BAB 14
“ASSALAMUALAIKUM,”
ucap Damia memberi salam sebaik sahaja menolak daun pintu rumah sewanya.
Dia
tersenyum lebar pada Alia yang pantas menyahut. Dipeluk seketika tubuh Alia
yang terlebih dulu berbuat demikian. Wanita itu turut membantunya membawa masuk
beg pakaian dan barangan lain.
“Wah,
banyaknya barang kau bawa balik Mia. Kau pergi melawat nenek kau ke atau kau
pergi shopping kat kampung tu?” Sambil membelek beg-beg plastik, Alia
bertanya. Dia menyelongkar segala barangan yang dibawa balik gadis itu.
“Taklah.
Aku pergi merompak kampung nenek aku. Itulah hasil yang aku dapat pun,” seloroh
Damia segera menyandar tubuh ke sofa. Melepas lelah seketika.
“Yang
kau bawak balik buah-buahan banyak-banyak ni kenapa? Siapa yang nak makan semua
ni?” tanya Alia terus ke dapur mengambil besen sebelum ke semua buah-buahan itu
dihumban masuk ke dalamnya. Lalu dia mula mengasingkan buah-buahan itu kepada
beberapa bekas mengikut jenisnya.
“Aku
bukan nak suruh kau makan semua ni Puan Alia oii. Mahu meninggal kau dibuatnya
kalau makan semua ni sorang-sorang. Kau ambillah setakat mana yang kau nak.
Yang lain tu nanti bolehlah aku bagi pada keluarga aku. Oh ya Lia, nenek aku
kirim salam kat kau,” bentak Damia.
“Waalaikumussalam.
Sihat orang tua tu?”
“Sihat
sangat Lia terutamanya tekak dia tu. Sampai nak rabit telinga aku dengar dia
membebel. Nasib baiklah sekejap aje. Kalau tak, aku rasa aku dah kena pasang
telinga baru lepas ni.”
“Hisy
kau ni, tak baik tau cakap nenek kau macam tu. Salah kau jugak sebab dah
bertahun-tahun tak balik tengok dia. Sibuk sangat bekerja sampai tak ingat
orang tua sendiri. Nasib baik dia membebel aje. Dibuatnya dia kerat-kerat kau
buat kayu api, hah baru kau tahu marah ke tidak orang tua tu pada kau.” Dalam
bercakap Alia sudah mengulum sebiji dua pulasan.
“Kau
tahu Lia, masa balik hari tu aku pergi ke kebun arwah datuk aku. Punyalah lebat
buah-buahanya sampai aku sendiri tak tahu nak ambil yang mana satu dulu. Nasib
baiklah ada Pak Cik Zain yang menjaga kebun datuk aku tu.
Dialah
yang tolong kaitkan semua buah ni untuk aku. Kalau tidak, ikut hati aku ni aku
nak tebang aje semua pokok tu. Lepas tu aku humban aje kesemuanya masuk dalam
bonet kereta. Taklah buang masa aku nak kait satu-satu.” Begitu beriya-iya
Damia bercerita hingga terawang-awang kedua-dua tangannya. Dia sendiri sudah
menghabiskan setangkai langsat waktu ini.
“Gila
kau! Kalau kau tebang semua tu orang lain nak makan apa lagi lepas ni? Tunggul
pokok ajelah jawabnya Mia oii. Punya susah payah arwah datuk kau tanam semua
pokok tu yang kau pulak senang-senang aje nak tebang semuanya. Apa punya teruk
cucu yang datuk nenek kau dapat pun tak tahulah,” bebel Alia.
Damia
hanya tersengih panjang seraya menjongket kening beberapa kali.
“Apasal
kau nampak happy semacam aje ni Lia? Aku tengok senyum kau tu pun dah
nak sampai ke telinga lebarnya. Ada apa sebenarnya?” tanya Damia baru
terperasan dengan perubahan Alia lewat petang itu.
Begitu
ceria dia melebihi hari-hari sebelumnya. Menjadikan senyuman Alia terus kembang
hingga menampakkan barisan mutiara bersihnya. Bulat matanya membalas pandangan
ingin tahu Damia. Lekas-lekas dia memberitahu.
“Kau
tahu Mia. Projek kerjasama aku dengan si Ainul bodoh bangang tu dah ditarik
balik. Ayah aku dan ayah dia dah setuju dah bagi projek tu pada abang dia dan
kakak aku untuk diuruskan. Hai... kau tak tahu betapa seronoknyalah hati aku
bila dapat khabar gembira ni. Tak payahlah aku tengok muka si buta kayu tu lagi
lepas ni,” ucap Alia begitu bersyukur dengan keadaan itu.
Damia
pula sudah menjongket bibir atasnya sedikit. Dengan pandangan curiga dia
melontar soalan.
“Ni
mesti kau dan Ainul dah buat sesuatu sampai projek tu diserahkan pada abang dan
kakak kau orang, kan? Macamlah aku tak tahu perangai kurang asam kau dan bekas
laki kau tu. Baik kau cakap terus-terang dengan aku Lia.” Seakan mengugut Damia
meminta penjelasan. Wajah suka Alia yang menyeringai kelat sebaik sahaja
mendengar kata-katanya dipandang lama. Alia menggaru-garu kepala tak gatalnya.
“Mana
ada aku buat apa-apa pun. Dah itu keputusan yang dibuat oleh ayah kita orang,
kita orang terima ajelah. Takkan nak bantah pulak.” Alia terus-terus tersengih
bila melihat lipatan kerut di wajah Damia. Nampak benar gadis itu tidak percaya
pada kata-katanya.
“Yalah,
yalah. Aku mengaku aku dan Ainul dah buat salah sampai ayah kita orang naik
angin sangat dengan kita orang berdua. Itulah sebabnya projek tu dia orang bagi
pada abang dan kakak kita orang.” Akhirnya Alia mengaku juga bila melihat
kerutan wajah Damia semakin bertambah-tambah.
Langsung
tak yakin dengan kata-katanya sebentar tadi.
“Hah,
kan aku dah kata. Mesti kau dengan Ainul ada buat apa-apa kan? Kalau tak
takkanlah ayah kau orang boleh buat keputusan drastik macam tu sekali.
Tiba-tiba pulak tu.” Jelas kedengaran nada puas hati dalam suara Damia. Puas
hati kerana berjaya memaksa wanita itu memberitahu perkara sebenar.
“Jadi
apa sebenarnya yang kau dan Ainul dah buat sampai begini sekali jadinya?” Ternyata
Damia tidak berganjak dari tajuk perbualan itu. Wajah kelat masam Alia
dipandang lagi. Wanita itu merengus halus.
“Kita
orang bergaduh teruk kat dalam pejabat aku tapi tak adalah sampai bertumbuk.
Tarik-tarik rambut aje.”
Kepalanya
terus ditundukkan tatkala terpandang pandangan terbeliak Damia. Mulut gadis itu
sudah terlopong luas. Hingga menampakkan isi buah langsat yang belum dikunyah
di dalamnya.
“Huih,
macam tu sekali gaya kau orang bergaduh ya? Dahsyat tu wei! Mesti seluruh isi
pejabat ayah kau tengok adegan-adegan yang tak sepatutnya tu kan? Lagi tak baik
nasib kau dan Ainul kalau ada pulak yang mengambil kesempatan merakam
detik-detik sejarah hitam kau orang tu.
Kau
orang pun mesti dengan tanpa rasa malunya terus bergaduh sakan sampai tak peduli
lagi dah dengan keadaan sekeliling kan?” Dalam terkejut Damia menyindir
selamba.
Tak
lama dilepas perlahan nafas panjangnya seraya menggeleng. Wajah marah kelat
Alia dipandang lagi.
“Betullah
kau orang berdua ni tak matang. Cetek benar pemikiran otak kau orang tu.
Perangai mengalahkan budak-budak. Tak payahlah kau nak menangkan diri kau Lia
kalau memang itu hakikatnya. Baik kau dan Ainul, sama-sama tak gunakan akal
fikiran waras bila nak berbuat sesuatu. Memang patutlah kau orang jadi laki
bini pun dulu,” ujar Damia terus menyambung kata bila melihat Alia seakan ingin
membantah kata-katanya.
Menjadikan
wajah wanita itu bertambah-tambah masam. Benar-benar tak suka dengan isi
percakapan Damia. Damia pula terus-terus mengeluh panjang.
“Hai,
nampaknya punahlah harapan aku nak tengok kau dan Ainul naik pelamin semula
suatu hari nanti.” Dalam bersuara lemah dia menelan sebutir lagi buah langsat.
“Huh,
mustahillah aku dengan dia akan bersama semula Mia. Biar apapun yang terjadi,
aku takkan berbaik semula dengan lelaki buta kayu tu.” Muncung Alia sudah
sedepa panjangnya. Menyahut kata-kata Damia dengan penuh geram.
“Kalau
kau nak tahu Alia, aku ada simpan niat untuk kau dan Ainul masa aku dapat tahu
kau orang bercerai dulu.” Damia bersuara semula. Memandang Alia sudah
menjongket keningnya sedikit.
“Niat
apa?” Lurus dia bertanya. Membalas pandangan gadis itu hanya dengan ekor
matanya.
Damia
sudah tersenyum lebar. Diubah cara duduknya. Dari duduk berjuntai kaki di sofa
dia duduk bersila pula.
“Kalau
kau dan Ainul kahwin semula, aku berniat nak tolong buat semua hantaran kau
orang berdua. Bukan setakat hantaran, aku nak buat pelamin dan hias bilik tidur
kau orang juga secantik-cantiknya,” terang Damia bersungguh-sungguh.
Alia
pula sudah mencebik bibir.
“Argh!
Tak adanya nak menjadi niat tak best kau tu. Antara aku dan Ainul dah
tak ada apa-apa lagi dan takkan ada apa-apa lagi. Bukan setakat hari ni saja
tapi untuk selama-lamanya. Mati hidup semula pun aku takkan berbaik dengan
dia.” Keras saja Alia memberi jawapan. Bersungguh-sungguh lagi.
“Ooo...
jadi sekarang kau berdendamlah dengan duda kau tu ya?” Soalan Damia mengundang
rengusan marah Alia. Tak suka dengan pertanyaan yang dirasakan berbaur tuduhan
itu.
“Aku
bukan berdendam dengan dia Mia tapi aku geram sebenarnya. Kau fikirlah, adakah
patut perempuan sebaik dan sesetia aku ni dituduhnya main kayu tiga kat
belakang dia? Dia tuduh aku ada affair dengan klien aku walhal dia tak
tahu klien aku tu dah lama beranak-pinak. Isteri dia pun seribu kali lagi
cantik dari aku yang sedia cantik ni.
Yang
dia tu, lagilah. Gila bekerja sampai langsung tak ingat pada aku yang siang
malam tercongok macam tunggul kayu tunggu dia kat rumah tiap-tiap hari. Sejam
pun tak ada masa dia untuk aku. Sibuk bekerja mengalahkan Yang Dipertuan Agong.
Itu pun aku boleh sabar lagi. Tapi yang buat aku angin satu badan tu bila aku
dapat tahu dia ada simpan perempuan kat pejabat. Sebab tulah dia sibuk sangat
nak bertapa kat situ. Dua puluh empat jam nak berasmaradana dengan si Mona
gedik tak sedar diri tu.
Lepas
tu sesedap rasa dia aje nak tuduh aku ada jantan lain. Helo! Kalau aku ni jenis
perempuan yang gilakan jantan dah lamalah aku buat macam tu. Tak payah tunggu
kami kahwin, sebelum kahwin pun aku dah buat semua tu,” ujar Alia.
Marah
benar pada Ainul hingga terkepal-kepal penumbuknya beberapa kali selama dia
bercakap.
Sambil
itu sempat pula dia menyelit pujian buat diri sendiri. Menjadikan Damia yang
mendengar kata-kata itu merengus kecil. Perasan betul, kutuk hatinya. Wajah
marah Alia ditatap semula.
“Kau
tahu Lia, dari apa yang kau bagitahu aku dan dari apa yang aku faham, hanya
satu saja kesimpulan yang boleh aku buat tentang keadaan kau dan Ainul ni.
Sebenarnya, baik kau ataupun Ainul, kau orang berdua sama-sama salah faham. Itu
aje. Dia tuduh kau curang dan tak mahu dengar penjelasan kau. Kau pulak kata
dia gila kerja sampai abaikan kau. At the same time, kau kata dia simpan
perempuan kat pejabat dan kau pun tak mahu dengar penjelasan dia.
Hakikatnya
Lia, perkara ni boleh diselesaikan kalau kau orang berdua mahu dengar
penjelasan masing-masing dan duduk berbincang tentang perkara ni baik-baik.
Lagi satu, buang sikap keras kepala dan ego melangit kau orang tu. Sikap-sikap
tulah yang buatkan kau orang berdua berada dalam situasi sekarang ni. Saling
membenci walau sebenarnya masih sayang-menyayangi.”
Alia
terus mencebik sebaik sahaja mendengar kata-kata terakhir Damia.
“Excuse
me, siapa kata aku masih sayang dia hah? Tolong sikit. Daripada aku sayang
dia lagi baiklah kalau aku sayang kucing Parsi peliharaan kakak aku tu. Hati
tak bengkak, mata pun tak sakit tengok perangai si bodoh bangang tu.” Cepat
saja dia menyahut seraya menjeling tajam wajah tenang Damia.
Penuh
benci biarpun kata-kata itu tidak lahir dari lubuk hatinya. Sekadar menutup
rasa sebenar yang wujud buat Ainul selama ini.
Sedang
Damia sudah tersenyum lebar melihat tingkah wanita itu.
“Iyalah
tu kau, konon tak sayang Ainul. Kau cakaplah apa yang kau suka Lia tapi aku
berani kerat jarilah bertaruh kau still sayangkan dia. Walaupun macam
mana sekalipun kau cuba selindung tapi perasaan tu tetap wujud dalam hati batu
kau tu.
Kalau
tak, takkanlah kau nak menjanda sebegini lama. Kalau dari dulu lagi kau kahwin
lain, bukan seorang aje anak yang kau ada sekarang tau tapi dah berderet-deret.
Ada yang dah masuk sekolah pun.
Tapi
sebab kau masih sayangkan dialah yang buatkan kau sampai sekarang masih lagi
bersendirian. So, tak payahlah kau nak auta aku. Tak mengaku sayang
konon. Sudahlah kau Lia,” tempelak Damia lalu dia mengelak pantas bila sebiji
pulasan dibaling Alia ke arahnya. Dia terkekeh ketawa. Sedangkan Alia sudah
membulat mata. Marah dalam malu.
“Argh!
Sudahlah kau Mia. Mentang-mentanglah kau tu peguam, suka hati kau aje nak
nasihatkan aku macam-macam. Siap mengata aku pulak tu. Apa kau fikir aku tengah
buat sesi kaunseling dengan kau hah? Boleh jalanlah!” jerkah Alia terus
mencekak pinggang pada Damia yang terus membesarkan tawa. Geli hati dengan
kata-kata spontan wanita itu.
“Aku
bukan mengata kaulah tapi memang itu hakikatnya. Cuma kau tu aje yang tak sedar
diri. Kalau sedar sekali pun kau buat bodoh aje sebab kau tu terlalu ego nak
mengaku salah sendiri.”
Damia
terus melompat bangun dari duduknya bila satu demi satu kusyen kecil dilempar
ke arahnya. Dia tertawa lagi.
“Kau
ni kan Mia, memang dah puas hidup dalam dunia agaknya. Sebelum aku bertukar
menjadi harimau betina dan terkam kau, baik kau pergi naik atas sekarang. Kau
pergi mandi, solat dan lepas tu kau turun ke bawah semula. Karang jangan kata
buah-buah ni, dengan kau-kau sekali aku baham tau,” jerkah Alia sengaja
mengeraskan suaranya.
Memberi
arahan pada Damia yang segera menegak tubuh sambil mengangkat tangan kanannya
separas telinga. Seakan membuat ikrar.
“Baik
puan, saya mengikut perintah,” sahutnya terus berlari ke tingkat atas.
Langsung
membiarkan Alia melihat tingkahnya seraya tersenyum sambil menggeleng. Bakul
berisi buah-buahan dicapai sebelum dibawa ke ruang dapur.
Mula
menyediakan makan malam mereka. Sedangkan otaknya ligat memikirkan kebenaran
kata-kata Damia sebentar tadi. Tanpa sedar Alia tersenyum sendiri. Setuju penuh
dengan kata-kata gadis itu dalam diam.
“BERAPA
hari kamu ambil cuti ni?” tanya Nenek
Tijah seraya menyorong sedulang minuman pada lelaki itu.
Isma
tersenyum kecil.
“Adalah
dalam dua tiga hari begitu nek. Is balik ni pun sebab Is nak lawat tanah ayah
di hujung sana tu. Ayah bercadang nak bina chalet kat situ. Tulah Is nak tengok
dulu rupa kawasannya. Is perlu tengok sama ada tempat tu berpotensi atau tidak
untuk dijadikan kawasan pelancongan.” Sebelum mencicip minumannya Isma
menjawab.
Nenek
Tijah mengangguk sedikit.
“Eloklah
kalau macam tu Is. Tanah ayah mentua kamu tu pun dah lama benar terbiar. Tak
ada siapa pun yang nak usahakannya. Dulu waktu arwah datuk kamu ada, dialah
yang rajin membersihkan tanah tu. Ini bila dia dah pergi, tanah tu pun terbiar
macam tu ajelah.” Ternyata wanita tua itu menyokong tindakan cucu menantunya.
“Tapikan
nek, kenapa tak diusahakan saja tanah tu sebelum ini? Macam buat ladang
perternakan ke, tanam sayur ke, sebab setahu Is tanah ayah tu luas jugak
ukurannya. Kalau tak salah Is adalah dalam berpuluh ekar jugak luasnya tu?”
Pertanyaan Isma mengundang keluhan kecil Nenek Tijah.
“Dulu
ada jugak seorang dua yang datang bertanyakan tentang tanah tu tapi tak jadi
sebab kawasannya jauh sangat dari jalan besar. Sudahlah jauh, tempatnya pun
terletak di hujung ceruk kampung. Sekelilingnya pula hanya ada hutan belantara
aje, tempat jin bertendang kata orang.
Walaupun
ada dusun buah-buahan datuk kamu tak jauh dari situ tapi masih tak sesiapa pun
yang nak tolong nenek jagakan kawasan tanah tu. Pak Cik Zain kamu tu pun cuma
bantu menjaganya bila datang musim buah macam sekarang ni. Itupun sebab nenek
yang mintak dia bantu. Esok-esok bila musim buah dah habis, tak adanya lagi dia
nak ke sana. Sunyi sepi suasananya. Siapalah yang sanggup nak duduk kat situ
lama-lama,” terang Nenek Tijah panjang lebar.
Isma
mengangguk faham.
“Kalau
tak silap Is, kat kawasan tanah ayah tu ada sungai, kan nek?” soalnya
tiba-tiba.
Ingat-ingat
lupa tentang kawasan tanah yang begitu jarang dikunjunginya biarpun hampir
saban bulan dia pulang ke kampung itu. Sekadar menjengah wanita tua itu yang
telah lama menetap sendiri di situ.
“Apa
pulak tak adanya Is. Bukankah hulu sungainya bermula dari situ? Air terjun pun
ada tapi tulah, airnya deras sangat. Bahaya untuk orang mandi-manda kat situ.
Kalau setakat nak buat tempat bersiar-siar nak menikmati keindahan alam kata
orang, bolehlah. Kalau nak mandi juga, kenalah ke tengah bahagian sungai sikit.
Tak pun ke hilirnya saja. Kat situ airnya pun deras tapi tak adalah sederas air
di hulu tu.”
Isma
mengangguk lagi dek penjelasan neneknya.
“Oh
ya Is, esok-esok bila dah siap projek chalet ayah mentua kamu tu, kamu nak upah
siapa untuk jaga semua chalet tu?” tanya Nenek Tijah sekadar ingin tahu.
“Saya
rasa, mungkin saya akan upah anak-anak muda kampung ni untuk bekerja di situ.
Daripada dia orang duduk melepak tanpa buat apa-apa kat simpang kampung tu,
lebih eloklah kalau dia orang bekerja di chalet ayah tu. Sekurang-kurangnya
masa dia orang pun tak terbuang macam tu aje.
Dia
orang pun tak payahlah bersusah-payah nak berhijrah keluar dari kampung ni
semata-mata nak mencari pekerjaan lepas ni. Lagipun dia orangkan anak jati
kampung ni. Jadi mudahlah bagi dia orang untuk bantu kami mempromosikan kawasan
kampung ni kepada pelancong-pelancong luar nanti.” Isma meluah cadangan yang
baru dikira-kira dalam benaknya.
Giliran
Nenek Tijah pula mengangguk.
“Elok
sangatlah cadangan kamu tu. Daripada kita mengupah bangsa asing, lebih baiklah
kalau kita ambil bangsa kita saja untuk bekerja dengan kita. Selain boleh
memajukan bangsa sendiri, kita jugak dapat membantu menaikkan taraf hidup dia
orang walaupun tak banyak mana. Kita semua jugak yang sama-sama mendapat
manfaatnya nanti.” Nenek Tijah benar-benar bersetuju dengan cadangan lelaki
itu.
Sempat
matanya mengerling jam di dinding rumah. Jarum telah menunjukkan ke angka tujuh
lebih. Menandakan siang bakal melabuhkan tirainya sebentar lagi.
“Cepat
benar masa berlalu ya. Sedar tak sedar dah nak masuk Maghrib pun. Pergilah
mandi dulu Is. Nanti lepas solat bolehlah kita makan bersama. Kamu guna saja
bilik sebelah sana tu. Nenek belum kemaskan lagi bilik yang selalu kamu guna
tu. Bukannya apa, dulu bilik tu Damia yang punya.
Bila
dia dah ke luar negara, nenek bagilah bilik tu pada kamu dan arwah Kamilia
setiap kali kau orang balik ke sini. Tapi sekarang Damia dah balik jadi dia
guna pulak bilik tu. Dia terlupa yang bilik tu dah jadi bilik kamu sekarang,”
ujar wanita tua itu lagi seraya bangkit dari duduknya. Mula menutup
tingkap-tingkap dan pintu rumah.
Isma
turut membantunya.
“Kalau
kamu sampai awal sikit, bolehlah kamu jumpa dengan Damia. Dia baru saja
bertolak balik ke Kuala Lumpur petang tadi,” sambung Nenek Tijah.
“Lama
ke dia balik ke sini nek?” tanya Isma sekadar berbasa-basi.
Namun
mindanya sibuk mencerna wajah yang ditemuinya di sungai awal petang tadi. Wajah
yang meninggalkan rasa tanda tanya pada dia tentang kewujudan sebenar batang
tubuh yang tidak dikenalinya itu.
“Lama
tu tidaklah. Adalah dalam dua tiga hari begitu. Ada jugak nenek suruh dia
berlama-lama kat sini tapi dah nama pun peguam. Ada sajalah hujahnya nak
membangkang kata-kata nenek tu. Mahu tak mahu terpaksalah nenek mengaku kalah,”
seloroh wanita tua itu.
Lantas
mencungkil senyum lebar Isma buat kali seterusnya. Sedang bayangan peristiwa di
sungai awal petang tadi masih menghantui mindanya hingga ke saat ini.
Isma
menoleh ke arah Nenek Tijah semula tatkala wanita tua itu membuka mulut semula.
“Dahlah
Is, pergi mandi cepat. Dah azan pun. Nanti lewat pulak kamu ke masjid nak
tunaikan Solat Maghrib dan Isyak kat sana,” suruh nenek itu lagi.
Isma
pantas mengangguk sebelum menapak ke bilik.
Mengambil
tuala dan terus ke bilik air untuk membersihkan diri.
LAJU
tangannya menyimbah air. Membasahi
seluruh kenderaan bercat hitam metalik itu. Membuang segala kotoran yang
terlekat di kereta kesayangannya. Sambil itu dia menyanyi-nyanyi kecil. Sekadar
buat pendengaran telinganya saja.
Gerakan
Faris terhenti tatkala telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Pantas dia menyeluk
poket seluar pendek separas lututnya. Dicapai telefon bimbit manakala tangan
kirinya masih kejap memancutkan air ke seluruh badan kereta. Dia tersenyum
lebar tatkala terpandang nama yang terpampang di skrin. Segera dia menyambut.
“Mimpi
apa kau telefon aku petang-petang begini Nul?” soalnya sebaik salam Ainul
dijawab mesra.
“Mimpi
apa pulak. Aku sebenarnya bosanlah duduk sorang-sorang kat dalam rumah ni. Tu
sebablah aku call kau,” sahut Ainul sambil membaring tubuh di sofa.
Jari-jemarinya
sejak tadi sibuk menekan-nekan butang alat kawalan televisyen. Mencari saluran
yang mampu menarik minatnya untuk menonton petang itu.
“Ooo...
sebab bosanlah kau telefon aku ya? Mak ayah kau pergi mana?”
“Dia
orang pergi rumah mak ayah perempuan tak guna tu.” Jawapan dan rengusan
halusnya mengundang tawa kecil Faris.
“Ooo...
dia orang pergi rumah janda kau rupanya. Patutlah suara kau tegang semacam aje.
Kenapa kau tak ikut dia orang? Dia bukannya tinggal dengan mak ayah dia kat
situ pun.” Sambil bersuara Faris menuang air sabun ke kereta.
Dengan
menggunakan span dia mula menggosok. Membersihkan seluruh bahagian luar kereta
setelah kepala paip air ditutup rapat. Tangan kanannya masih erat menggenggam
telefon. Ainul merengus lagi.
“Argh!
Malaslah aku nak ikut dia orang. Daripada kena tahan telinga mendengar bebelan
dia orang, baik aku lepak sorang-sorang kat rumah. Tapi tulah, boring pulak
rasanya bila dah tinggal sorang-sorang macam ni. Tak tahu nak buat apa,” keluhnya.
“Abang
dan kakak kau tak ada kat rumah ke?”
“Dia
orang lagilah. Awal-awal pagi dah keluar pergi rumah mak ayah Kak Wardina. Family
dia ada buat kenduri sikit hari ni.”
“Alah,
apa susah sangat. Kau bukalah tv. Banyak cerita best yang boleh kau
tengok waktu petang-petang begini.”
Cadangan
Faris disambut dengan rengusan seterusnya dari lelaki itu.
“Best
ke bendanya? Semua stesen tv sama aje perangainya, asyik ulang siaran
serupa sampai naik jelak aku dibuatnya,” rungut Ainul.
Faris
sudah tertawa kecil.
“Susah-susah
sangat Ainul, kau keluarlah pergi berjoging ke, jalan-jalan ke. Mana tahu bila
kau keluar merayap nanti kau boleh tersangkut hati dengan mana-mana awek. Aku
dan Isma jugak yang beruntung nanti sebab dapat nasi minyak kau buat kali
kedua,” sambut Faris dalam tawanya.
Dia
terus meliarkan mata ke pagar rumah sebelah tatkala terpandang sebuah teksi
berhenti situ. Beberapa saat kemudian seorang gadis berjubah hitam melangkah
keluar dari perut kenderaan awam itu.
Selesai
pintu teksi ditutup rapat, dia menapak ke dalam pagar bersama sebuah bungkusan
plastik kecil di tangannya. Begitu cermat dia mengatur langkah hingga tidak
kedengaran bunyi tapaknya.
Dengan
kepala menunduk dia berjalan menuju ke dalam rumah. Sempat ekor matanya
mengerling Faris yang telah terpaku sebaik sahaja terpandang seraut wajah tanpa
senyuman itu. Langsung terlupa pada perbualannya dan Ainul ketika ini.
“Woi
Ris! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Pekikan Ainul dari corong telefon
menyentak Faris dari pandangannya. Bagai terjaga dari mimpi dia segera
tersedar. Baru teringat pada sahabat baik yang masih setia menanti di hujung
talian.
“Sorry,
sorry Ainul aku tak dengar apa yang kau cakap tadi.” Sedikit tergagap dia
menyahut.
Sedang
mata masih terhala di laman rumah sebelah biarpun tiada lagi sebarang kelibat
manusia di situ. Bersama hati yang kini hebat dilambung getaran dia kembali
menyambung cucian biarpun pergerakan tangannya tidak selaju tadi.
Ainul
tertawa kecil.
“Kau
ni kenapa Ris? Tiba-tiba aje jadi gagap. Apa kau ternampak hantu ke
petang-petang begini? Ke kau nampak benda lain?” usiknya terperasan dengan
perubahan nada suara lelaki itu. Sedikit menggeletar lagi terkejut.
“Bukan
hantu yang aku nampak Ainul oii tapi bidadari.” Jawapan Faris membuatkan tubuh
Ainul menegak serta-merta.Gilirannya pula dirasuk terkejut di kala ini.
“Bidadari?
Kau biar betul?” Dengan nada tidak percaya dia bertanya cepat-cepat. Tak sabar
menanti jawapan lelaki itu.
Faris
mengangguk kecil.
“Betul
Ainul, aku tak bohong. Aku baru nampak bidadari tadi. Sebelah rumah aku aje
tinggalnya pun,” sahutnya masih meletak mata di laman sepi rumah sebelah.
Tertinjau-tinjau
kepalanya mencari kelibat seseorang yang kini telah mencuri hatinya sejak pandangan
pertama mereka.
“Kalau
betullah kau nampak bidadari tadi maknanya kau dah pergi ke kayanganlah tadi tu
ya sampai dah tak dengar apa yang aku cakap.” Ainul kembali meluah tawa. Lucu
dengan kata-kata sendiri.
Faris
sudah tersengih lebar.
“Apa
nak kata Ainul, aku sendiri pun tak tahu apa yang dah jadi pada aku tadi,”
sahutnya terus mengulum senyuman.
Sempat
pula dia menepuk dahi perlahan. Dalam kepala wajah indah milik gadis itu
terus-terus bertebaran ke seluruh ruang. Melekap kuat di setiap saraf otaknya.
Lalu menjadikan dia terkhayal sendiri dengan keadaan itu.
“Hmm...
nampaknya kempunanlah kau nak makan nasi minyak aku lepas ni ya.” Ainul sudah
tersenyum panjang. Faris pula telah melakar kerutan di dahi.
“Aku
yang akan kempunan makan nasi minyak kau? Eh, kau ni. Biar betul. Kenapa pulak
kau cakap macam tu?” Dia tak faham dengan maksud kata-kata lelaki itu.
“Sebabnya
lepas ni aku dan Isma yang akan makan nasi minyak kau tu dulu.” Ainul terus
meluah tawa.
“Tapi
kenapa pulak?” Ternyata Faris masih tidak mengerti. Kerutannya terus bertambah.
Sedangkan Ainul masih melepas tawa.
“Yalah,
bukankah kau cakap yang kau ternampak bidadari tadi? Hai, takkanlah kau nak
tengok dia macam tu aje kan? Of courselah lepas ni kau akan usha dia.
Nama pun kat sebelah rumah aje tinggalnya. Hah, elok aje kau berjaya jerat dia,
dah tentulah kau bawa dia naik jinjang pelamin. So, rezeki aku dan
Ismalah dapat makan nasi minyak kau dulu sebelum kau dapat makan nasi minyak
aku tu.” Ainul terus menyambung tawa bersama Faris yang terlebih dulu berbuat
demikian.
Terasa
lucu dengan gurauan lelaki itu. Langsung tidak menyedari gelagatnya
diperhatikan Puan Fatimah. Ada senyuman gembira di wajah wanita itu. Gembira
dengan keadaan yang tidak sengaja dilihatnya sejak tadi.
No comments:
Post a Comment