Monday, August 05, 2013

SETIAKU DI SINI : BAB 18


BAB  18

“Mahfuzah…”
Sapaan seseorang memalingkan tubuh Mahfuzah yang sedari tadi berdiri mengadap jalan raya. Dia segera mengukir senyum. Memandang Farhan yang entah bila berdiri tidak jauh darinya. Perlahan-lahan dia menghampiri lelaki itu yang terlebih dulu mendapatkannya.
“Eh Farhan, tak perasan saya tadi. Datang mengambil adik–adik ke?” suaranya ramah.
Dia memanjangkan leher ke satu arah. Melekapkan sejenak pandangan mata ke kereta lelaki itu yang tersadai di bawah rimbunan sebatang pohon. Tidak jauh dari kawasan sekolah tempat mereka berada kini.
Farhan mengangguk kecil.
“Ya. Fuzah buat apa kat bus stop ni?” tanya Farhan sedikit kuat. Mencelah suara di balik suasana hingar-bingar tengah hari itu.
Tiada senyuman di wajah seriusnya. Dia sudah biasa berkeadaan begitu dan Mahfuzah memahaminya.
“Oh, saya tunggu bas. Nak balik rumah,” balas gadis itu turut meninggi suara. Tidak menghiraukan keadaan hiruk-pikuk di sekelilingnya.
Sesekali matanya mengerling ke arah sekumpulan pelajar yang turut sama berada di perhentian bas tengah hari itu. Mengerti dengan bisikan nakal yang sesekali kedengaran di celah mereka yang melempar pandangan ke arahnya dan Farhan namun dia hanya beriak selamba.
Berkerut dahi Farhan seketika.
“Tunggu bas? Oh, patutlah saya nampak Fuzah berdiri kat sini saja dari tadi. Kereta Fuzah mana?” tanyanya hairan. Melepas pandangan ke persekitaran sejenak sebelum kembali melekat di wajah gadis berkulit hitam manis itu.
“Kereta saya rosak semalam. Masih ada kat bengkel kereta. Nak minta ayah ambilkan tapi dia tak ada kat rumah pula. Dia bekerja di luar daerah sehari dua ni,” cerita Mahfuzah.
Ditunduk sedikit kepalanya tatkala pandangan mereka bersatu. Ada getaran yang menendang ruang hatinya kala ini. Getaran yang cukup difahami maknanya.
Farhan mengangguk lagi.
“Kalau macam tu, jomlah saya hantar pulang. Rumah awak pun depan rumah saya saja. Bukannya jauh pun,” pelawa Farhan seraya mengangkat jari-jemarinya ke muka. Mengelap butir peluh yang mula merenik di dahinya. Dia mula memaling tubuh. Ingin kembali ke keretanya.
“Eh, tak payahlah Farhan. Buat susahkan awak saja. Saya boleh tunggu bas,” sopan Mahfuzah menolak. Turut menyapu peluh yang mula membasahi wajahnya dengan sapu tangan yang sedari tadi berada digenggamannya.
Hakikatnya dia segan. Segan untuk menumpang kereta lelaki itu. Segan untuk berada di dalam satu kenderaan dengannya. Apatah lagi dirinya sendiri tidak gemar menyusahkan orang lain dalam menyelesaikan sebarang kesusahan yang dihadapinya. Kerana itu dia menolak hormat pelawaan lelaki itu. Biarpun mereka berjiran dan saling mengenali. Biarpun hatinya menjadi milik lelaki itu dalam diam. Namun semua itu tidak dijadikannya alasan untuk membantu dirinya keluar dari kepayahan yang sedang dialami.
Farhan kembali menoleh. Merenung sejenak wajah yang sedikit tertunduk itu. Dia mendengus lembut.
“Tak ada apa yang nak disusahnya Fuzah. Setakat naik kereta tu, apa salahnya. Bukannya kena dukung pun,” ujarnya selamba.
Tidak peduli pada Mahfuzah yang sedikit memerah wajahnya. Tercuit hati dengan kata-kata lelaki itu.
“Haah Cikgu. Betul kata abang Han tu. Jomlah balik dengan kita orang. Bukannya jauh pun rumah cikgu dengan rumah kita orang,” sampuk Fakhira yang entah bila berdiri di sebelah Farhan yang sedikit terkejut dengan kedatangannya. Namun tiada kata yang terluah dari mulut lelaki itu.
Fadlan yang berdiri di belakang Fakhira mengangguk laju. Tersenyum lebar.
“Betul kata adik saya tu. Jomlah Fuzah. Lagipun hari panas terik ni. Boleh pening kepala kita kalau berdiri lama-lama di tengah panas begini. Bas tu pun belum tentu nak sampai sekarang,” Farhan kembali bersuara. Mengerut dahi sedikit. Menahan rasa panas yang mula membahang di tubuh. “Kalau begitu baiklah,” Mahfuzah beralah jua.
Tidak sampai hatinya melihatkan gelagat ketiga-tiga adik beradik itu yang beriya-iya mempelawanya. Tersenyum manis pada Fakhira dan Fadlan yang bersorak girang. Sementara Farhan hanya berwajah selamba. Mengatur langkah bersama-sama. Mendapatkan kereta Farhan.

“Suka saya bang bila Dhia tinggal dengan kita. Taklah rasa sunyi sangat rumah kita ni.” Puan Marini bersuara sambil menatap wajah suaminya yang menyandar tubuh di sofa di ruang tamu rumah mereka.
Kedua-dua suami isteri itu baru saja selesai membersihkan belakang rumah sementara menunggu kepulangan Dhia tengah hari itu.
“Abang pun sama Rini. Kalau boleh saya nak Dhia tinggal terus dengan kita selama-lamanya. Lagipun kita pun bukannya ada anak. Sekurang–kurangnya bila dia ada, meriahlah sikit rumah kita ni,” balas Encik Mansur.
Matanya masih melekat pada kaca televisyen yang terpasang di situ.
“Yalah bang,” sahut Puan Marini perlahan.
“Alangkah baiknya lah kalau kita ada anakkan bang. Kenapalah saya ni mandul?” suara Puan Marini tiba–tiba. Dia mengeluh perlahan.
“Isy awak ni Rini, tak baik cakap macam tu. Dah Allah tak izinkan kita ada anak, nak buat macam mana lagi. Bukannya kita tak berusaha, tapi dah bukan rezeki kita. Tak baik awak merungut macam tu,” tegur Encik Mansur lembut.
“Saya bukan merungut bang tapi rasa kesal. Dah berpuluh tahun kita kahwin, dah beratus cara kita usaha, masih tak ada anak. Masa berkahwin berdua, tak sangka pula masa tua pun masih berdua juga,” suara Puan Marini sedikit sebal.
“Nasib baiklah masih berdua, kalau dibuatnya tinggal seorang diri saja, hah, lagi terukkan?” usik Encik Mansur tersenyum lebar. Memandang wajah sang isteri yang menjeling geram padanya. 
“Hisy abang ni, ke situ pula fikirnya,” sanggah Puan Marini cepat.
“Itulah bang, dulu masa saya suruh kahwin lain abang tak nak. Hah sekarang, tengok. Kita berdua saja yang ada pun. Sekurang–kurangnya bila abang kahwin boleh juga kita merasa ada anak walau itu hanya anak tiri saya,” sambungnya seakan marah. Memuncung bibir pada suaminya yang tersenyum kecil.
“Itu kata awak Rini. Dibuatnya anak–anak tiri awak tu benci kat awak, tak sukakan awak, macam mana? Madu awak pula suka mengongkong abang. Tak benarkan abang balik menjenguk awak walau sekejap. Tak ke awak juga yang merana nanti. Lagi pun Rini, dibuatnya lepas kahwin lain pun kita masih tak ada anak, tak ke malu abang ni. Nampak benarlah abang yang mandul,” Encik Mansur menyela kata.
“Hei, abang ni. Kan doktor dah kata, yang mandul tu saya, bukannya abang. Lagi pun takkanlah madu saya sejahat tu. Tak mungkin dia nak buat saya macam tu,” sangkal Puan Marini cepat. Kurang senang dengan kata-kata yang diluah oleh suami tersayang.
Encik Mansur menggeleng kepala perlahan. Tersenyum lagi.
“Dahlah Rini oi, abang tak nak cakap lagi pasal tu. Kita ni dah tua, dah hampir hujung lima puluh tahun pun. Waktu begini patutnya kita fikirkan pasal bekalan yang kita nak bawa ke akhirat nanti, bukannya fikir pasal anak lagi. Selama kita tak ada anak pun kita tetap bahagia juga kan,” suara Encik Mansur.
“Tapi bang…” Puan Marini masih ingin bersuara tentang hal itu.
“Kan abang dah kata sudah, tak payahlah kita cakap lagi pasal tu. Ni, si Dhia pergi mana? Tak nampak pun dari tadi?” soal Encik Mansur memusing butir bicara mereka.
Baru teringatkan anak saudara yang masih belum kelihatan bayangnya hingga kini. Bola matanya merayap ke sekeliling ruang tamu rumah sebelum kembali ke wajah isterinya.
“Dia keluar, pergi jumpa kawan katanya.” Puan Marini menjawab lembut.
“ Apa? Dhia keluar jumpa kawan?” tanya Encik Mansur agak terkejut.
“Hai, sejak bila pula budak Dhia tu ada kawan kat sini? Bukannya dia pernah tinggal kat sini pun. Balik Malaysia sekalipun tak pernah, inikan pula ada kawan,” sambungnya sedikit hairan. Kerutan di dahinya yang sedia ada semakin bertambah.  
“Alah abang ni, macamlah tak kenal dengan perangai si Dhia tu. Benggali jual roti tepi jalan tu pun boleh jadi kawan dia. Bukannya abang tak tahu Dhia, mulutnya tu becok mengalahkan burung murai yang selalu berkicau kat pokok depan rumah kita ni. Pantang bersua muka dengan orang, semua nak ditegurnya,” sambut Puan Marini.
Dia memandang suaminya yang tersenyum kecil seraya mengeleng perlahan. Lelaki itu menarik nafas panjang.
“Bila tengok Dhia, teringat abang pada arwah kakak dan abang. Kasihan Dhia, dahlah seorang diri, mak ayah pula dah tak ada. Nasib baiklah masa kedua arwah pergi Dhia dah di tahun kedua akhir universiti. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan jadi pada anak saudara kita tu,” suara Encik Mansur.
Matanya tidak lagi tertumpu di kaca televisyen. Sebaliknya tertancap lama di wajah isterinya yang tiba-tiba disalut muram.
Puan Marini turut mengeluh panjang.
“Yalah bang. Sedar tak sedar dah hampir dua tahun arwah kakak dan abang pergi. Dah lama jugalah kiranya si Dhia tu jadi yatim piatu. Dahlah kuburnya pun jauh di Mekah sana. Setahun sekali pun belum tentu kita boleh ziarah. Hanya doa sajalah yang boleh kita kirimkan pun,” suara Puan Marini.
“Dah itu impian kedua mereka. Terpaksalah kita tunaikan juga,” sahut Encik Mansur. Masih menombak mata ke wajah Puan Marini yang terdiam sejenak. Berfikir.
“Habis tu bang, kalau Dhia tinggal terus dengan kita, macam mana dengan rumah dan harta benda arwah abang dan kakak kat England tu? Takkan nak biar begitu saja?” Puan Marini kembali bersuara. Teringat pada segala harta yang ditinggalkan kedua ipar kesayangannya.
“Alah, biarlah si Dhia saja yang uruskan semua hal tu. Lagi pun semua tu dah jadi hak Dhia sepenuhnya. Terpulanglah pada Dhia nak buat apa pun,” balas Encik Mansur. Mengerling sekilas pada Puan Marini yang segera mendengus lembut.
“Saya bukannya apa bang. Saya tak nak Dhia tinggalkan kita. Saya tak mahu Dhia tinggal di negeri orang putih tu lagi. Biar dia tinggal dengan kita sampai bila–bila. Dhia pun bukannya ada sesiapa lagi selain kita. Esok–esok kalau jadi apa–apa pada kita, bolehlah kita berikan harta benda kita yang tak seberapa ni pada Dhia,” tambah Puan Marini lagi.
“Itu kata awak Rini tapi kita tak tahu apa pula yang difikirkan si Dhia tu. Dhia pun dah besar, dah 27 tahun pun. Takkan kita nak paksa dia macam budak–budak pula,” sahut Encik Mansur.
“Kakak dengan abang pun satu, punya luas tanah Malaysia ni, England tu juga yang menjadi pilihan mereka untuk mencari makan. Apa, Malaysia ni tak cukup kaya ke sampai terpaksa tinggal di England tu? Dahlah tu, bertahun–tahun pula tinggal kat sana. Nasib baiklah si Dhia masih lagi tahu adab budaya bangsa kita. Kalau tak, tak tahulah,” rungut Puan Marini sedikit marah. Dimuncung bibirnya sedikit.  
“Awak ni Rini, abang dan kakak tu kan orang Melayu. Takkan mereka lupa pada adat dan budaya bangsa sendiri. Apatah lagi si Dhia tu pula merupakan satu-satunya anak yang mereka ada. Takkan mereka sanggup biarkan si anak tu rosak binasa dengan budaya hidup orang Barat tu.”
“Bukan macam tu maksud saya bang. Kan lebih baik kalau dulu dia orang tinggal saja di Malaysia ni. Sekurang-kurangnya si Dhia tu terdedah dengan adat dan budaya kita dengan lebih baik. Ada orang sekeliling yang boleh memberi contoh teladannya. Ini tidak, harap dia orang berdua saja yang nak ajar si anak tu tentang budaya kita. Macamlah mereka tu ada masa nak mengajar semuanya pada Dhia,” rungut Puan Marini lagi seraya mencebik bibirnya.
“Yang awak membebel tak tentu pasal ni kenapa Rini? Orang tu pun dah lama tak ada. Tak baik cakap benda yang dah lepas. Berdosa tahu,” sanggah Encik Mansur lembut.
“Apa yang berdosanya pakcik?” sampuk Dhia yang tiba–tiba muncul di depan muka pintu rumah.
Dia membuang kasut yang tersarung di kaki seraya melangkah masuk ke ruang tamu. Dia tersengih kecil.
“Hah bertuah punya anak saudara. Masuk rumah tak bagi salam, tahu–tahu dah terpacak kat depan rumah,” suara Puan Marini sedikit terkejut. Geram dengan tingkah nakal gadis itu.
“Alah, salah makcik dan pakcik juga. Saya dah bagi salam dari luar pagar lagi, tak ada seorang pun nak jawab,” selamba Dhia membalas. Mengatur langkah mendapatkan kedua-duanya sebelum merebahkan tubuh ke sofa.
“Kamu dari mana ni Dhia? Dah tengah hari begini baru balik?” Puan Marini bersuara sedikit marah.
Dia sebenarnya bimbang kiranya ada berlaku sesuatu yang tidak baik pada gadis itu. Maklum sajalah gadis itu masih tidak biasa dengan kawasan persekitarannya yang baru beberapa lama didudukinya.
“Nasib baik saya balik waktu tengah hari. Kalau saya balik waktu tengah malam macam mana?” usik Dhia tidak menjawab pertanyaan wanita itu. Menyeringai pada Puan Marini yang segera mendengus lembut.
“Hisy budak ni, lain di tanya lain pula jawabnya. Dah, dah, jom makan. Makcik dan pakcik kamu ni dah kebulur tahu tunggu kamu nak makan bersama,” Puan Marini bersuara lagi. Menatap Dhia yang segera menjungkit kening.
“La, iya ke? Kenapa makcik dan pakcik tak makan dulu?” Dhia bersuara hairan.
“Pakcik kamu suruh tunggu. Makan bertiga baru sedap katanya,” sambut Puan Marini.
“Iyalah tu makcik oi. Dibuatnya saya tak balik, mahu tak mahu, sedap ke tidak, tetap kena makan juga. Takkan nak biar perut kembung tu macam belon pula. Ya tak makcik?” Dhia menyahut seraya tersengih. Mengenyit mata sekali pada Puan Marini yang kembali mendengus geram. 
“Hei, dahlah tu kamu berdua. Asyik bercakap je dari tadi. Perut ni pun dah berbunyi pelbagai irama. Jomlah pergi makan,” celah Encik Mansur sedikit keras sekaligus mematikan niat Puan Marini untuk kembali membuka mulut.
Encik Mansur segera berlalu ke ruang dapur, meninggalkan Dhia dan Puan Marini yang terkocoh–kocoh mengikutnya dari belakang. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012