Friday, August 02, 2013

KEJORAKU BERSATU : BAB 15


BAB 15

“Betul ke kau orang tak kisah aku tidur kat sini semalam dua?” soal Asyikin ingin kepastian.
Wajah kedua-dua teman baiknya dipandang silih berganti.
“Ewah, buat-buat tanya pulak. Puan Asyikin, selama ni pun, kalau kau bergaduh atau merajuk dengan laki kau tu, rumah inilah tempat kau menumpang diri tau. Dah lupa ke?” sindir Khalidah.
“Yalah, itu dulu, sekarang ni lain,” balasnya.
“Apa yang lainnya?” tingkah Khalidah.
Asyikin tidak menjawab. Sekadar tersengih.
“Lama ke si Imran tu pergi ke Beijing?” celah Nina, yang sedari tadi mengadap komputer ribanya.
“Adalah dalam dua tiga hari begitu.”
“Apasal kau tak ikut. Kalau aku, dah lama aku ikut. Bukan senang nak dapat peluang pergi ke negara orang,” ujar Khalidah.
“Malaslah aku. Aku dah pergi kat sana dulu. Lagi pun, si Imran tu pergi sebab urusan bisnes. Kalau aku ikut dia pun, bukannya ada kerja yang boleh aku buat.”
“Alah, apa salahnya kalau kau pergi sekali lagi. Yalah, ala-ala honeymoon untuk kali kedua,” dengan mata yang masih melekat pada skrin computer Nina bersuara lagi.
Honeymoon apanya. Dah empat tahun aku kahwin, anak pun dah dua orang. Takkan nak honeymoon lagi.”
“Alah, apa salahnya. Bukannya salah kalau sepanjang hidup kau nak berhoneymoon pun,” ucap Nina selamba.
“Untung benar kau Ikin dapat kahwin dengan si Imran tu. Dahlah baik, romantik pulak tu. Ada saja benda yang dia beli untuk kau setiap kali dia pergi mana-mana kan.” Nada suara Khalidah kedengaran sedikit cemburu.
“Ala, dah jodoh aku dengan dia. Kau tu pun, apa kurangnya. Bukan tak ada yang hendak, kau tu aje yang jual mahal.”
“Bila masa pulak aku jual mahal?” tingkah Khalidah.
Nina yang mendengar hanya mengeleng. Malas campur tangan dalam perdebatan kedua-dua temannya itu. Dia lebih suka menyibukkan diri melayari internet sambil menonton televisyen. Baginya, masa yang terluang perlu digunakan sebaik mungkin.
“Alah, masa kita kat Ireland dulu, bukan tak ada orang yang nakkan kau. Kau aje yang tolak,” ujar Asyikin tersenyum lebar.
“Huh, buat apa aku nak kalau yang berkenan kat aku tu pun perangainya tak serupa orang. Geli aku,” ujar Khalidah. 
“Apa pulak tak serupa orang. Hei Idah, Said Amin itu lelaki yang baik tau. Kau aje yang tak pandang dia,” balas Asyikin.
“Baik apanya.  Mata dia pandang aku tapi tangan sibuk nak meraba anak dara lain. Eii, tak nak aku dapat suami macam tu,” cebik Khalidah sambil memuncung bibir sedikit.
Asyikin yang memandang gelagat gadis itu hanya tertawa kecil.
“Eh, Idah. Kau ingat tak lelaki yang bertekak dengan aku tempoh hari?” tanya Asyikin tiba-tiba.
“Lelaki?” Khalidah mengerut dahi.
“Lelaki mana pulak ni?”
“Alah, yang hari tu bertekak dengan aku masa Nina langgar kereta seorang lelaki tu,” ujar Asyikin menekan suaranya sedikit.
Khalidah berfikir seketika. Tak lama dia kembali mengukir senyum.
“Oh, yang itu. Kenapa?” soalnya ingin tahu.  
Handsome jugak dia tu ya,”
“Yang mana satu?”
“Alah, yang bertekak dengan aku tulah. Aku rasa dia suka kat kaulah.”
“Hisy, kau ni. Sesuka hati aje cakap dia suka kat aku. Entah-entah nak beranak pinak pun,” ujar Khalidah.
Wajahnya mula memerah. Terbayang semula wajah Airil di ruang matanya. Pandangan lelaki itu benar-benar membuatkan dirinya malu. Malah hingga kini rasa malu itu masih berkeliaran dalam dirinya setiap kali dia mengingati kejadian itu.
“Takkanlah dia dah kahwin. Kalau tidak masakan dia tengok kau begitu sekali.”
“Nama pun lelaki. Pantang jumpa perempuan, nak terkeluar biji mata dia orang tengok  kita.” ujar Khalidah. Tidak mahu kisah lelaki itu dibangkitkan lagi.
“Tapi kan Ikin, aku lebih suka lelaki yang drive kereta tu. Handsome betul. Wajahnya tu, kalah Keanu Reeves. Dahlah tegap, tinggi lagi. Kulit pun cerah. Mancung hidungnya.”
“Kau ni Idah, tak sangka aku. Pandang lelaki macam tu sekali. Boleh tahan jugak miang kau tu ya,” ujar Asyikin tersenyum nakal.
“Mana ada. Aku pandang je muka dia. Tapi tulah, sikit pun dia tak pandang aku. Dia asyik pandang Na aje.”
Khalidah menoleh sejenak ke arah Nina yang sejak tadi sibuk mengadap komputer ribanya.
“Hei Na, apa pendapat kau tentang lelaki tu?” soal Khalidah seraya mengenyitkan mata ke arah Asyikin yang tersengih nakal.
Kedua-dua wanita itu memandang tepat wajah Nina yang kelihatan serius.
“Wei Nina, aku tanya kau ni. Kau dengar ke tidak?” jerit Khalidah sedikit kuat apabila di lihat Nina seakan tidak mendengar pertanyaannya.
Gadis itu begitu ralit dengan dunianya sendiri. Melihatkan Nina yang begitu tekun mengadap komputer ribanya, Khalidah mencapai sebiji kusyen kecil yang berada di hujung kaki. Dibaling tepat mengenai kepala gadis itu.
“Woi apa ni, kau orang dah gila ke?”
Tersentak dengan lontaran itu Nina terjerit kecil. Dipandang sekilas wajah kedua-dua temannya yang hanya tersengih nakal.
“Kau tu, mengadap benda alah tu sampai tak dengar aku panggil,” ujar Khalidah tersengih.
“Kau orang nak apa?” tanya Nina, kembali mengadap skrin komputer.  
“Na, apa pendapat kau tentang lelaki yang kau langgar kereta dia tu?” soal Asyikin.
“Lelaki?”
Dipandang sekilas wajah Asyikin yang laju mengangguk.  
“Lelaki mana pulak ni?”
“Alah, lelaki yang kau langgar kereta dia tempoh hari,” sampuk Khalidah.
“Yang mana satu?”
“Hisy kau ni, lembab betullah. Lelaki yang kau langgar kereta dia kat Jalan Kasturi tu tempoh hari,” ujar Asyikin.
Agak lama baru Nina mengangguk.
“Oh, lelaki tu. Kenapa dengan lelaki tu?” tanya Nina. Matanya kembali terarah ke komputer.
“Apa pendapat kau tentang dia?” tanya Asyikin.
“Pendapat aku? Tentang apa?” berkerut dahi Nina seketika. Kurang mengerti.
“Iyalah, tentang rupa paras dia, tentang perwatakan dia, tentang apa-apa saja berkenaan dengan dia,” balas Asyikin sedikit bosan dengan tingkah Nina yang acuh tak acuh melayan pertanyaan mereka.
“Oh,” balas Nina pendek. Dia berfikir seketika sebelum kembali membuka mulut.
“Rasanya, aku tak ada komen.”
“Hei Na, punya handsome rupa paras dia, kau boleh cakap kau tak ada komen. Betullah mata kau letak atas lutut,” jerit Asyikin sedikit geram.
Dihumban kusyen yang sedari tadi berada di pelukannya ke arah Nina yang segera mengelak. Gadis itu tertawa besar.
“Tak payah kau tanya dia Ikin, buat sakit hati aje kalau kau cakap dengan si Na ni,” sampuk Khalidah mengerdip kelopak matanya yang terasa pedih beberapa kali.
“Dari pada kau layan si Na ni, lebih baiklah kau masuk tidur. Buang masa saja bercakap dengan manusia yang tak ada perasaan tu,” sambungnya seraya bangun melangkah menuju ke bilik tidur.
Matanya yang semakin memberat dirasakan tidak mampu lagi di tahan. Jari-jemari kanannya segera menutup mulut yang mula terbuka luas. Menandakan masa untuk melelapkan mata telah tiba.
“Memang betul kata kau tu Idah, buat sakit hati aku je kalau bercakap dengan Na ni,” balas Asyikin turut melangkah masuk ke bilik. Menjeling sekilas ke arah Nina yang hanya menyeringai.
“Na, kau jangan lupa tutup tv tu sebelum tidur nanti.”
Dari dalam bilik Khalidah menjerit sedikit kuat. Nina tidak membalas. Dia tersenyum mendengar kata-kata temannya. Untuk seketika gerakan tangannya terhenti. Disandar tubuhnya ke sofa. Dia cuba membayang semula raut wajah lelaki yang diperkatakan kedua-dua temannya tadi di ruang fikirannya.
Baginya, lelaki itu mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Ketampanannya, sifat kelelakiannya yang terserlah, cukup untuk menarik perhatian sesiapa yang memandang. Namun pada Nina, semua itu hanya satu kelebihan yang di punyai lelaki itu.
Dan sebagai seorang perempuan Nina tak nafikan yang kelebihan itu mampu mengetarkan naluri wanita. Tapi tidak dirinya. Entah mengapa hatinya kurang senang bila teringatkan renungan lelaki itu. Renungan yang dia sendiri tak mampu tafsirkannya sehingga kini.
Nina kembali tersedar tatkala jarum jam di dinding rumah berdenting. Dia kembali mengadap komputer yang berada di ribaannya. Teringat pada kerjanya yang masih terbengkalai. Bayangan lelaki itu hilang dalam kesibukannya. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012