Friday, August 02, 2013

KEJORAKU BERSATU: BAB 14


BAB 14

“Macam mana dengan keadaan kerja kamu sekarang Anuar? Ada apa-apa masalah yang timbul yang boleh ayah bantu?” Tengku Adnan bersuara sebaik terpandang kelibat anak bongsunya di ruang tamu rumah.
Anak itu baru sahaja melangkah turun dari tingkat atas rumah. Ada sebuah buku di tangannya. Di letak surat khabar yang berada di tangan ke atas meja di sebelah sofa. Tengku Anuar tersenyum kecil seraya melabuhkan punggung ke sofa.
“Setakat ni, belum ada-ada apa masalah lagi ayah. Kalau ada pun insya Allah, saya masih boleh settle sendiri,” ujarnya.
Tengku Adnan mengangguk.
“Assalammualaikum.”
Hampir serentak keduanya menoleh. Memandang Tengku Azhar yang melangkah masuk ke ruang tamu rumah. Di hempas punggungnya ke sofa. Setentang Tengku Anuar. Terpancar kepenatan di raut wajahnya.
“Kamu dari mana ni Zhar? Dah malam begini baru balik?” soal Puan Fazlina lembut.
Puan Fazlina yang baru turun dari tingkat atas segera melabuhkan punggung di sisi anak yang duduk menyandar tubuh.
“Saya dari mesyuarat kat hotel Marriot tadi mak,” ujar Tengku Azhar perlahan sambil melonggarkan ikatan tali leher yang masih tersangkut di leher.
“Jannah, buatkan air minuman untuk suami kamu ni,” laung Puan Fazlina, menoleh kepalanya ke arah dapur.
“Ya mak,” Jannah yang berada di ruang dapur pantas menyahut.
“Nuar, kenapa dengan kereta kamu tu? Bang Long tengok kedua-dua lampu belakang kereta tu pecah. Nombor platnya pula dah retak.” Serius Tengku Azhar bertanya.
“Ada orang langgar belakang kereta saya beberapa hari lepas bang Long,” jawab Tengku Anuar tenang. Matanya jatuh seketika pada buku yang berada di ribanya.
“Iya? Teruk ke? Kenapa tak cakap pada mak?” Bertubi-tubi soalan di lontar Puan Fazlina. Suaranya kedengaran cemas. Membulatkan mata pada si anak.
“Tak ada apa-apa yang teruk pun mak. Cuma belakang kereta tu kemek sikit saja.”
“Habis tu, kenapa tak hantar terus ke workshop?” celah Tengku Adnan.
Risau mendengar berita yang baru diketahuinya. Kesibukan menjalankan tanggungjawab di pejabat membuatkannya kadang-kala terlupa dalam mengambil tahu keadaan yang berlaku di sekeliling.
“Saya sibuk sikit sehari dua ni ayah. Tengoklah, esok lusa baru saya hantar ke bengkel.”
“Kalau kamu tak ada masa, biar Bang Long aje yang hantarkan,” ujar Tengku Azhar sambil tangannya mencapai huluran cawan dari Jannah yang baru datang dari dapur. Diteguk rakus.
“Tak apalah Bang Long, saya boleh buat sendiri nanti,” lembut Tengku Anuar menolak pelawaan abangnya.
Tangan Tengku Anuar menyambut huluran cawan dari Jannah. Di letak di atas meja di depannya. Tengku Azhar tidak menyahut. Dia hanya menganggukkan kepalanya. Air di tangan diteguk lagi.
“Nasib baiklah kamu tak apa-apa.” Puan Fazlina bersuara risau. Bimbang tentang keselamatan anaknya.
“Siapa yang langgar kereta kamu tu?” soal Tengku Adnan.
“Budak perempuan ayah,” ujar Tengku Anuar.
Seketika dia terbayang wajah Nina di matanya. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyum.
“Hmm… patutlah. Perempuan rupanya,” tingkah Tengku Azhar. Sedikit sinis.
“Cantik ke dia?” soal Puan Fazlina.
“Hisy, awak ni, ada ke tanya begitu pula,” ujar Tengku Adnan menegah isterinya.
“Eh, apa yang salahnya tanya. Manalah tahu, kalau suka boleh juga kita buat menantu,” Puan Fazlina menyangkal kata-kata suaminya.
“Dah, dah, awak jangan nak merepek,” pantas Tengku Adnan menyampuk kata isterinya.
Dipaling wajahnya ke arah si anak yang hanya tersenyum kecil melihat kelakuan suami isteri itu.
“Nuar, nenek kamu telefon tadi. Dia tanya bila lagi kamu nak balik berjumpa dengannya? Rindu benar dia pada kamu,” ujar Tengku Adnan.
“Tengoklah ayah. Insya Allah, jika ada masa nanti, saya balik juga ke kampung tu.”
“Susah-susah sangat, ambil saja cuti Nuar, lagi senang. Nak tunggu kamu ada masa, memang tak akan adanya masa kamu tu,” Puan Fazlina mula membebel.
“Buat masa sekarang ni saya tak boleh ambil cuti lagi ma, banyak lagi kerja yang perlu saya lakukan kat pejabat tu. Lagi pun masih ada beberapa projek yang belum saya settlekan lagi,”
“Huh, kalau nak kira macam tu, tak baliklah kamu,” keluh Puan Fazlina. “Mak bukannya apa Nuar, nenek kamu tu. Sekali dia berleter mahu rabak juga telinga mama nak mendengarnya. Perangainya tu saling tak tumpah macam ayah kamu tu, kuat berleter,” sambungnya lagi. Di jeling sekilas wajah si suami yang melirik tajam ke arahnya.
“Awak ni Lina, kalau tak kaitkan saya dengan mak tak boleh ke?” tegur Tengku Adnan lembut. “Macam mana pun perangai dia, baik ke tidak ke, dia tu tetap mak mertua awak Lina,”
“Sebab mak mertualah saya boleh tahan. Kalau tak, jangan haraplah,” balas Puan Fazlina begitu perlahan, seakan berbisik pada diri sendiri.
“Apa awak cakap Lina?” tanya Tengku Adnan memandang wajah si isteri.
“Mana ada saya cakap apa pun bang,” tingkah Puan Fazlina cepat. Tersenyum kelat ke arah si suami yang merenung dengan pandangan tanda tanya.
Mereka yang memandang tingkah suami isteri itu hanya mengeleng kepala sebelum masing-masing bertukar senyum.

“Jadi ke abang nak ke Tasik Kenyir tu nanti?” soal Datin Salbiah lembut.
Wajah si suami yang duduk menyandar tubuh di sisi direnung lama. Datuk Nasir yang leka menonton televisyen yang terpasang di depannya segera menoleh.  
“Insya Allah, Biah. Mungkin dua tiga minggu lagi,” sahutnya kembali memandang televisyen.
“Lama ke abang pergi?”
“Lama tu taklah, adalah dalam dua tiga hari jugak,”
“Lama juga tu.” Datin Salbiah bersuara perlahan, seolah-olah bercakap sendiri.
Tanpa sedar dia mengeluh perlahan. Mendengar keluhan itu Datuk Nasir kembali menoleh. Merenung wajah si isteri, bibirnya menyimpul senyum.
“Kenapa tiba-tiba saja Biah mengeluh?” soalnya.
Ditarik tangan Datin Salbiah sebelum di bawa ke pangkuannya. Diramas lembut jari-jemari itu. Matanya kembali menyapu kaca televisyen. Sekali lagi Datin Salbiah melepaskan keluhan kecil.
“Entahlah bang. Sejak abang beritahu tentang rancangan abang nak ke Tasik Kenyir tu, hati saya resah semacam saja bang. Macam ada sesuatu yang tak baik akan berlaku,” tuturnya perlahan.
“Hisy, Biah ni, tak baik cakap yang bukan-bukan. Jangan terlalu ikut kata hati tu. Lagi pun selama ini bukannya abang tak pernah tinggalkan rumah. Kadang-kadang tu sampai berminggu-minggu.”
“Itu lain bang,”
“Apa yang lainnya Biah, sama juga kan.”
“Itu abang pergi sebab urusan kerja. Tapi kali ni abang pergi sebab nak memancing.”
“Sama jugalah tu Biah. Tak pun Biah risau abang pancing benda lain?” usiknya.
“Hisy abang ni. Cubalah abang buat kalau abang nak rasa periuk belanga kat dapur tu melayang-layang ke badan abang,” ujar Datin Salbiah sedikit marah.
Datuk Nasir tersenyum kecil.
“Takkanlah abang nak buat macam tu Biah, dengan Biah seorang pun dah pening abang di buatnya,” ujar Datuk Nasir.
Sememangnya tidak pernah terlintas di hati Datuk Nasir untuk menduakan Datin Salbiah. Biar pun wanita itu tidak lagi secantik zaman mudanya dulu namun bagi kasih sayangnya terhadap si isteri tidak pernah surut. Malah dirasakan semakin dalam.  
“Dahlah tu Biah, jangan di fikirkan sangat semua tu.”
Datuk Nasir mencapai remote control yang berada di meja di depannya. Jarinya menekan butang off.  Televisyen di hadapannya serta merta gelap gelita.
“Jangan diikutkan sangat kata hati awak tu. Hari pun dah lewat ni. Jomlah kita masuk tidur. Esok saya nak ke pejabat,” ujarnya lagi.
Datin Salbiah tidak menjawab. Dia hanya menganggukkan sebelum bangkit mengikut langkah suaminya yang terlebih dulu mengangkat kaki menuju ke tingkat atas. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012