Monday, August 05, 2013

BERSATU DALAM CINTA : BAB 13


BAB 13

“ASSALAMUALAIKUM.” Lembut lagi sopan gadis itu memberi salam. Sedangkan kedua-dua tangannya masih kejap menatang sesuatu. Dia memberi salam lagi bila tiada sahutan.
Tidak lama kemudian, kedengaran seseorang menjawab salam dari dalam rumah banglo itu sebelum kepala Puan Fatimah terpacul di muka pintu.
“Apa khabar mak cik?” Lembut Wafi menyapa.
Dia tersenyum sedikit seraya menunduk kepala bila terpandang pandangan terbeliak Puan Fatimah. Seakan tidak percaya gadis itu berada di muka pintu rumahnya ketika ini.
“Ba... baik, jemputlah masuk Wafi,” pelawa Puan Fatimah sedikit tergagap.
Dalam pegun tangannya masih laju membuka daun pintu selebar mungkin dengan raut wajah tak terkira gembiranya. Wafi hanya mengangguk.
“Tak apalah mak cik. Kat sini saja. Wafi datang ni pun sebab nak bagi kuih ni pada mak cik. Mak minta Wafi tolong hantarkan.”
Wafi mengunjuk sepinggan kuih yang sejak tadi berada di tangannya.
“Eh, kalau iya pun masuklah dulu. Bolehlah kita berbual-bual kejap. Mak cik pun tinggal seorang diri aje ni. Pak Cik Rais kamu belum balik kerja lagi. Anak mak cik, Faris tu pun sama. Selagi matahari tak tenggelam selagi tulah tak nampak muka dia orang kat dalam rumah ni,” ajak Puan Fatimah penuh ramah.
Wafi hanya mengangguk.
“Marilah masuk Wafi. Alah, tak payah segan-segan. Buat saja macam rumah sendiri,” pelawa wanita itu lagi. Begitu beriya-iya.
Wafi akhirnya beralah jua. Tidak sampai hati pula dia menolak ajakan beriya-iya wanita peramah itu.
Lambat-lambat dia menapak ke dalam. Sambil itu matanya melepas pandangan ke sekeliling rumah yang kali pertama di kunjunginya. Tangannya pula terus menghulur pinggan kuih kepada Puan Fatimah buat kali kedua.
“Kuihnya mak cik.”
“Terima kasih. Buat susah-susah saja mak kamu bagi kuih pada mak cik sekeluarga.”
Dengan senang hati Puan Fatimah menyambut.
“Duduk dululah ya Wafi. Mak cik buat air kejap ya,” sambungnya tergesa-gesa ke dapur.
“Eh, tak payahlah mak cik. Buat susahkan mak cik aje.” Pantas saja Wafi menolak.
“Apa pulak tak payahnya? Bukannya selalu pun kamu datang ke sini. Sesekali kamu minum air buatan mak cik pulak apa salahnya, kan? Bolehlah kita berbual sambil minum nanti.”
Puan Fatimah langsung menghilang dari situ. Meninggalkan Wafi yang masih memacak tubuh di tengah ruang tamu rumah.
Dia terus membuang mata ke sekeliling. Terasa tenang hatinya melihatkan hiasan rumah yang kelihatan begitu ringkas dan kemas itu. Perjalanan mata Wafi terhenti di satu tempat tatkala dia terpandang sekeping lukisan tergantung kemas di sudut dinding. Laju kakinya menapak ke situ. Melekap lama retinanya di lukisan besar itu.
“Lukisan tu anak lelaki mak cik, Faris yang beli masa dia belajar kat luar negara dulu.” Suara Puan Fatimah tiba-tiba melangkah keluar ke ruang tamu itu mengejutkan Wafi.
Gadis itu tersentak. Segera dia berpaling. Memandang Puan Fatimah sudah meletak sedulang minuman di meja.
“Cantik lukisan tu mak cik,” puji Wafi sebelum mendapatkan wanita itu. Melabuh punggungnya di depan Puan Fatimah di sofa.
Puan Fatimah mengulum senyuman lebar.
“Sejak kecil lagi Faris memang suka pada lukisan tapi tulah, bakat melukis pulak yang dia tak ada. Bukan dia tak usaha nak belajar melukis tapi agaknya memang bukan rezeki dia dalam bidang tu. Sampai ke hari ni dia masih cuba melukis tapi tak pernahnya menjadi. Buat sakit mata aje kalau tengok hasil lukisannya tu pun,” seloroh Puan Fatimah sudah meluah tawa.
Wafi hanya menguntum senyuman pendek. Itu pun seketika saja.
“Wafi memang suka melukis ke sejak kecil? Atau Wafi mula belajar tentang lukisan ketika di universiti?” soal Puan Fatimah bila melihat anak gadis jirannya hanya membeku lidah. Sambil itu dia menghulur secawan teh pada gadis itu.
Wafi menyambut seraya mengucap terima kasih.
“Wafi memang suka melukis sejak kecil lagi mak cik. Tak pernah pulak Wafi terfikir nak jadikannya sebagai satu kerjaya bila dewasa. Tapi siapa sangka, bidang ni jugaklah akhirnya yang memberi rezeki pada Wafi sampai ke hari ini,” ujar Wafi dengan rasa rendah diri.
Sedar tentang pemikiran setiap manusia yang mempunyai pandangan berbeza dalam semua perkara. Apatah lagi pada bidang seni lukis yang sering dianggap ramai sebagai salah satu cabang seni yang tidak mampu memberi pulangan setimpal pada penceburnya.
“Itu dah kira okeylah Wafi. Sekurang-kurangnya kamu masih mempunyai pendapatan kamu sendiri dan tak bergantung harap pada orang lain untuk mencari rezeki. Sebagai manusia, bukan menjadi hak kita untuk tentukan dari mana datangnya rezeki tu tapi kita perlu berusaha mendapatkannya. Asalkan rezeki itu halal dan diberkati, pekerjaan yang kita lakukan itu bukan lagi menjadi satu penghalang buat kita mencari rezeki sebanyak mungkin.
Kita tak perlu menyesal dengan apa yang kita miliki sekarang kerana kita perlu sedar. ALLAH telah mencipta pelbagai perkara dalam dunia ini dan setiap satunya mempunyai faedahnya yang tersendiri buat kita semua. Segalanya terpulang pada kita sendiri bagaimana menggunakannya supaya semua itu membawa manfaat kepada diri kita.” Lembut lagi panjang lebar Puan Fatimah meluah kata-kata nasihatnya.
Matanya sejak tadi tidak berganjak dari wajah Wafi, gadis yang telah mencuri hatinya sejak kali pertama pertemuan mereka itu.
“Macam anak lelaki mak cik si Faris tulah. Walaupun dia tak pandai melukis tapi dia tak anggap itu sebagai penghalang untuk dia terus meminati bidang seni lukis sampai ke hari ini. Bagi dia, kalau tak dapat melukis, dapat tengok orang melukis pun jadilah,” sambung wanita itu lagi terus-terusan mengukir senyuman.
Wafi hanya mengangguk. Senang dengan kata-katanya.
“Eh, kenapa pandang saja air dan kuih tu? Jemputlah minum. Kuih tu mak cik baru saja buat awal pagi tadi. Jamah-jamahlah ya,” pelawa Puan Fatimah bila dilihat hidangan di depan tidak terusik sejak tadi. Dia sendiri mula mencapai cawannya seraya mencicipnya sedikit. Wafi juga berbuat demikian.

BEGITU berhati-hati dia memandu kereta kesayangannya. Merentasi satu denai kecil sebelum terus melalui sebuah jambatan kayu. Sempat matanya mengerling ke sekitar. Menatap kehijauan alam yang indah lagi menenangkan. Kelihatan sungai terbentang di kiri dan kanan laluannya. Dia tersenyum sendiri.
Segera dia membelok keretanya ke satu arah sebaik sahaja merentasi jambatan. Dia melompat keluar dari kereta setelah enjinnya dimatikan. Perlahan-lahan langkahnya di atur. Menapak ke tebing sungai sebelum membenam mata di aliran deras air. Dilabuh punggungnya di salah satu batu besar yang ada di pinggir tebing setelah kaki seluar denimnya dilipat tinggi seraya membuang pandangan ke seluruh kawasan.
Terasa ketenangan menerjah hati kala ini. Ketenangan yang jarang dapat dinikmatinya ketika berada di ibu kota. Sedang rembang petang sudah lama mewarnai suasana. Menandakan malam bakal mengambil alih alam beberapa jam lagi.
Melekakan Isma yang masih terpegun dengan keindahan alam ciptaan ILAHI di sekelilingnya. Kedamaian yang sedang dirasainya ketika ini menjadikan kenangan lalu mudah sekali meresap ke mindanya.
Perlahan-lahan mindanya menggali semula nostalgia yang pernah diciptakannya di sini. Di sungai yang sehingga kini masih tidak berganjak dari tempatnya. Masih setia memberi khidmat pada seluruh makhluk ALLAH meskipun perkhidmatannya jarang-jarang dihargai.
Isma masih ingat. Pertemuannya dengan arwah Kamilia bermula di sini walaupun tidak secara langsung. Cinta mereka berputik di sungai tua ini. Ketika itu arwah Kamilia sedang berlari-lari kecil di permukaan batu-batu. Leka wanita itu bermain dengan anak-anak ikan di tebing sungai.
Hingga tanpa sedar dia telah tergelincir dan hampir dihanyutkan arus deras sungai. Dan Isma yang kebetulan mengikut Khuzairi pulang ke kampung ketika itu telah menjadi pahlawannya. Menyelamatkan wanita itu dari terus hilang ditelan arus.
Kejadian itu akhirnya membibitkan cinta pandang pertama buat kedua mereka. Cinta yang akhirnya dibawa hingga ke jinjang pelamin beberapa bulan kemudian. Biarpun semua itu hanya tinggal kenangan. Namun sehingga kini segalanya masih terasa segar di minda Isma yang begitu merindui pemergian isteri tersayang. Apapun dia tetap sedar. Hidup perlu diteruskan biar apapun berlaku.
Mata Isma masih melata di persekitaran. Merayap ke setiap celahan alam yang mampu ditangkap sepasang retinanya. Sesekali dia menoleh ke langit. Melihat matahari yang sudah condong ke barat. Menandakan tidak lama lagi persekitaran bakal dibungkus malam. Tidak mahu terus diulit masa silam Isma bangun dari duduknya.
Dia baru berkira-kira ingin menapak ke kereta tatkala matanya terpandang seseorang di hilir sungai. Tidak jauh dari tempatnya berada. Lama matanya melekat di batang tubuh itu. Hatinya bagai diragut keluar dari tubuh tatkala retina Isma terpandang wajahnya sebaik sahaja tubuh itu berpaling arah.
“Kamilia...” Tanpa sedar nama itu terkeluar dari mulutnya.
Ditenyeh kelopak matanya beberapa kali. Sementara pandangan Isma masih melekat di wajah itu. Kakinya terus lincah menapak tatkala batang tubuh itu mula meninggalkan kawasan itu. Sedaya-upaya dia mempercepatkan langkah. Cuba menghampirinya namun dalam sekelip mata tubuh itu menghilang dari pandangan.
“Manusia atau?” Minda Isma berfikir sendiri.
Mula dia berprasangka yang bukan-bukan biarpun hatinya kuat mengatakan pandangan itu bukan khayalannya. Jauh sekali bayangan yang tidak sepatutnya.
“Tapi mustahillah dia hantu? Takkanlah waktu-waktu Asar begini pun ada hantu?” Satu per satu soalan mula menjengah kepalanya.
Tanpa berfikir panjang, Isma kembali berlari-lari anak di sepanjang tebing. Terus ke tempat di mana matanya melihat kewujudan batang tubuh itu. Dipandang sekeliling dengan begitu teliti. Mencari bahan yang boleh dijadikan bukti kewujudan sebenar tubuh yang dilihatnya sebentar tadi.
Pencarian Isma terhenti tatkala matanya terpandang kesan tapak kaki di pinggir tebing. Tidak jauh dari tempatnya berdiri. Pantas dia mendapatkannya. Melihatnya dengan lebih dekat. Jelas terpapar kesan tapak kaki milik seseorang di situ. Masih baru dan kelihatan basah. Diukur dengan tapak kakinya. Lagi kecil dari tapak kaki aku, desis hatinya.
Bermakna batang tubuh yang dilihatnya tadi benar-benar wujud. Tapi, betulkah dia Kamilia? Atau itu mata aku yang tersilap pandang? Mungkin jugak hati aku terlalu rindukan isteri aku hingga membayangkan wajah Kamilia di wajah orang yang aku tak tahu gerangannya? Isma mula bingung.
Dengan hati bergumpal pelbagai rasa dia kembali mendapatkan keretanya. Perlahan-lahan dia meninggalkan tempat itu tidak lama selepas itu. Sedang bayangan wajah yang dilihatnya tadi masih berkeliaran di minda.

DITUMBUK kuat bantal peluknya beberapa kali. Bengang dengan keadaan yang dihadapinya sekarang. Rasa marahnya dan geram masih bergelumang dalam hati. Marah pada si ayah yang ternyata masih berangin dengan sikapnya sejak beberapa hari lalu. Juga pada si musuh yang baginya telah menghidupkan perang dingin ini.
Menjadikan seleranya hilang untuk menjamah sebarang hidangan malam itu. Malah perut pejalnya juga langsung tidak mengeluar sebarang bunyi. Seolah-olah bersetuju dengan tindakan mogoknya ketika ini.
Ainul berdengus halus bila pintu biliknya diketuk seseorang. Dia yang sejak tadi menyandar tubuh di kepala katil terus membuat muka masam tatkala Ammar melangkah masuk ke biliknya. Lelaki itu mengukir senyuman ketika terpandang riak wajah sang adik. Mengerti makna jalinan raut itu.
Lelaki itu tidak mahu diganggu namun Ammar tidak peduli. Dia sekadar ingin berbual dan berkongsi cerita. Sekali gus membuang rasa yang sedang bertakung di hati adik kesayangannya di kala ini.
“Kenapa kamu tak turun makan tadi? Kesian mak. Dari tadi dia tunggu kamu nak makan malam sekali.” Lembut Ammar membuka bicara lantas melabuh punggungnya di tepi katil. Bersebelahan Ainul.
Ainul hanya membatu diri seraya memeluk erat bantalnya.
“Kamu masih marah pada ayah ya?” Ammar bertanya lagi.
Ainul hanya merengus halus. Tidak menyahut.
Melihat tingkahnya, Ammar kembali mengulum senyuman. Lebih lebar.
“Apa yang ayah buat tu betul dik. Tak patut kamu dan Alia bergaduh di depan pekerja-pekerja Ayah Zali macam tu sekali. Kamu dan Alia kan dah sama-sama matang. Sama-sama telah dewasa. Masing-masing ada akal fikiran sendiri. Kenapa tak selesaikan saja perkara-perkara kecil begini dengan cara yang sepatutnya?” Masih lembut si abang meluah kata. Lebih memihak kepada si ayah yang ternyata bertindak tepat pada masanya.
Raut muka Ainul sudah makin tegang. Tidak senang dengan kata-kata abangnya itu.
“Bukan orang yang ajak dia bergaduh Along, tapi perempuan perasan bagus tu yang mulakan dulu. Orang bukannya tunggul kayu yang tak ada perasaan, boleh tahan maki hamun perempuan tak guna tu macam tu aje.” Pertama kali Ainul membuka mulut. Penuh geram membela diri sendiri.
“Along tak nafikan yang Alia salah dalam hal ni tapi kamu pun tak betul jugak. Sebagai lelaki yang dibesarkan dengan ajaran Islam dan adat resam Melayu, kamu sepatutnya kena beralah dengan perempuan. Beralah bukan bermakna kamu kalah tapi itu membuktikan diri kamu mempunyai akal fikiran yang matang dan cerdik. Bukannya mengeruhkan lagi keadaan dengan perbuatan-perbuatan yang menjatuhkan maruah kamu di mata semua.” Ammar tetap membalas lembut namun tegas.
Look Ainul. Along faham kamu mempunyai masalah peribadi dengan Alia tapi jangan sesekali kamu heret masalah itu ke dalam kerjaya kamu pulak. Jadi seorang lelaki yang profesional dik. Baik kamu ataupun Alia, sama-sama boleh berfikir apa yang baik, apa yang buruk. Kalau salah seorang daripada kamu tak nak beralah, sampai bila kau orang berdua nak berdamai? Takkanlah sampai ke tua pun kau orang masih nak bergaduh? Malulah kalau anak cucu kau orang tengok nanti.
Lagipun Ainul, takkan jatuh maruah kita sebagai seorang lelaki kalau kita dulu yang meminta maaf. Malah itu akan membanggakan kita kerana sikap meminta maaf itu melambangkan kita seorang lelaki yang budiman, lelaki yang berakhlak mulia. Apa guna kita bersikap ego setinggi langit pun kalau sikap itu hanya menjauhkan kita dengan orang yang kita sayang?” Kata-kata terakhir Ammar berjaya mengganggu gugat rentak hati Ainul. Tersentak dia sejenak.
Lalu dia tergamam. Tidak tahu nak kata apa. Terkedu dia dengan kebenaran kata-kata itu. Namun dia segera mencebik bibir bila Ammar menyambung suara.
“Macam tu jugak kamu dengan Alia. Kalau tak ada perasaan ego antara kau orang berdua, Along rasa dah lama kau orang berdua dah jadi suami isteri yang bahagia dengan beberapa orang cahaya mata. Ini tidak.
Seorang keras kepala, seorang lagi angkuh. Macam mana nak aman rumah tangga kalau sikap begini yang kau orang simpan dalam diri.” Lembut sungguh Ammar melentur nasihat. Cuba mencairkan ego si adik yang telah lama diketahui setebal konkrit kerasnya.
“Huh. Cara Along cakap tu macamlah orang dengan Alia masih lagi menjadi suami isteri,” cebik Ainul menjeling sekilas abangnya.
Well, mana tahu kau orang akan jadi suami isteri semula suatu hari nanti? Siapa tahu bukan? Kamu jangan lupa Ainul, kata-kata jugak merupakan satu doa. Jadi anggaplah kata-kata Along ni sebagai satu doa untuk kamu dan Alia agar kau orang berdua terus bahagia di masa depan. Amin.”
Ammar terus menyapu kedua-dua tangannya ke muka. Sekadar mengusik si adik biarpun hakikatnya itulah doanya saban waktu. Mahu melihat kedua-dua adik kesayangannya kembali bersatu sebagaimana masa lalu.
Ainul kembali menjuih bibir.
“Huh, mati hidup balik pun orang takkan berbaik semulalah dengan perempuan perasan bagus tu. Daripada orang hidup dengan dia, lebih baik orang membujang saja seumur hidup.” Ternyata marahnya terhadap Alia masih belum surut.
Bantal di ribaannya diramas semula. Penuh geram. Membayangkan dia sedang meramas kepala Alia ketika ini.
Ammar yang melihat adiknya itu terus menggeleng.
“Ainul, sebahagia mana sekalipun sepasang suami isteri itu, pasti akan wujud jugak pertengkaran antara mereka walau tak sebesar mana. Itu lumrah dalam sesebuah rumah tangga dik. Kalau tak, takkan adalah pepatah yang mengatakan sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pulak suami isteri. Kita sebagai suami perlulah banyak bersabar dengan semua kerenah isteri.
Sebab setiap isteri itu telah banyak berkorban untuk kita. Tugas memasak, membasuh, mengemas, melahir dan menjaga anak-anak serta membantu kita mengendalikan rumah tangga, semuanya dilakukan mereka tanpa mengharapkan sebarang balasan. Semuanya mereka lakukan dengan ikhlas demi kita.
Malah bukan itu saja tugas yang mereka lakukan tetapi lebih daripada kesanggupan kita sendiri. Senang kata seribu jenis kerja yang mereka lakukan untuk kita saban waktu tanpa kenal erti penat atau letih. Itu baru di rumah. Tak kira lagi tanggungjawab yang mereka perlu lakukan di tempat kerja pula.
Itupun dilakukan atas sebab ingin meringankan lagi beban tanggungjawab kita mencari nafkah. Sedangkan kita yang memegang status suami ni hanya tahu mencari dan memberi nafkah. Sesekali baru kita membantu mereka membuat kerja-kerja lain. Itupun ala kadar atau dipaksa.
Along tak nafikan ada jugak suami yang ikhlas membantu isteri mereka membuat kerja di rumah tapi berapa kerat sangat yang sanggup berbuat begitu? Kebanyakannya lebih gemar memerintah isteri. Buat itu, sedia ini sedangkan semuanya boleh dilakukan sendiri tanpa menyusahkan isteri yang telah terbeban dengan pelbagai tanggungjawab lain. Kerana itulah kita kena banyak bersabar dengan kerenah isteri.
Kalau dia buat salah, kita tegur dengan cara baik dan lembut. Jangan dengan meninggi suara jauh sekali mengangkat tangan. Kalau nak pukul sekalipun, ada adabnya. Bukan main tibai sesuka hati aje. Pukul tu pun hanya untuk mengajar. Bukan untuk melepaskan geram. Apatah lagi hingga tinggalkan kesan-kesan luka dan lebam.
Sebab itulah isteri dijadikan dari tulang rusuk sebelah kiri badan kita, iaitu dari tempat yang paling dekat dengan hati untuk kita sayangi. Barulah rumah tangga akan kekal aman bahagia sepanjang hayat.” Panjang lebar Ammar memberi nasihat.
Macam memberi ceramah pun ada, sempat hati Ammar berseloroh sendiri dalam pada itu. Namun demi menyedarkan Ainul dia tidak peduli dengan kata hatinya. Lama dia memandang si adik yang tekun mendengar meskipun nasihat-nasihat sebegitu telah sering didengarinya. Namun apa nak dikata.
Keegoan yang terlalu tinggi dalam diri membuatkan Ainul tidak mampu merealisasikan nasihat-nasihat itu sebaiknya. Biarpun kata hati tidak pernah serupa dengan kata-kata yang terluah dari bibir buat Alia. Daun telinga kembali dipasang baik-baik bila Ammar terus menyambung bicara selepas itu.
“Macam tu jugak kamu dan Alia. Sebagai suami, kamu patut lebih mengenali kelebihan dan kekurangan Alia. Apatah lagi kau orang berdua sudah lama kenal. Bukan sehari dua tapi sejak kecil lagi. Keluarga kita dan keluarga dia dah lebih dari hubungan adik-beradik. Saling tolong-menolong tanpa sebarang prasangka. Sepatutnya dengan keadaan kedua keluarga kita yang begini erat hubungannya, kamu lebih memahami diri Alia. Begitu jugak dengan dia.
Tapi kau orang tak gunakan peluang tu untuk saling bertolak ansur dan beralah. Masing-masing terlalu mengikut perasaan sendiri. Demi sikap keras kepala dan ego yang tak kena pada tempatnya, kau orang berdua sanggup melihat rumah tangga yang baru dibina menjadi kucar-kacir. Langsung tiada jalan penyelesaiannya sampailah ke hari ini.” Nada kesal jelas kedengaran dalam suara lelaki itu. Kesal dengan apa yang berlaku. Namun tidak pada Ainul yang kembali mendengus marah.
“Orang pun tak pernah mintak rumah tangga orang jadi begini Along. Siapa yang nak kahwin hanya untuk sehari dua aje? Mestilah orang pun harap rumah tangga orang akan kekal sampai ke akhir hayat. Tapi apa nak buat, dah takdir ALLAH rumah tangga orang dengan perempuan tak guna tu hanya sampai kat sini saja.
Kalau dari dulu orang tahu perempuan tu akan buat hidup orang jadi kucar-kacir macam ni, mati hidup balik pun orang takkan kahwin dengan dia walaupun hanya sehari.”
Ternyata ego Ainul begitu menebal dalam diri.
Hingga menyalahkan Alia atas apa yang telah berlaku dalam kehidupannnya sebelum ini. Bergelar anak bongsu kepada kedua-dua orang tuanya menjadikan dia telah terbiasa bersikap sedemikian sedari kecil memandangkan segala kehendaknya begitu mudah dipenuhi oleh mereka yang begitu menyayanginya. Sikap yang akhirnya menjarakkan dirinya dari orang yang dicintainya tanpa dia sedari.
“Ooo... jadi sekarang kamu nak bagitahu Along yang kamu sebenarnya menyesal sebab berkahwin dengan Alia dulu? Kamu menyesal kerana pernah bergelar suami kepada Alia, perempuan yang kamu rasa telah membuatkan kehidupan kamu kucar-kacir sekarang ini?” Cepat saja Ammar meningkah kata. Sedikit keras.
“Baik. Kalau kamu rasa kamu menyesal kerana berkahwin dengan dia, kenapa kamu tak tunjukkan pada dia yang kamu boleh bahagia selepas dia tinggalkan kamu? Kenapa tak saja kamu cari pengganti dia lepas kau orang berpisah? Tunjukkan pada dia yang kamu jugak boleh bahagia tanpa adanya dia dalam hidup kamu. Tak perlu kamu buang masa merintih atau marah pada dia atas masa yang telah kamu habiskan bersama dia dulu.
Dah lapan tahun Ainul, lapan tahun kau orang berdua berpisah. Untuk apa kamu membujang selama itu? Kahwin semula Ainul. Dengan perempuan lain. Bahagiakan hidup kamu dengan perempuan yang seribu kali lebih baik dari perempuan yang kamu gelar perasan bagus tu,” tegas Ammar memberi kata dua.
Ainul sudah terkaku tubuh. Terkaku dengan kata-kata keras yang meluncur keluar dari mulut abangnya. Kahwin semula? Air liurnya tertelan sekali. Hatinya pula sudah tersentak dek kata-kata yang seakan mencabar dirinya itu. Satu perkara yang tidak pernah terlintas di mindanya selama ini. Jauh sekalilah untuk dilakukannya.
Ainul tersentak lagi tatkala suara Ammar kembali menerjah lubang telinga.
“Boleh Along tahu kenapa kamu tak kahwin semula selepas kamu bercerai dengan Alia lapan tahun lepas?” Ammar kembali melembutkan lidah.
Wajah terkesima si adik masih dipandang lama-lama. Mengerti dengan apa yang berlaku di hati lelaki itu ketika ini namun dia pura-pura tidak mengetahuinya. Sengaja dia melontar soalan begitu untuk mengorek dengan lebih dalam perasaan sebenar yang wujud di hati si adik buat bekas adik iparnya.
Ainul terdiam semula. Untuk seketika dia tidak tahu nak menjawab apa biarpun jawapannya telah sedia ada dalam hatinya selama ini.
“Orang tak terfikir nak kahwin semula Along.” Hanya itu yang mampu diluahnya bila dilihat Ammar bersungguh-sungguh menanti jawapannya. Itu pun dalam keadaan teragak-agak.
“Tak terfikir nak kahwin semula ke atau kamu tunggu Alia balik pada kamu semula?” Ammar sengaja menebak hati lelaki itu. Bibirnya terus mengembang senyuman bila pantas Ainul menyangkal. Sedikit tinggi.
“Hisy, Along ni! Mati hidup balik pun orang takkan terima perempuan tu semula dalam hidup orang,” jelas terserlah keegoannya di dalam kata-kata itu.
Benar-benar tidak senang dengan apa yang diluah abangnya sebentar tadi biarpun itulah jawapan yang ada di hatinya selama ini. Namun halangan tembok ego yang terpasak kukuh dalam diri menjadikan jawapan itu hanya berlegar-legar di dalamnya tanpa mampu diluahkan.
“Kalau macam tu kamu kahwin ajelah sekali lagi. Mana tahu perkahwinan kali kedua kamu nanti mampu memadamkan perasaan marah dan geram kamu terhadap Alia selepas ni.” Ammar memprovok lagi.
Ainul terdiam buat kali seterusnya.
“Orang risau kalau-kalau perkahwinan kali kedua orang tu jugak akan gagal macam yang pertama Along.” Lambat-lambat dia bersuara tidak lama selepas itu.
Lemah bersalut sayu. Kepalanya ditundukkan sedikit tatkala meluahnya. Tidak perasan Ammar yang melihat tingkahnya ketika itu semakin melebarkan senyuman. Dia sedar. Ainul tidak ikhlas dalam menyuara kata-kata itu. Lebih kepada memaksa diri meluah kata sebenarnya. Perlahan Ammar melepas nafas sebelum menyahut.
“Ainul, sekali gagal tak bermakna kita akan gagal selamanya. Itu pegangan yang harus kamu ingat dalam membuat semua perkara termasuklah dalam bab perkahwinan ni. Kamu kena sedar Ainul. Tak semua perkahwinan itu membawa kebahagiaan dan tak semuanya juga memberi penderitaan.
Segala-galanya terletak di tangan kita sendiri. Sama ada bahagia atau derita, kita dan pasangan yang akan corakkan suasananya. Takkan ada sesiapa lagi yang akan membantu kamu melayari alam perkahwinan melainkan kamu berdua saja.
Selain dari itu rajin-rajinlah berdoa kepada ALLAH agar perkahwinan kita berada dalam suasana yang kita harapkan. Itu saja. Jadi terpulanglah pada kamu berdua untuk melakukan apa yang terbaik agar perkahwinan impian kamu menjadi kenyataan sepanjang masa,” nasihat Ammar lagi.
“Apapun Ainul, ada satu lagi perkara yang membawa kita kepada perkahwinan yang bahagia. Sikap tolak ansur dan beralah amat-amatlah diperlukan dalam melayari sesuatu perkahwinan selain dari sikap sabar, setia dan jujur pada pasangan.
Tak guna kamu menyemai sikap ego dan keras kepala kerana kedua-dua sikap inilah sebenarnya yang menjadi salah satu penyebab rumah tangga yang kita bina hancur lebur. Tak rugi kita beralah dan bertolak ansur dengan pasangan kita kerana hasil yang bakal kita dapati dari sikap itu teramatlah bernilai.
Malah lebih bernilai dari segala timbunan harta benda yang kita ada. Kalau kamu tak percaya, berkahwinlah semula dan buatlah sepertimana yang Along katakan tadi. Insya-ALLAH, kamu takkan menyesal berkahwin buat kali kedua.
Pastikan kamu ingat tentang perkara ini sampai bila-bila dik,” tambah Ammar menepuk lembut bahu lelaki itu yang kembali tertegun dengan kata-katanya.
“Okeylah, Along tak nak ganggu kamu lagi. Kamu pun mesti dah bosan mendengar lecture percuma Along dari tadi, kan? Lecture yang Along pasti sangat-sangat membosankan kamu.” Ammar tersenyum dengan kata-kata sendiri.
Dia bangun dari duduknya seraya menggeliat tubuh sedikit. Menghilangkan rasa kebas dek terlalu lama membenam tubuh di situ.
“Oh ya Ainul. Kalau kamu lapar, nasi ada kat bawah tu. Macam biasa, mak letak semua lauk dalam microwave. Kalau kamu nak makan nanti, kamu panaskan saja ya. Along mintak diri ke bilik dulu. Mengantuk pulak rasanya. Tekak pun dah terasa perit. Asyik membebel aje pada kamu dari tadi.” Suaranya lagi sebelum berlalu keluar dari bilik itu.
Sempat matanya mengerling Ainul yang masih seperti tadi. Bersandar tubuh seraya memikirkan kata-katanya tanpa sebarang sahutan. Kaku.
Namun tak lama Ainul kembali tersedar. Dia mengeluh panjang lalu dia terus membaringkan tubuh. Dengan minda yang masih ligat berpusing, Ainul menutup mata rapat. Cuba menghanyutkan diri dalam mimpi yang mula terbentuk di mindanya tidak lama selepas itu. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012