Monday, August 05, 2013

SETIAKU DI SINI : BAB 19


BAB  19

“Jadi benarlah khabar angin yang mengatakan syarikat ini akan melancarkan projek hartanahnya yang terbaru di daerah Bota, Perak tidak lama lagi?”
Tini, salah seorang wartawan yang hadir di majlis sidang akhbar tengah hari itu lantang mengemukakan soalan. Memanah tepat wajah lelaki yang penuh dengan karismanya yang tersendiri itu.
Azfar mengangguk kecil seraya mengembangkan senyuman. Penuh lebar.
“Mengikut perancangan syarikat, projek mega itu akan bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini. Walau bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keadaan. Insya Allah, jika tiada aral melintang, semuanya akan berjalan seperti mana yang telah ditetapkan,” jawab Azfar penuh yakin. Meligas mata pada semua yang memenuhkan ruang dewan kecil itu.
Masing-masing mengangguk. Faham dengan keterangan yang diberikan.
So, ada sebarang pertanyaan lain? Kalau tak ada, sidang akhbar ni berakhir di sini dulu. Jika ada apa–apa yang perlu saya beritahu, Insya Allah akan saya umumkan kemudian. Anyway, thank you for coming,” suara Azfar seraya bangun dari duduknya.
“Encik Azfar, one more question please,” suara seorang wartawan lain menghentikan gerakan Azfar yang telah sedia mengatur langkah meninggalkan majlis yang telah berlangsung hampir dua jam lalu itu.
Yes.” suaranya sambil mengangguk kecil, memberi kebenaran.
“Hmm, ada desas desus yang mengatakan bahawa Encik Azfar dah bertunang dan khabarnya akan berkahwin tak lama lagi. Kalau betul, boleh kami semua tahu siapa wanita yang bertuah yang telah berjaya menambat hati ahli perniagaan muda yang terkemuka di Malaysia ni?”
Pertanyaan Salleh, salah seorang wartawan hiburan di sebuah akhbar terkemuka di Malaysia mengundang sekali lagi anggukan semua yang masih belum berganjak dari ruang dewan milik restoran mewah tempat majlis diadakan. Semua mata menombak ke wajah kacak itu. Masing-masing menunggu butir-butir kata yang bakal terluah dari mulut lelaki yang bertubuh sasa dan berotot kejap itu. Menyerlahkan ketrampilannya sebagai seorang lelaki yang menjadi kegilaan para gadis dan wanita yang terpegun dengan gaya kelelakiannya yang tersendiri.
Azfar menarik nafas pendek. Riak wajahnya bertukar rona. Sedikit serius.  
I’m sorry. I have no comment about that. Minta diri dulu, assalamualaikum,” ujarnya tergesa–gesa keluar.
Tidak peduli pada panggilan para wartawan yang masih mahu melemparkan beberapa soalan padanya. Mereka cuba untuk mengerumuninya namun halangan beberapa orang pengawal yang mengiringi pergerakannya menjarakkan semua dari dirinya. Sekaligus memberi ruang pada Azfar untuk segera berlalu dari situ.
Pantas kakinya mengatur langkah menuju ke luar restoran. Menapak ke bangunan pejabat yang terpasak kukuh tidak jauh dari restoran mewah miliknya.
Tiba di ruang pejabat di tingkat sepuluh, dia segera melangkah laju ke biliknya. Sempat berpesan pada Kamelia agar tidak membenarkan sesiapa menganggunya sepanjang hari itu sebelum pintu bilik dihempas kuat. Meninggalkan kejutan pada para pekerja yang tekun melakukan tugasan. Masing–masing hanya saling berpandangan seraya mengangkat bahu. Tidak tahu hujung pangkal perubahan ketara ketua yang selama ini terkenal dengan kekayaan budi bahasa dan tingkah laku yang begitu menyenangkan.
Azfar merengus kasar. Tubuhnya dihenyak ke sofa. Hilang segala mood baiknya hari ini. “Macam mana wartawan boleh tahu tentang hal aku dengan Nisa ni?” rungutnya perlahan.
Disebak rambutnya beberapa kali. Tidak peduli pada keadaan diri yang tidak terurus sejak akhir–akhir ini. Kehilangan Nisa yang telah menjangkau masa lebih dari sebulan membuatkan Azfar tidak peduli lagi tentang keadaan dirinya. Di fikirannya hanya memikirkan tentang kehilangan gadis kesayangannya.
Begitu pun dia masih menguruskan segala urusan pejabatnya sebaik mungkin. Prinsipnya, walau apa pun masalah yang mendatang, nama baiknya sebagai salah seorang ahli perniagaan muda yang berjaya menempa nama dalam dunia perniagaan di Malaysia perlu dijaga sebaiknya.
Memikirkan tentang itu membuatkan dia berasa bangga dengan diri sendiri. Walau pun dia anak tunggal kepada seorang yang telah mempunyai kedudukan yang kukuh dalam bidang perniagaan namun dia tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk menempa nama sendiri dalam arena yang sama.
Usaha dengan sepenuhnya dan yakin dengan kemampuan diri. Itu adalah prinsip yang menjadi amalannya sepanjang dia berada di bidang yang penuh dengan cabaran itu. Pada Azfar usaha adalah tangga dalam meniti segala jenis kejayaan. Usaha yang di iringi dengan keyakinan terhadap kemampuan diri mampu melonjakkan diri seseorang untuk mengapai segala cita-cita. Prinsip yang sama di amalkannya dalam melakukan apa jua perkara.
Hasilnya, syarikat milik ayahnya semakin berkembang pesat dan melonjak naik hingga di label sebagai antara salah sebuah syarikat bumiputera yang paling berjaya di Malaysia.
Syarikat hartanah itu telah berjaya membuka beberapa anak syarikat di seluruh Malaysia. Manakala rangkaian restoran mewah yang dibuka di merata pelusuk negara juga membantu menjulang namanya di cabang perniagaan itu.
Restoran yang dibuka berdasarkan pada minat dan impiannya itu telah berjaya meletakkan namanya sebaris dengan usahawan muda lain. Sekaligus menjadikan impiannya untuk mengembangkan perniagaan sedia ada ke cabang perniagaan lain menjadi kenyataan.
Kerana itu Azfar bangga pada diri sendiri. Bangga atas usaha yang dilakukannya selama ini. Begitu pun rasa itu tidak menjadikannya seorang yang bongkak jauh sekali meninggi diri. Sebaliknya Azfar lebih selesa merendah diri serta sentiasa menggali pengetahuan bidang perniagaan dari mereka yang telah lama berjaya. Padanya, manakan mungkin hilang bisa seekor ular walau sentiasa menyusur di celahan akar yang menyelusuri tanah. Bidalan lama itu sentiasa menjadi pegangannya sehingga kini.
Namun apabila ingatannya kembali berputar pada Nisa, Azfar merasakan dirinya telah gagal. Dia gagal menyimpul ikatan kasih antara mereka sekukuhnya. Dia gagal menyelamatkan hubungannya dengan gadis pujaan. Dia gagal mencari kebahagiaan dirinya. Dan yang paling penting, dia gagal memahami isi hati milik seorang wanita. Apatah lagi menjaganya sebaik mungkin dari terluka dengan apa saja.
Mengenangkan itu Azfar mengeluh halus. Rambut lebatnya disebak beberapa kali.
“Ah, susahnya nak jaga hati seorang perempuan. Jaga beratus–ratus pekerja lagi senang,” rungutnya sendiri.
Dia merengus perlahan sebelum mula menyelak helaian kertas yang bertimbunan di meja. Bayangan Nisa semakin memudar dari benaknya sebelum hilang sepenuhnya. Diganti dengan lambakan kerja yang mula memenuhi ruang mindanya. Azfar tenggelam dalam kesibukannya sepanjang hari itu. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012