Friday, August 02, 2013

KEJORAKU BERSATU: BAB 13


BAB 13
Datuk Rashdan menolak kemas pintu pejabat yang tertutup rapat. Dia mengorak langkah menuju ke bilik sebelum menghempas tubuh ke kerusi empuknya. Jarinya menekan butang interkom yang ada di atas meja.
“Ratna, masuk sekejap,” Nada suara Datuk Rashdan kedengaran lembut namun tegas.
Tak lama, kedengaran daun pintu diketuk perlahan sebelum di buka dari arah luar. Seorang gadis bertudung merah jambu muda melangkah menghampirinya. Dibawa bersama sebuah buku kecil di tangannya.
“Selamat pagi Datuk. Ada apa yang boleh saya bantu?” lembut si gadis menyoal.
“Selamat pagi. Ada apa-apa yang penting yang perlu saya lakukan hari ni?”
“Hmm…setakat ini Datuk cuma ada mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah bank. Itu pun hanya pada pukul 2.30 petang nanti. Itu saja Datuk,” beritahu Ratna, memandang buku kecil yang berada di tangan.
Datuk Rashdan mengangguk-angguk.
“Tak apalah Ratna, awak boleh keluar sekarang,” ujarnya.
Ratna mengangguk kecil. Pantas kakinya menghayun langkah ke pintu. Dia kembali berpaling apabila terdengar namanya dipanggil semula.
“Ratna, tolong call Ashraff sekarang dan sambungkan talian kepada saya,”
“Baik Datuk,” ujar Ratna lembut.
Langkahnya kembali diatur. Datuk Rashdan hanya memandang tingkah gadis itu hingga bayangan tubuh Ratna hilang di balik pintu. Tak lama, interkom di depannya kembali berbunyi. Pantas dia menekan butangnya.
“Datuk, Encik Ashraff on the line now,” suara Ratna kembali mengetuk gegendang telinganya. “Sambungkan kepada saya,” balasnya pantas.
“Baik Datuk.”
Tak lama, suara seseorang kedengaran di hujung talian.
“Selamat pagi Datuk. Ada apa-apa yang boleh saya bantu Datuk pagi-pagi ni?” Suara di hujung sana kedengaran begitu mesra.
Datuk Rashdan tertawa kecil.
“Tak ada apa Ash, ayah cuma nak pastikan yang kamu dah masuk kerja. Itu saja,” Kedengaran tawa kecil di hujung talian.
“Ayah ni, buat saya risau saja. Ingatkan apa tadi. Hmm… ayah dah sarapan?” ujar Ashraff penuh hormat.
“Dah,” balas Datuk Rashdan ringkas.
“Siapa yang buatkan ayah sarapan?”
“Siapa lagi kalau bukan adik kamu tu lah,”
Kata-kata Datuk Rashdan disambut dengan tawa kecil si anak.
“Hmm… rajin pula dia buat sarapan untuk ayah. Selalunya, ayah yang buatkan sarapan untuk dia. Tak pun Mak Temah je,”
“Tak tahulah Ash. Entah mimpi apa adik kamu malam tadi. Awal benar dia bangun pagi ini. Siap kejutkan ayah solat Subuh.”
“Itulah, saya suruh ayah kahwin lain ayah tak nak. Ni sekarang, baru saja saya balik dua tiga hari ke rumah mertua, hidup ayah dah tak terurus. Kan baik kalau ayah kahwin lagi.”
“Hisy, kamu ni. Ada pula nak suruh ayah kahwin lagi. Ayah ni dah tua Ash, dah tak ada siapa lagi yang nakkan ayah ni.”
“Itu kata ayah. Cuba ayah mengurat mana-mana anak dara, conform dapat. Ayah pun bukannya tua sangat, baru 57. Handsome lagi,”
“Iyalah tu, malas ayah nak melayan kata kamu lagi. Ada saja kamu nak kenakan ayah ya. Ni ayah nak tanya, bila kamu nak balik rumah?”
“Mungkin dua tiga hari lagi ayah. Lepas habis saja kenduri kesyukuran tu nanti kami terus balik. Alisa pun dah bising-bising kat saya, risau dia kalau-kalau tak ada orang nak jaga makan minum ayah nanti,” ujar Ashraff lagi.
“Kalau macam tu, cepat-cepatlah kamu balik ke sini. Ayah pun dah rindu kat cucu-cucu ayah tu,”
“Jangan katakan ayah, cucu-cucu ayah tu pun dah mula merengek nak ajak balik. Pening kepala saya dibuatnya,”
“Hmm… tak apalah Ash, ayah pun tak nak ganggu kamu buat kerja. Kirim salam pada isteri kamu nanti,”
“Insya Allah ayah,”
“Assalammualaikum,”
Perlahan Ashraff menjawab salam sebelum talian diputuskan.
Datuk Rashdan tersenyum kecil. Di letak gagang perlahan gagang yang berada di tangan. Di labuh pandangannya ke arah sekeping gambar yang berbingkai kemas di sudut meja. Gambar mereka sekeluarga bagaikan tersenyum memandangnya. Untuk seketika kenangan dulu kembali berputar dalam fikirannya. Datuk Rashdan hilang dalam khayalannya pagi itu.

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012