka lebar di depan Puan Fatimah. Malulah dia nanti!
“Habis, kalau betul kamu tak jatuh cinta kat sesiapa, kenapa kamu selalu termenung aje? Kadang-kadang tu tersenyum sendiri. Macam orang angau aje. Jangan nak tipu mak. Tak berkat hidup kamu tu nanti.” Kali ini nada suara Puan Fatimah kedengaran seakan mengugut.
Nyata sekali dia tidak puas hati dengan jawapan anak lelakinya itu. Membuatkan mulut Faris terlopong sekejap.
“Mak, mak. Tak baik tau mengugut anak macam tu sekali. Kesian Ris kalau mak tak berkati hidup Ris nanti,” balas Faris seperti merayu.
Dia tersenyum semula selepas itu.
“Dahlah mak, Ris nak keluar kejap. Ris nak ke galeri lukisan. Dah lama rasanya Ris tak pergi tengok galeri Ris tu. Entah apa keadaan galeri tu sekarang ni pun tak tahulah.” Faris terus bangun.
“Hah, sajalah tu nak mengelak dari mak. Buat apa kamu nak pergi galeri kamu tu petang-petang begini?” ujar Puan Fatimah mengikut langkah kaki si anak. Lelaki itu telah menapak ke keretanya yang diparkir di depan rumah.
“Mak ni, nak buat apa lagi kalau bukan nak tengok keadaan galeri tulah. Takkanlah nak main-main kat situ pulak,” sahut Faris sambil membuka pintu kereta.
“Manalah tahu, kamu nak pergi jumpa bakal menantu mak ke tapi malu nak cakap kat mak. Jadi kamu katalah yang kamu nak ke galeri walhal nak melencong ke tempat lain.”
Puan Fatimah serta-merta tersenyum lebar bila wajah si anak terus saja bertukar riak. Merah malu dek usikannya.
“Hisy mak ni, itu pulak yang difikirnya. Ris nak pergi jumpa kawan-kawan Ris kat galeri tulah mak, bukannya nak buat apa pun.”
Faris menghumban tubuh ke dalam perut kereta sebaik sahaja salam dihulur pada emaknya.
Wanita itu menyambut perlahan seraya mengulum senyuman. Penuh makna. Hingga kereta Faris hilang dari pandangannya barulah dia berlalu dari situ. Membawa bersama harapan yang sekian lama berbunga di hatinya. Harapan yang sama sepertimana yang ada di hati anaknya ketika ini. Memikirkan hal itu menjadikan bibir Puan Fatimah terus-terusan diterpa senyuman panjang. Senyuman bahagia.

ENJIN keretanya dimatikan sebelum dia segera menapak keluar. Melangkah ke satu arah setelah pintu kereta dikunci rapat. Diseluk poket seluar denimnya. Sambil itu ligat bola matanya memerhati sekeliling. Membuang pandang pada keadaan alam yang begitu mendamaikan. Ditambah dengan kicauan burung dan unggas-unggas hutan menjadikan suasana terus-terusan diselubungi ketenangan.
Deruan air sungai yang mengalir sebagaimana biasa menggamit dia untuk mempercepatkan langkah. Laju saja sepasang kakinya menapak ke depan. Tiba di tebing, dia mengalih pandang ke satu arah. Ke tempat yang meninggalkan teka-teki di kepalanya hingga ke hari ini.
Isma dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur petang itu namun bila teringat kejadian tempoh hari dia menjejakkan kaki ke tempat kenangan dia bersama Kamilia. Di situlah dia ternampak bayangan arwah isterinya.
Kerana itu dia singgah sebentar di pinggir sungai sebelum meneruskan perjalanan pulangnya. Dia telah selesai melihat-lihat kawasan tanah Encik Khalid sejak beberapa hari lalu. Dan kini dia ingin menyelesaikan teka-teki yang tertinggal di mindanya hingga ke hari ini. Teka-teki tentang kewujudan sebenar bayangan itu.
“Betulkah dia wujud?” Buat kesekian kali soalan itu menebak mindanya.
Sekali gus membuatkan Isma kembali dihimpit bungkam. Selama beberapa hari meluang masa di kampung menjadikan soalan itu terus membelit otaknya. Memaksa akalnya memerah mencari jawapan yang ternyata tidak mampu dijawab minda warasnya.
“Tapi kalau betullah dia wujud, kenapa aku tak melihatnya lagi walhal semua pelosok kampung telah aku jelajah dalam dua tiga hari ni? Kenapa aku masih tidak menemuinya sampai ke hari ni?” Soalan demi soalan terus menerpa mindanya.
Soalan yang sama bermain di mindanya sejak beberapa lama dia berada di situ. Menjadikan Isma semakin dihimpit kekeliruan. Keliru dengan keadaan yang dihadapinya.
“Boleh jadi semua tu hanya bayangan aku saja.” Hatinya berkata sendiri setelah dia sendiri tidak dapat pastikan keadaan sebenar.
Mata Isma masih memandang sekitar. Memerhati keadaan yang semakin dibungkus kelam. Menandakan siang bakal beransur pergi sebentar lagi. Diganti malam yang mula mengangkat tirainya sedikit demi sedikit. Sekali gus memberi petanda buat Isma agar segera berlalu dari situ memandangkan masih jauh lagi perjalanan yang bakal ditempuhinya sebentar nanti.
Biar hati terasa berat untuk meninggalkannya namun Isma pasti. Suatu masa nanti dia akan tetap kembali semula ke tempat yang masih setia menyimpan segala khazanah kenangannya. Kembali dalam mencari jawapan pada kejadian yang masih meninggalkan rasa misteri padanya di waktu ini.
Beberapa lama dia berdiri di situ sebelum mengambil keputusan untuk berlalu pergi. Sempat matanya melilau ke sekeliling buat kali terakhir sebelum kembali ke kereta. Tak lama kemudian Isma dan deruan kereta kesayangannya menghilang dari kawasan yang mula diselubungi kegelapan itu. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012